Ini dia aku sertakan teks ucapan penuh Perdana Menteri, baca dan hayati serta rebut peluang yang disediakan
MAJLIS
PEMERKASAAN EKONOMI BUMIPUTERA
OLEH
YAB
DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK
PERDANA
MENTERI MALAYSIA
PADA
14 SEPTEMBER 2013 (SABTU),
JAM
10.00 PAGI,
BERTEMPAT
DI DEWAN AGONG TUANKU CANSELOR,
UNIVERSITI
TEKNOLOGI MARA, SHAH ALAM, SELANGOR.
-----------------------------------------------------------------------------------------------
Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
1.
Alhamdulillah,
syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan izin-Nya jua kita
dapat berkumpul pada pagi ini, di Dewan Agong Tuanku Canselor, Kampus Induk Universiti
Teknologi MARA, sebuah institusi simbol serta perlambangan kepada perjuangan Melayu
dan Bumiputera yang tiada pernah hentinya.
2.
Terlebih dahulu, saya, bagi pihak Kerajaan, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan
kepada rakyat Malaysia, terutamanya masyarakat Melayu dan Bumiputera yang telah
menunjang, mandat serta kepercayaan kepada Barisan Nasional pada Pilihanraya
Umum Ke-13... untuk terus menerajui kepimpinan negara. Apa yang lebih
mengharukan adalah, UMNO sebagai parti tonggak kepada Barisan Nasional, telah
berjaya menambah kerusi Parlimennya daripada 79 kepada 88.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
3.
Ini
membuktikan, walau apapun rintangan, sekali apapun tohmahan, Kepimpinan Transformatif
UMNO, bersama parti-parti komponen Barisan Nasional yang lain terus kukuh, terus
kental dan terus ampuh bertahan, sebagai parti pilihan rakyat, bagi tempoh 5
tahun akan datang,.... demi meneruskan agenda Melayu dan Bumiputera di tanah
air tercinta ini.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
4.
Setelah
selesai Pilihanraya Umum yang lalu, kita mendengar pelbagai rungutan, pelbagai keluh-kesah
serta ketidakpuasan hati, yang dibangkitkan oleh masyarakat Bumiputera, tentang nasib, masa depan dan
halatuju, bersama anak-anak cucu mereka, di bumi tanah tumpah darah kita.
5.
Sememangnya,
kita mendengar rintihan tuan-tuan dan puan-puan. Kita juga, menyelami denyut
nadi serta resah gulana tuan-tuan dan puan-puan......, Yes... indeed!!!... we hear
you... we hear you loud and clear.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
6.
Sejak negara
mencapai kemerdekaan, tanggal 31 haribulan Ogos tahun 1957, rakyat telah hidup dalam
keharmonian, bersatu padu, membina negara. Pada 16 haribulan September 1963, Sabah
dan Sarawak pula bergabung bagi membentuk Malaysia. Alhamdulillah, penyatuan
ini, membawa sejuta rahmat kepada kita. Lusa, dengan izin Tuhan jua, kita akan
menyambut genapnya lima puluh tahun, perayaan jubli emas Malaysia, yang InsyaAllah
akan saya hadiri di Bandaraya Kuching dan Kota Kinabalu.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
7.
Menyonsong
populasi negara, pada tahun 1970, Bumiputera berjumlah 6.1 juta atau 56 peratus
penduduk. Orang Melayu terdiri daripada sembilan suku kaum utama, orang asli
pula terbahagi kepada 18 kategori, Bumiputera Sabah sebanyak 40 suku, manakala di
Sarawak terdapat sejumlah 60 etnik.
8.
Semasa
Perhimpunan Agong UMNO Tahun 2010, saya sebut bahawa Jawa itu Melayu, Bugis itu
Melayu, Banjar juga disebut Melayu, Minangkabau memang Melayu, keturunan Acheh
adalah Melayu, Jakun dan Sakai asli adalah Melayu, Arab dan Pakistani semua juga
kira Melayu, malah muallaf bertakrif Melayu, waima.... Mamak dan Malabari pun.......
dah serap ke Melayu.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
9.
Banci
Penduduk dan Perumahan 2010, menunjukkan Orang Melayu dan Bumiputera Islam
berjumlah 59.7 peratus. Manakala Bumiputera Bukan Islam pula, 7.6 peratus
bilangan daripada rakyat keseluruhannya.Unjuran terkini, setakat 2012,
menganggarkan warganegara Malaysia, adalah seramai 27.4 juta orang, yang mana
Bumiputera adalah 18.6 juta atau 67.9 peratus.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
10.
