Jawapannya tidak sama sekali, saya menulis kerana melihat hasil dan gerak kerja Annuar sebagai Ahli Parlimen Ketereh yang berjaya membawa perubahan ketara di kawasan itu. Dengan kata lain, orang Parlimen Ketereh bertuah kerana memilih 'Ayah War' sebagai wakil rakyat.
Pengundi Ketereh boleh menilai perubahan yang ketara dilakukan Annuar jika dibandingkan wakil rakyat bermusim daripada PKR sebelum ini, hanya 'makan elaun' tapi nasib rakyat tidak dipedulikan.
Tidak dinafikan, Annuar menang kerusi Ketereh pada PRU-13 lalu sedikit sebanyak disebabkan oleh sentimen bola sepak Kelantan. Keupayaannya memimpin KAFA sehingga TRW menjulang tiga piala sedikit sebanyak mempengaruhi sokongan pengundi terhadap beliau.
Namun, kali ini ada sedikit kebimbangan, prestasi skuad Kelantan yang merosot serta masalah kantung KAFA sebelum diambil alih kepemimpinan baharu menjadi faktor yang akan mempengaruhi sokongan rakyat terhadap Annuar.
Seperti saya katakan sebelum ini, orang Kelantan 'mainan politiknya' pelik sikit. Begitu juga dengan penyokong Kelantan yang hanya mahukan kemenangan pasukan TRW sepanjang masa, tetapi tidak pernah sesekali mahu ambil tahu perit jerih mereka yang memimpin KAFA kadang kala bergolok gadai untuk pasukan.
Untuk apa? Untuk mengangkat nama pasukan, nama Kelantan dan memberi keceriaan serta kemegahan kepada rakyat Kelantan. Akhirnya gegak gempita satu stadium, satu Kelantan diarak piala yang menjadi kemegahan.
Annuar dijulang sebagai bapa pembangunan bola sepak Kelantan. Namun, apabila pasukan mula hilang taringnya, maka Annuar mula 'ditakir', dicemuh, dituduh dengan pelbagai tuduhan sehinggakan tiada sekelumit jasanya pada pasukan bola sepak Kelantan.
Malah, lebih malang lagi, apabila ada pihak dari 'pasir dua butir' menuduh Annuar menggunakan duit biasiswa MARA untuk pasukan Kelantan, penyokong Kelantan turut 'sekepala' menghina dan menuduh Annuar menyeleweng, inilah 'gilanya' penyokong Kelantan.
Sepatutnya penyokong Kelantan berasa terhina dan tercabar apabila pasukannya 'dihina' dan 'diperlekeh' serta mempertahankan individu yang bersusah payah mengangkat martabat bola sepak Kelatan.
Anda penyokong Kelantan tidak boleh menafikan, tanpa Annuar TRW mungkin tidak menjadi sebuah pasukan disegenai.
Fikirlah dengan akal yang waras, memimpin persatuan bola sepak era ini memerlukan duit yang banyak ketika mana harga pemain semakin tinggi.
Mengapa penyokong Kelantan tidak membentak, marah ataupun maki hamun kerajaan PAS Kelantan yang langsung tidak membantu KAFA.
Apatah lagi Exco kerajaan negeri untuk memikul tanggungjawab sebagai Presiden KAFA bagi membuktikan mereka boleh lakukan lebih baik lagi banding Annuar Musa.
Ini yang dibimbangi...dibimbangi sentimen ini akan mendorong keputusan politik pengundi Ketereh pada PRU14 nanti.
Comments