Melayu, Cukuplah Tidur, Bangun Pertahankan Bangsa MU

 Barangkali masih ramai orang Melayu tidak mengetahui atau sengaja tidak mahu mengetahui mengenai kewujudan buku himpunan esei berjudul Contesting Malayness terbitan sebuah universiti Singapura yang menjurus kepada pandangan bahawa bangsa Melayu tidak pernah wujud di muka bumi ini.
  Dakwaan seperti itu tentunya pelik bagi kita yang sudah sebati dengan kisah Kesultanan Melayu dan kehebatan hulubalang Melayu seperti Laksamana Hang Tuah dan Hang Jebat. 
  Malah, Sejarah Kesultanan Melayu Melaka sudah membuktikan bahawa Selat Melaka pernah menjadi pusat dagangan dunia yang terkemuka. Namun, penjajah yang menakluki Melaka bukan saja meruntuhkan empayar gemilang itu, tetapi turut memusnahkan sejarah kegemilangan Melayu.
  Bukan soal itu yang ingin diperdebatkan, sebaliknya penulis mahu mencari jawapan terhadap motif penghasilan buku itu yang bagaikan cuba menafikan hak orang Melayu di bumi bertuah ini.
  Apa lagi yang Singapura mahu daripada Melayu? Mungkin ayat ini terlalu kasar, namun adakah kita terfikir apakah motif universiti negara jiran itu menerbitkan buku yang cuba menafikan kewujudan Melayu.
  Cukuplah bangsa Melayu diperlekeh dan dipersendakan. Khabarnya, di pintu masuk Muzium Singapura, dinyatakan bahawa Melayu sebagai bangsa lanun dan pencuri. Melayu bukan lanun ataupun pencuri, Melayu juga bukan pemalas, Melayu ada tamadunnya yang penuh dengan kegemilangan.
  Dalam konteks Malaysia, Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan dengan majoriti mudah yang mana sokongan pengundi Cina didominasi sepenuhnya DAP. Malah, keputusan itu menyebabkan PRU-13 dinamakan sebagai ‘Tsunami Cina’.
  Malah, kini beberapa perkara yang sememangnya termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan mula dicabar oleh pihak tertentu, bukan itu saja, ada juga yang menuntut hak sama rata untuk semua kaum di negara ini ketika Bumiputera masih  jauh ketinggalan.
  Senario politik negara hari ini menyaksikan semakin ramai bukan Bumiputera mula bersuara menuntut hak sama rata dengan Bumiputera, kononnya hak mereka dinafikan, benarkah hak bukan Bumiputera di negara ini dinafikan? Siapa menjuarai ekonomi Malaysia?
  Sebenarnya, bangsa Melayu sudah lama dinafikan hak mereka di bumi sendiri. Malah bagi Pengkaji dan Penyelidik Sejarah, Dr Zaharah Sulaiman, Melayu adalah satu bangsa yang hebat dan mampu berdiri sama tinggi dengan kaum lain di negara ini jika hak mereka tidak dinafikan dari awal lagi