Sejak Merdeka, semua perancangan serta dasar ekonomi Melayu dan
Bumiputera oleh pihak Kerajaan telah digubal berasaskan perhitungan komposisi masyarakat
majmuk tersebut. Secara prinsipnya,
perkara dan amalan ini telah diterima pakai sebagai satu kontrak sosial sejak
sekian lama oleh seluruh rakyat Malaysia, seperti mana dipersetujui oleh
bapa-bapa pengasas negara kita terdahulu, dilindungi, dan dimaktubkan dalam Perlembagaan
Persekutuan melalui Perkara 153, Perkara 160 kurungan 2, Perkara 161A kurungan
6 sub kurungan a. Juga Perkara 161A kurungan 6 sub kurungan b.
11.
Makanya,
Melayu dan Bumiputera sebagai teras kepada agenda nasional tidak boleh dinafikan oleh sesiapa. Sesungguhnya,
sebarang prakarsa bersifat nasional yang tidak mengambilkira atau mengabaikan agenda
Melayu serta Bumiputera, adalah tidak adil dan tidak saksama.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
12.
Perkara ini sangat mustahak untuk difahami dengan baik-baik oleh semua
pihak bahawa kita sentiasa menginsafi dan beringat-ingat tentang Agenda Bumiputera sebagai Agenda Nasional.
Ini kerana, jika sekiranya kaum majoriti Bumiputera tidak dibela dan berasa
diri mereka terancam atau dipinggirkan, negara tidak akan mengecapi keamanan,
kestabilan, dan kita tidak mungkin mencapai impian menjadi negara maju yang
sejahtera dan sentosa seperti yang didambakan pada tahun 2020.
13.
Hatta, sejarah telah membuktikan dalam pembangunan ekonomi negara terutamanya
sejak Dasar Ekonomi Baru dilaksanakan, bukan sahaja orang Melayu dan
Bumiputera, bahkan semua rakyat Malaysia berkongsi nikmat, meraih manfaat
bersama, hasil daripada pembangunan ekonomi negara. Jelasnya, ini telah kita
lakukan bukanlah dengan mengambil, atau menidakkan
hak sesiapa, tetapi
sebenarnya melalui penciptaan kekayaan baru dan penjanaan pertumbuhan ekonomi
yang mampan.
Tuan-Tuan
dan Puan-Puan,
14.
Tawarikh
dunia juga telah menunjukkan bagaimana jika sesebuah Kerajaan itu gagal
memainkan peranan pro-aktif sebagai pengimbang sosioekonomi secara adil dan
saksama, antara mereka yang memiliki dan tidak memiliki, antara pemodal dan
pekerja, antara tuan punya tanah dan penyewa, antara pekerja kolar putih dan
kolar biru, telah dan sedang membawa malapetaka.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
15.
Jika dihimbau
kembali, Dasar Ekonomi Baru yakni DEB telah diperkenalkan pada tahun 1971, oleh
Allahyarham Tun Abdul Razak, Ayahanda saya, untuk menangani isu ketidakseimbangan
sosioekonomi antara etnik dan pembasmian kemiskinan berikutan tragedi 13 Mei 1969.
16.
Begitulah
Dasar Ekonomi Baru telah berlangsung di antara tahun-tahun 1971 hingga 1990.
Semenjak tahun 1965 sehingga tahun 2010 pula, sebanyak 10 Rancangan Malaysia, 3
Rangka Rancangan Jangka Panjang telah dilaksanakan.
17.
Dasar
Pembangunan Nasional pula, melewati tempoh-tempoh tahun 1991 sehingga tahun 2000.
Kemudiannya, Dasar Wawasan Nasional merentasi tahun 2001 sehingga 2010. Dalam
pada itu, saya juga telah melancarkan Dasar Transformasi Nasional, semasa membentangkan
Bajet tahun 2010, sebagai paksi pengukuhan dan pemangkin untuk mencapai Wawasan
2020 kelak.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
18.
Sejak
merdeka, Kerajaan telah mewujudkan pelbagai instrumen dan institusi demi Melayu
dan Bumiputera, antaranya, Bank Bumiputera, Lembaga Urusan Tabung Haji, MARA,
FELDA, RISDA, FELCRA, UDA, PERNAS, DARA, JENGKA, KETENGAH dan KESEDAR. Perdana
Menteri Ketiga yakni, Tun Hussein Onn pula telah menubuhkan Permodalan Nasional
Berhad dan melancarkan Skim Amanah Saham Nasional.
19.
Seperti
yang kita maklumi juga, kepentingan Bumiputera telah diperkukuhkan lagi oleh Perdana
Menteri Keempat, yakni Tun Dr. Mahathir melalui Dasar Penswastaan dan Wawasan
2020, yang menjadi landasan perjalanan negara kini. Perdana Menteri Kelima pula,
Tun Abdullah telah mewujudkan Koridor-Koridor untuk merancakkan pembangunan ekonomi
wilayah.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
20.
