Puad Menang 'Batu Pahat' Senang

Kenapa saya katakan Datuk Mohd Puad Zarkashi adalah pilihan tepat sebagai calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Batu Pahat?

Mari kita hayati apa yang saya perkatakan ini, ketika mana beliau tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu, namun, Mohd Puad tetap diberi kepercayaan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menerajui Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) selaku Ketua Pengarah.

Bukan calang-calang individu yang diberi kepercayaan oleh pemimpin negara untuk menerajui sebuah organisasi yang cukup penting ini.

Pemilihan Mohd Puad bagi menerajui JASA bermakna beliau adalah sebahagian daripada individu penting kepada Perdana Menteri dan juga UMNO, BN. Kedudukan beliau itu pastinya akan menguntungkan orang Batu Pahat secara tidak langsung.

Bahkan, saya percaya berdasarkan pengalaman lalu, individu penting ini pastinya akan dilantik sebagai Timbalan Menteri ataupun Menteri penuh sekirnya beliau menang pada PRU14 nanti.

Apakah orang Batu Pahat tidak mahu calon yang mereka angkat berada dalam Kabinet kerajaan? saya yakin dan percaya jika Mohd Puad menang kali ini, beliau pastinya akan diangkat menjadi Menteri penuh dalam Kabinet Perdana Menteri.

Jika beliau menjadi Menteri, yakin dan percayalah limpahan rahmat akan dapat dinikmati oleh orang Batu Pahat tanpa mengira agama, bangsa.

‘Permata’ berharga sudah pun ada di depan mata, tidak perlu lagi untuk pengundi Batu Pahat mencari kaca yang kadang kala boleh melukakan diri.
Nantikan ulasan saya seterusnya mengenai pencapaian pemimpin ini.

Oleh Haspaizi Mohd Zain

Penulis ialah bekas wartawan politik BH dan juga pemerhati politik 

Comments