.Melayu bangsa hebat
  Bagi Zaharah, Melayu adalah bangsa yang hebat dan kehebatan Melayu itu dicemburui oleh bangsa lain di dunia ini. Sebab itulah apabila penjajah menguasai Tanah Melayu, mereka bukan saja menafikan hak bangsa itu tetapi turut memusnahkan kegemilangan Melayu.
  “Hak bangsa Melayu di negara ini sudah dinafikan sejak zaman penjajahan British lagi, orang Melayu tidak diberikan peluang untuk mendapat pendidikan tinggi seperti bangsa lain, orang Melayu ditempatkan di kawasan pedalaman dan hanya menjalankan kegiatan pertanian.
  “Sedangkan bangsa lain yang dibawa masuk ke tanah Melayu bukan saja dianggap sebagai rakyat British, malah mendapat pelbagai keistimewaan berbanding bangsa Melayu. Kumpulan ini ditempatkan di kawasan bandar, menguasai sektor perlombongan dan perniagaan.
  “Melayu bukannya tidak hebat, Melayu bukannya bangsa pemalas, tetapi hak Melayu di buminya sendiri sudah dinafikan sejak zaman berzaman. Jika ada pihak bukan Melayu berkata hak mereka dinafikan, sebenarnya hak Melayu yang dinafikan,” ujarnya.
  Jika hak bangsa Melayu tidak dinafikan sejak dari dulu lagi, hari ini mungkin sudah ramai orang Melayu muncul sebagai ahli perniagaan berjaya dan mungkin juga jurang ekonomi antara bangsa Melayu dan bangsa lain tidaklah begitu ketara sekali.
  Ketika mana bukan Bumiputera mendakwa hak mereka dinafikan di bumi Malaysia ini, ketika itu jugalah bangsa Melayu sedang merangkak dan terkial-kial berusaha untuk merapatkan jurang ekonomi mereka.
  Jika bukan Melayu mendakwa mereka terpinggir, persoalannya siapa yang menguasai ekonomi negara, siapa yang mendominasi penempatan di bandar-bandar utama di negara ini? Hanya segelintir Melayu  mampu berbangga kerana berjaya membeli aset di kawasan bandar.
  Kenapa bangsa lain cukup cemburu dengan Melayu sehinggakan mereka sanggup memusnahkan sejarah kegemilangan Melayu? Kenapa juga bangsa Melayu hari ini terutama golongan muda masih ‘tidur’ dan leka dengan permainan dunia sedangkan bangsanya sedang diserang di segenap pelosok?
  Apakah orang Melayu mahu sejarahnya ditentukan oleh bangsa lain? Cukuplah sudah Istana Raja Melayu yang gemilang pada suatu masa dulu kini dijadikan muzium oleh pihak tertentu, Melayu perlu sedar bahawa ada pihak sedang menunggu untuk menjadikannya artifak dan dipamerkan di muzium.
   Melayu terpaksa mengambil masa yang begitu lama berjuang untuk memperjuangkan haknya, namun bangsa lain boleh menuntut sesuatu daripada orang Melayu hanya dalam tempoh ‘satu malam’   dan tidak perlu melakar sejarah perjuangan yang lama.
  Lihat saja apa yang berlaku di Perak ketika pakatan pembangkang mentadbir negeri itu. Atas desakan pihak tertentu, kerajaan negeri Perak ketika itu memberikan hak pemilikan tanah selama 999 tahun kepada bukan Melayu.
   Hari ini, Melayu juga dilabelkan oleh bangsa yang cukup sinonim dengan rasuah. UMNO yang menjadi tunjang kepada pentadbiran kerajaan di negara ini dilabelkan sebagai sebuah parti korup oleh pihak tertentu.
  Tetapi sejarah sudah membuktikan bangsa Melayu masih ketinggalan dan bangsa Melayu belum lagi senang seperti bangsa lain. Cuba kita buat penilaian bangsa mana yang sudah lama kaya di negara ini dan bangsa mana mengajar Melayu erti rasuah, tepuk dada tanyalah hati.
  Segala yang buruk dilabelkan kepada bangsa Melayu, sedangkan Melayu belum ramai kaya-raya, belum lagi menguasai sektor perniagaan dan tidak ramai mampu memiliki aset jutaan ringgit di ibu kota, siapa sebenarnya yang menguasai sektor komersial dan siapa sebenarnya paling ramai rasuah, Melayu atau bukan Melayu?

Melayu kena bangkit 
  Sejarawan Barat sepakat dan mengiktiraf bangsa Melayu sebagai pakar dalam bidang maritim yang mana sejarah  membuktikan bahawa bangsa ini sudah memiliki kapal yang besar pada zaman kegemilangannya mengalahkan kapal milik Portugis dan kapal tersebut dikenali sebagai ‘Mendam Berahi’.
  Namun, itu semua sudah tinggal sejarah, hari ini bukan saja sejarah Melayu sedang diperkotak-katikkan dan diubah bangsa lain, malah bangsa Melayu sendiri sudah berpecah kepada beberapa mazhab kerana berimankan pemimpin politik yang berlainan ideologi. Inilah yang melemahkan Melayu.
   Bangkitlah Melayu, bangsamu bukannya bangsa lemah dan pemalas tetapi bangsamu adalah bangsa yang hebat dan pernah mencipta kegemilangan. Marilah kita cipta kembali kegemilangan Melayu pada abad baru ini.
  Dakwaan bangsa Melayu tidak pernah wujud hanyalah ‘ketakutan’ bangsa tertentu terhadap kehebatan bangsa Melayu, Melayu tersebar hampir ke seluruh dunia, Melayu ada di mana saja termasuk di Zanzibar dan Madagascar.

Comments