Sejak saya
mengambil alih pentadbiran negara, Kerajaan telah melancarkan Model Baru
Ekonomi, yang bermatlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju
berpendapatan tinggi, dengan pertumbuhan yang saksama, menyaksikan masyarakat
Melayu dan Bumiputera setanding dengan masyarakat lain pabila fajar negara maju
menyinsing kira-kira tujuh tahun lagi.
21.
Selain itu, secara dasarnya, Model
Baru Ekonomi memperkenalkan pendekatan pembangunan secara inklusif berasaskan prinsip
pertumbuhan dengan kesaksamaan atau growth
with equity, bagi mempastikan
semua masyarakat di Malaysia memperoleh manfaat daripada pembangunan ekonomi
dan kekayaan negara.
22.
Manakala,
Rancangan Malaysia Kesepuluh, bermula pada tahun 2011 yang lalu hingga 2015
nanti, bertujuan untuk menyediakan peluang yang adil kepada semua rakyat
Malaysia, tanpa mengira etnik mahupun latar kedudukan geografi, untuk terlibat sama
dalam semua aktiviti ekonomi. Ini, adalah berasaskan kepada prinsip mesra pasaran, berasaskan
keperluan, telus dan meritokrasi. Akan tetapi meritokrasi yang kita maksudkan
di sini adalah persaingan dalam kalangan Bumiputera.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
23.
Kerajaan
juga telah memperkenalkan Program Transformasi Kerajaan dan Program
Transformasi Ekonomi bagi membentuk satu ekosistem pembangunan ekonomi negara
yang teguh dan berdaya tahan. Hasil pelaksanaan program transformasi,
pertumbuhan ekonomi negara terus mencatat pertumbuhan yang kukuh dalam situasi
ekonomi global tidak menentu. Pada tahun 2011 dan 2012, kadar pertumbuhan
ekonomi negara berkembang masing-masing sebanyak 5.1 dan 5.6 peratus.
24.
Apa yang ingin
saya tegaskan di sini, pertumbuhan secara berterusan begini, adalah amat
penting, kerana, pertama, dengan adanya pertumbuhan, barulah kita dapat
mengagihkan kekayaan negara kepada seluruh rakyat Malaysia.
Tuan-tuan
dan Puan-Puan,
25.
Melalui perancangan
ekonomi yang rapi dan bijaksana, taraf hidup Bumiputera telah meningkat.
Misalnya, pendapatan purata bulanan isirumah Bumiputera telah naik daripada 172
ringgit pada tahun 1970an kepada 4,457 ringgit pada tahun 2012 atau hampir 2,500 peratus dalam
jangkamasa 42 tahun.
26.
Kadar
kemiskinan Bumiputera pula, telah berkurangan daripada 64.8 peratus dalam tahun
1970an kepada 2.2 peratus pada tahun 2012. Pemilikan ekuiti syarikat korporat
Bumiputera juga telah meningkat daripada hanya 2.4 peratus dalam tahun 1970an
kepada 23.5 peratus pada tahun 2011.
27.
Selain
itu, kecuali dalam beberapa sektor guna tenaga tertentu, bilangan tenaga kerja Bumiputera
dalam kategori profesional, terutamanya golongan bertauliah seperti doktor-doktor
perubatan, para jurutera dan para peguam sudah menghampiri peratusan komposisi
kaum.
28.
Ini
membuktikan, Dasar Ekonomi Baru, sebagai langkah awal telah berjaya menangani
jurang antara kaum dalam usaha membangunkan sosioekonomi masyarakat Bumiputera.
Jelasnya, sepanjang lebih 4 dekad, masyarakat Bumiputera telah melalui Fasa Pertama Transformasi.
Tuan-Tuan
dan Puan-Puan,
29.
Namun
begitu, Kerajaan sedia maklum bahawa masih wujudnya jurang ketaksamaan
pendapatan antara etnik. Sebagai contoh, pada tahun 2012, pendapatan purata bulanan kaum Cina lebih
tinggi berbanding Bumiputera pada nisbah 1 kepada 1.43 kali ganda.
30.
Dalam
konteks pemilikan ekuiti syarikat korporat pula, kita masih belum mencapai
sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus. Effective
control kita ke atas syarikat korporat terkini hanyalah pada sekitar 10
peratus. Kerajaan juga faham bahawa penglibatan masyarakat Bumiputera dalam
aktiviti keusahawanan masih tidak signifikan dan majoritinya hanya berada pada
tahap usahawan kecil dan mikro.
31.
