BATU PAHAT 'SERASI' DENGAN PUAD

Barisan Nasional (BN) perlu menampilkan calon popular sekiranya ingin merampas kembali kerusi Parlimen Batu Pahat  pada PRU-14 nanti.
Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff, berkata selain popular, calon yang dipertaruhkan juga BN mestilah diterima rakyat.

Beliau berkata, Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi masih layak untuk menggalas cabaran BN bagi merampas kembali kerusi berkenaan.

"BN perlu mempertaruhkan calon popular, maksudnya calon yang dikenali oleh masyarakat ataupun pengundi di kawasan berkenaan dan bukannya calon payung terjun.

"Bukan itu saja, calon berkenaan juga mestilah diterima rakyat selain mudah didampingi. Saya lihat Mohd Puad antara yang memenuhi kriteria itu.

"Bahkan Batu Pahat sudah sinonim dengan beliau, begitu juga dengan penerimaan rakyat kawasan itu," katanya ketika  dihubungi.

Pada PRU-13 lalu Mohd Puad yang juga penyandang kerusi Batu Pahat tewas kepada calon PKR, Datuk Mohd Idris Jusi.

Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, kekalahan Mohd Puad pada PRU-13 lalu tidak boleh dijadikan ukuran untuk menafikan kemampuannya bertanding di kerusi berkenaan.

"Pada PRU-13 lalu semua maklum bahawa berlaku Tsunami politik membabitkan masyarakat Cina. Apatah lagi peratusan pengudi Cina di Batu Pahat hampir menyamai majoriti Melayu.

"Kali ini situasainya berbeza apatah lagi bakal berlaku pertembungan tiga penjuru yang saya kira kelebihan bagi beliau," katanya.

Oleh Haspaizi Mohd Zain

Comments