BATU PAHAT: MOHD PUAD MAMPU GALAS CABARAN BN


Tiada alasan untuk Barisan Nasional (BN) tidak mencalonkan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi bagi bertanding di kerusi Parlimen Batu Pahat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) berdasarkan gerak kerja yang dilakukannya hampir lima tahun lalu.

Malah, Mohd Puad juga dilihat sebagai calon yang diterima baik pengundi Batu Pahat merangkumi pelbagai peringkat umur, baik orang muda, dewasa mahupun warga emas amat menyenangi khidmat Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) itu.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Achmad Dzarien, berkata hubungan baik Mohd Puad dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah satu kelebihan buat masyarakat Batu Pahat sekiranya pemimpin itu kembali menjadi wakil rakyat.

“Saya kira beliau (Mohd Puad) telah membuktikan keupayaannya dan layak untuk mewakili BN bagi merampas kembali kerusi Batu Pahat yang jatuh ke tangan PKR pada PRU lalu.

“Malah saya melihat pelbagai usaha dan janji beliau kepada rakyat dapat ditunaikan dan lebih hebat lagi apabila segala perjuangan untuk membantu rakyat mendapat sokongan terus Perdana Menteri.

“Jadi, saya kira beliau adalah calon terbaik untuk mewakili BN di Batu Pahat, juga saya kira rakyat menolak untung sekiranya tidak mengangkatnya sebagai wakil rakyat. Hubungan baik dengan Perdana Menteri sebenarnya satu kelebihan dan nikmatnya rakyat yang dapat,” katanya kepada penulis ketika diminta mengulas mengenai peluang Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat itu.

Pada PRU14 ini Mohd Puad dalam misi merampas kembali kerusi berkenaan dijangka akan bertembung sekali lagi Datuk Mohd Idris Jusi.


Oleh Haspaizi Mohd Zain

Comments