Lantaran
yang demikian, Tuan-Tuan dan Puan-Puan....... atas sokongan dan dokongan yang
diberikan oleh orang-orang Melayu dan Bumiputera, pada Pilihanraya Umum Ke-13
baru-baru ini...., maka, .... pada hari ini........, Kerajaan memutuskan untuk
membuat satu anjakan besar bagi melaksanakan strategi-strategi serta
pendekatan-pendekatan yang konkrit lagi tuntas.
32.
Perjumpaan
penuh bermakna dan bersejarah ini, kita namakan sebagai Majlis
Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera. Segalanya ini, kita perbuat, demi membela
untung nasib orang-orang Melayu dan Masyarakat Bumiputera, dari dulu, kini dan
selama-lamanya........ Pemerkasaan Ekonomi
Bumiputera ini memberi fokus kepada lima strategi utama.
Tuan-Tuan
dan Puan-Puan,
Fokus Pemerkasaan
Pertama : MENDAYA MODAL INSAN BUMIPUTERA
33.
Seperti
kita maklumi, modal insan merupakan aspek terpenting dalam membangunkan
sesebuah masyarakat. Kerajaan sebenarnya telah berjaya menempatkan secara
signifikan pelajar Bumiputera di institusi pengajian tinggi awam dalam negeri dan
luar negara. Oleh itu, fasa seterusnya adalah pemerkasaan modal insan
Bumiputera yang menjurus kepada pemadanan kelayakan dan kemahiran tenaga kerja dengan
keperluan pasaran.
34.
Untuk
tujuan itu, pertamanya, bagi golongan
remaja yang rendah pencapaian akademik dan tahap kemahiran, Kerajaan akan
memperbanyakkan program peningkatan kemahiran bagi menyediakan peluang kedua supaya
mereka memperoleh lebih banyak ruang untuk mendapat pekerjaan.
35.
Dalam
aspek ini juga, program re-skilling akan
dipergiatkan. Untuk tujuan itu, peruntukan tambahan akan diberikan kepada
GiatMARA bagi memperoleh peralatan berteknologi terkini untuk mengendalikan
program latihan. Manakala bilangan program latihan yang dikendalikan oleh
Institut Kemahiran Belia Negara juga akan ditambah dengan mengamalkan pendekatan
latihan dua syif.
36.
Kedua, kepada golongan graduan Bumiputera yang mengganggur
pula, Kerajaan akan menggiatkan lagi program latihan bagi mengatasi masalah
kebolehpasaran, agar bersesuaian dengan keperluan industri. Untuk tujuan
tersebut, program-program seperti Skim Latihan 1Malaysia, Graduate Employability Management Scheme dan Program Peneraju Skil
akan diperluaskan untuk menambah bilangan penerima faedah.
37.
Ketiganya, bagi menambah bilangan Bumiputera berkelulusan
tinggi, agensi berkaitan seperti Jabatan Perkhidmatan Awam dan MARA akan
memperluaskan Program Pendidikan Lepasan Ijazah bagi memenuhi keperluan pasaran
terutamanya dalam bidang-bidang kritikal dan berteknologi tinggi.
38.
Keempat, dalam melahirkan lebih ramai golongan profesional Bumiputera,
Program Peneraju Profesional di bawah Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera serta
program-program seumpamanya akan diperluaskan. Ini akan membantu mereka memperoleh
pengiktirafan sebagai tenaga kerja profesional dan bertauliah, terutamanya dalam
bidang-bidang kritikal seperti akauntan, doktor pakar, arkitek, jurutera dan ahli
sains aktuari.
Tuan-Tuan
dan Puan-Puan,
Fokus Pemerkasaan
Kedua : MEMANTAPKAN PEMILIKAN EKUITI BUMIPUTERA DALAM SEKTOR KORPORAT
39.
Sehingga
kini, had maksimum bagi setiap individu dalam pelaburan Amanah Saham Bumiputera
adalah sebanyak 200 ribu ringgit. Justeru, bagi menggalakkan penyertaan, terutamanya
golongan menengah Bumiputera dalam pemilikan saham, sukacita saya mengumumkan
Skim Amanah Saham Bumiputera 2 atau ASB2 akan dilancarkan oleh Permodalan
Nasional Berhad, dengan suntikan sebanyak 10 bilion unit saham.
40.
Ekuinas pula akan diberi
tanggungjawab untuk mengambil alih peranan sebagai peneraju program Skim Jejak Jaya
Bumiputera. Program tersebut akan ditransformasikan melalui ekuiti dan
kepakaran pengurusan, bagi membimbing syarikat-syarikat Bumiputera supaya dapat
disenaraikan di Bursa Malaysia.
Tuan-Tuan
dan Puan-Puan,
Fokus Pemerkasaan Ketiga
: MEMPERKUKUH PEMILIKAN ASET BUKAN KEWANGAN BUMIPUTERA
41.
Bumiputera
masih lagi ketinggalan dalam pemilikan aset bukan kewangan seperti rumah
kediaman, premis industri dan kompleks komersial. Sebagai contoh, dalam tahun
2012, transaksi rumah kediaman yang direkodkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah
Negara, menunjukkan hanya 36.3 peratus transaksi rumah kediaman melibatkan
Bumiputera dengan nilainya hampir 18 bilion ringgit atau 26 peratus.
42.
Pada
sudut lain pula, banyak aset bukan kewangan seperti hartanah dalam kalangan
masyarakat Bumiputera Islam, yang tidak diuruskan secara teratur atau terbiar
menyebabkan nilai aset berkenaan menjadi rendah. Justeru, bagi mengoptimakan
nilai dan manfaat aset berkenaan, sebagai permulaan, Yayasan Wakaf Malaysia
akan diperkemaskan, untuk ditukar taraf menjadi entiti Wakaf korporat.
43.
Peranan
institusi-institusi hartanah seperti Pelaburan Hartanah Berhad, Majlis Amanah
Rakyat dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad akan diperkukuhkan bagi membangun atau
memperoleh hartanah komersil dan industri, terutamanya di lokasi strategik di
seluruh negara.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
44.
Di
samping itu, kerajaan menyedari tahap kemampuan masyarakat Bumiputera untuk
memiliki rumah adalah rendah dan ditambah lagi dengan harga pasaran rumah yang
semakin meningkat. Ke arah memperkasakan pemilikan aset hartanah, bagi menjana
kekayaan Bumiputera, kerajaan melalui Syarikat Perumahan Rakyat 1Malaysia atau
PR1MA serta Syarikat Perumahan Negara Berhad dan dengan kerjasama Kerajaan-Kerajaan
Negeri, akan memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik kepada Bumiputera di seluruh
negara, termasuk Sabah dan Sarawak.
45.
Manakala
menurut perangkaan, 58 peratus daripada 72 peratus penduduk Malaysia yang menetap
di bandar adalah Bumiputera. Namun, Kerajaan tahu, peratusan pemilikan hartanah
Bumiputera di kawasan bandar adalah kecil. Maka, tanpa intervensi Kerajaan,
bagi membetulkan keadaan ini, kedudukan pemilikan hartanah Bumiputera semakin
meruncing.
46.
Lantaran
itu, peranan UDA Corporation akan diperkukuhkan untuk membantu
membangun hartanah termasuk rumah kediaman, kompleks dan ruang perniagaan,
bangunan industri dan perdagangan di kawasan bandar.
47.
Bersabit
hal ini juga, saya akan mengarahkan GLC dan GLIC yang terlibat dalam perniagaan
hartanah untuk memberi penekanan kepada pembangunan hartanah Bumiputera
terutamanya perumahan, rumah kedai dan premis komersial.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Fokus
Pemerkasaan Keempat : MEMPERHEBAT KEUSAHAWANAN DAN PERNIAGAAN BUMIPUTERA
48.
Sebagaimana kita maklum, perniagaan
dan keusahawanan merupakan aktiviti ekonomi terpenting bagi menjana pendapatan
dan kekayaan. Walau bagaimanapun, penglibatan Bumiputera dalam kegiatan tersebut
masih rendah disebabkan terdapat beberapa kekangan yang dihadapi termasuk teknologi
pengeluaran yang lapuk, kekurangan akses kepada dana dan modal serta pasaran
produk yang terhad.
49.
Dalam mengatasi isu akses
kepada dana pembiayaan bagi usahawan kecil dan sederhana pula, peranan agensi
pembangunan usahawan Bumiputera seperti Amanah Ikhtiar Malaysia, TEKUN Nasional,
MARA dan PUNB akan diperkuatkan supaya bilangan usahawan Bumiputera yang
menerima akan bertambah, termasuk di Sabah dan Sarawak.
50.
Sehubungan itu, sukacita
saya umumkan, tambahan pembiayaan pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia sebanyak 300
juta ringgit untuk tempoh lima tahun. Bilangan sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia,
yang majoritinya wanita, disasarkan meningkat daripada 350 ribu kepada 500 ribu
orang pada tahun 2015 kelak.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
51.
Pada kesempatan ini juga,
saya mengumumkan, dana tambahan sejumlah 700 juta ringgit kepada TEKUN Nasional.
Bilangan usahawan TEKUN Nasional juga dijangka akan meningkat daripada 270 ribu
pada tahun 2013, kepada 370 ribu pada tahun 2015.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
52.
Bagi menyahut keluhan
usahawan yang mengalami kesukaran mendapatkan akses ke pasaran, maka, saya akan
mengarahkan semua Kementerian dan GLC mengukuhkan sistem pembangunan vendor
Bumiputera. Pemilihan vendor mestilah berasaskan meritokrasi di kalangan
Bumiputera. Barulah usahawan Bumiputera dapat dipupuk menjadi berdaya maju dan
mampan.
53.
Seiring dengan itu, saya
juga mahukan jangka masa kontrak dan konsesi vendor disesuaikan dengan tempoh
bayaran balik pinjaman bank agar projek mereka dapat dijalankan dengan lancar.
54.
Berkait dengan pemerkasaan
Program Pembangunan Vendor atau VDP, PETRONAS hendaklah melonjakkan program VDP-nya,
bagi mengukuh rantaian bekalan sektor minyak dan gas. Tenaga Nasional pula
dalam sektor tenaga, manakala Telekom Malaysia dan AXIATA dalam sektor
komunikasi, UEM dalam sektor pembinaan serta Sime Darby dan Felda Global
Ventures untuk sektor perladangan.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
55.
Dengan Pemerkasaan Ekonomi
Bumiputera ini juga, saya mahukan semua Ketua Pegawai Eksekutif di GLC
menetapkan sasaran ke atas penyertaan Bumiputera termasuk perolehan yang
dianugerahkan kepada vendor. Ini wajiblah dimasukkan sebagai Petunjuk Prestasi
Utama atau KPI kepada CEO atau Ketua Pegawai Eksekutif syarikat masing-masing.
56.
Sehubungan itu, suka
saya kongsikan dalam sektor minyak dan gas antara sekarang sehingga tahun 2017,
PETRONAS sedang dan akan menjalankan beberapa projek utama dalam sektor upstream dan downstream. Melalui projek-projek tersebut, kita merangkakan supaya
syarikat-syarikat Bumiputera mendapat manfaat daripada kontrak yang bernilai 20
bilion ringgit setiap tahun untuk kerja-kerja perkhidmatan di sektor upstream dan downstream.
57.
Jangka hayat
kemudahan-kemudahan ini selalunya mengambil masa selama 25 tahun atau lebih.
Dianggarkan sekurang-kurangnya 22 skop kerja kritikal bakal diwujudkan dan
dapat memberi manfaat kepada syarikat-syarikat Bumiputera.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
58. Bagi menangani isu rantaian perbekalan pula, Kerajaan melalui GLC dan
GLIC, akan membangunkan sekumpulan usahawan Bumiputera yang akan melibatkan
diri dalam aktiviti berkaitan pembuatan dan perindustrian yang berpotensi dan
mempunyai nilai tambah tinggi. Dalam
konteks ini, GLC dan GLIC akan menerajui usaha untuk mewujudkan beberapa
konsortium syarikat Bumiputera dalam sektor-sektor yang terlibat.
Tuan-Tuan dan Puan-puan,
59.
Program Penswastaan, secara umumnya, telah berjaya
menjadi pemangkin bagi mewujudkan individu dan syarikat Bumiputera yang
berjaya. Oleh itu, untuk merancakkan lagi program berkenaan, Unit Kerjasama Awam Swasta atau UKAS akan mengambil
inisiatif untuk mengenalpasti secara terpilih mana-mana perkhidmatan Kerajaan
yang berdaya maju untuk diswastakan kepada Bumiputera.
60. Sebagai langkah untuk mempastikan peluang
syarikat Bumiputera untuk memperoleh kontrak serta sebagai persediaan untuk
bersaing pada masa hadapan pula, dasar
Carve-out akan diperluaskan kepada projek-projek besar lain di bawah kementerian serta
GLC dan GLIC. Dasar ini telah berjaya dilakukan di dalam projek MRT di mana
sebanyak 47 peratus atau 9 bilion ringgit telah dianugerahkan kepada syarikat
Bumiputera terpilih secara meritokrasi.
61. Sebagai contoh, empat
projek tambahan yang telah dikenalpasti untuk menyertai program ini ialah
Projek Menara Warisan Merdeka, Bukit Bintang City Centre, MATRADE Exhibition
Centre dan Program Pembangunan Institut Penyelidikan Getah Sungai Buloh.
Tuan-Tuan dan
Puan-Puan,
62. Demi kelangsungan agenda, kita wajar membina
satu Komuniti Baru Entrepreneur Bumiputera yang mempunyai daya tahan, daya
saing, daya juang, inovatif dan berani mengambil risiko. Mereka juga perlu
mempunyai minat yang tinggi serta passionate
dalam menyertai bidang-bidang baru berasaskan pengetahuan atau knowledge based economy seperti
teknologi maklumat, bioteknologi dan teknologi hijau.
63.
Untuk tujuan ini, satu skim
pembiayaan baru lagi unik dinamakan sebagai Skim Permulaan Entrepreneur Baru Bumiputera
atau ringkasnya SUPERB akan diperkenalkan. Skim ini bertujuan untuk membantu syarikat
start-up. Bagi tujuan itu, dana
sebanyak 100 juta ringit akan diperuntukkan dalam tempoh tiga tahun.
64.
SUPERB ini akan menyediakan kemudahan geran
sehingga 500 ribu ringgit kepada entrepreneur baru yang kreatif dan inovatif
dalam bidang-bidang strategik yang mempunyai potensi masa hadapan yang besar.
65.
Pemilihan entrepreneur-entrepreneur
Bumiputera ini adalah berdasarkan merit dan akan dibuat oleh sekumpulan panel entrepreneur
di kalangan mereka yang telah berjaya. Di samping itu, entrepreneur baru yang
terpilih akan turut mendapat perkhidmatan mentoring daripada entrepreneur yang
sudah berjaya tersebut.
Tuan-Tuan
dan Puan-Puan,
Fokus Pemerkasaan Kelima : MEMANTAPKAN
EKOSISTEM PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN
66.
Sebagaimana
yang saya sebutkan, Kerajaan mendengar luahan rasa yang dilontarkan oleh
masyarakat Bumiputera berhubung tahap penyertaan dalam program pembangunan
sosioekonomi. Oleh itu, bagi mempastikan agenda pembangunan sosioekonomi
Bumiputera dapat dilaksanakan secara efektif, sistem penyampaian akan
diperkemas dan diperkejap untuk mewujudkan ekosistem yang cekap, komprehensif
dan konstruktif.
67.
Untuk
itu, Unit-Unit Pembangunan Bumiputera atau UPB akan diwujudkan di semua
kementerian. Unit Pembangunan Bumiputera ini bertanggungjawab bagi merangka
cadangan dan melaksana inisiatif Agenda Bumiputera.
PENUTUP
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
68.
Menjiwai kepentingan dan
perjuangan Bumiputera, saya ingin memetik Tujuh Wasiat, oleh Sembilan Raja-Raja
Melayu, semasa memperkenankan perjanjian kemerdekaan untuk menubuhkan sebuah
Persekutuan.
Bahawasanya:
“Kami
isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan
simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan,
Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah
bersama-sama kaum lain”.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
69.
Wasiat ini sangat terang
lagi bersuluh. Ia telah menyatakan tentang ekuiti dan pemilikan orang Melayu
dan kemudiannya diperluaskan kepada Bumiputera, melalui kebersatuan Sabah dan
Sarawak pabila Malaysia dibentuk 50 tahun yang lalu.
70.
Kendatipun begitu, bagi
pihak Kerajaan, secara tulus ikhlas saya meminta kepada semua pihak, agar
jangan bersalah sangka atau sesekali bersalah faham, tentang pemerkasaan
ekonomi Bumiputera ini. Sesungguhnya, inisiatif dan haluan besar ini, kita
lakukan bukan dengan jalan memintas, tidak dengan cara mengambil hak orang
lain, mahupun menafikan kepentingan sesiapa.
Ladies
and Gentlemen,
71.
Certainly!...
We are doing what is fair,... we are doing what is right..., and we are doing
what is equitable. Maknanya, kita tidak mempunyai apa-apa
nawaitu, atau sekelumit pun rasa prejudis terhadap bangsa-bangsa lain.
72.
Sayugia, yang tertanam di
benak sanubari saya dan kerajaan, adalah hasrat murni untuk terus gigih
mencipta serta menjana kekayaan baru. Semoga nikmat dan kemakmurannya, dapat
diraih serta dirasai oleh semua golongan sebagai rakyat Malaysia secara adil dan
saksama.
73.
Bahkan, kerukunan kita telah
diiktiraf pada tangga ke-20 sebagai negara paling stabil dan aman di dunia...............,
Begitulah istimewa dan uniknya Malaysia.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
74.
Pucuk pangkalnya, hendak
saya pertegaskan bahawa kita adalah kerajaan yang berhemah lagi
bertanggungjawab, ke atas seluruh lapisan rakyat, tanpa mengira apa jua latar
belakang samada Bumiputera atau bukan Bumiputera, Islam mahupun bukan Islam.
75.
Kita juga tidak seperti
sesetengah pelaku politik, yang tidak sudah-sudah menyalakan api perkauman
sehingga menggerun dan memesongkan pemikiran rakyat.
76.
Suka tidak suka, seandainya
tidak berhati-hati dan terpengaruh dengan sentimen pihak luar, melalui dalang
dan petualang dalaman ini, maka, tempiasnya akan terpercik kepada kita.
Sekiranya dibiar dan tidak dibendung, Malaysia sebagai sebuah negara bangsa
yang berdaulat lagi merdeka pada akhirnya akan musnah dan membungkam.... Barang
dijauhkan oleh Allah jua.....
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
77.
Sebagai
mana di awal ucapan tadi, saya menyatakan kita berhimpun di sini bukan untuk
saja-saja, kita berkumpul di sini bukan untuk suka-suka......... Seperti slogan
yang popular, UiTM Dihatiku.... makanya, Universiti Teknologi MARA ini sangat
dekat di hati kita, sebagai sebuah institusi Bumiputera yang cukup membanggakan.
78.
Bahkan.....,
masih segar lagi dalam ingatan, sewaktu berucap sebagai Timbalan Presiden UMNO,
pada Perhimpunan Agung tahun 2005........., saya telah mengumumkan supaya
enrolmen pelajar UiTM ditingkatkan daripada 100,000 kepada 200,000 menjelang tahun 2015. Kini,......
Alhamdulillah, bilangannya sudah pun mencecah 180,000 orang.
79.
Pagi
ini pula........., saya ingin mengumumkan hasrat peningkatan enrolmen pelajar Universiti
Teknologi MARA ini kepada 250,000 menjelang tahun 2020. Penambahan
ini juga termasuk penubuhan beberapa lagi kampus baru di seluruh negara.
Tuan-Tuan
dan Puan-Puan,
80.
Demi Melayu......, Demi
Bumiputera........, Saya ingin mengumumkan penubuhan Dana Pendidikan MARA yang
berjumlah 1 bilion ringgit bagi membiayai keperluan program latihan,
pendidikan, keusahawanan, penyelidikan dan
pembangunan serta inovasi. Dana ini berbentuk Matching Fund nisbah satu
kepada satu antara MARA dan Kerajaan yang disalurkan secara berperingkat.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
81.
Kita juga
sedar, masyarakat Bumiputera meletakkan harapan yang tinggi kepada TERAJU bagi
menakhoda agenda pembangunan Bumiputera. Kini, untuk membestarikan lagi TERAJU,
sebagai sebuah badan yang unggul, ia akan diletakkan langsung di bawah saya
sendiri sebagai Perdana Menteri, dengan diketuai oleh seorang ............................................
82.
Sebagai memenuhi hasrat kita untuk mewujudkan Komuniti Entrepreneur
Bumiputera, sukacita saya umumkan bahawa Institut Keusahawanan Negara atau
INSKEN kini, akan diletakkan di bawah seliaan TERAJU. Begitulah juga Skim
Permulaan Entrepreneur Baru Bumiputera atau SUPERB yang baru saya wujudkan
tadi.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
83.
Sebagai payung
dan kemuncak strategi pemerkasaan ini, sebuah council yang dipanggil Majlis Ekonomi Bumiputera atau MEB akan
ditubuhkan bagi menggantikan Majlis Tindakan Agenda Bumiputera. Majlis Ekonomi
Bumiputera ini akan dipengerusikan sendiri oleh saya dan Timbalan Pengerusinya
adalah YAB Timbalan Perdana Menteri dengan keanggotaan beberapa menteri
berkenaan. Keahliannya pula bersifat kompak, di mana pelbagai badan bukan
kerajaan dan pihak-pihak yang releven akan diundang. Majlis yang penting ini,
akan bersidang sekurang-kurangnya sekali sebulan dan jika perlu lebih dari
itu.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
84.
Maka, berpasak dan bertunjang
dengan Majlis Ekonomi Bumiputera ini....., kepada orang-orang Melayu dan
Bumiputera, usahlah berbimbang-bimbang dan bergundah-gundah, kerana,......
selagi ada bulan dan bintang,.......... selagi hayat dikandung badan,.............
survival Melayu dan Bumiputera tetap menjadi keutamaan dan pelita perjuangan kita
sampai bila-bila.
85.
Akhir kalam, saya berikrar akan terus
beristiqamah memperkasakan ekonomi Melayu dan Bumiputera. Mudah-mudahan dengan
izin dan ketentuan Allah jua, semuanya akan tercapai.
HIDUP
MELAYU........ HIDUP BUMIPUTERA........ HIDUP MALAYSIA.......
Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh.
Terima kasih.
Comments
Jika saudara/saudari/tuan/puan berminat untuk memperbaiki masalah kesihatan, turun berat badan, naik berat badan ataupun mengekalkan berat badan, InsyaAllah saya boleh membantu.
Jika berminat boleh email saya.InsyaAllah saya berusaha sedaya mungkin untuk coach dan bantu saudara/saudari/tuan/puan.
Wassalam