Ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim terus giat merancang perhimpunan
Blackout 505 menentang keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13
(PRU-13),Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat,Nik Abduh Nik Abdul Aziz
pula menerima kekalahan pakatan pembangkang dan menyifatkannya sebagai
takdir Allah.
Malah,Ahli Parlimen Pasir Mas itu menerusi akaun Facebook miliknya hari
ini menyatakan tidak terkejut dengan keputusan pada 5 Mei lalu yang
menyaksikan Barisan Nasional (BN) kekal membentuk kerajaan sekali gus
menafikan impian Anwar bercita-cita menjadi Perdana Menteri.
“Keputusan yang diperolehi pada 5 haribulan (5 Mei lalu) adalah tidak
mengejutkan saya.Saya mudah menerima takdir Allah dalam PRU kali ini
berbanding kejutan takdir Allah dalam PRU 2004 yang begitu menggegar
bahtera perjuangan Pas.Keputusan PRU-13 adalah kemenangan buat BN dan
kekalahan buat pakatan pembangkang.Pas melalui Presidennya (Datuk Seri
Abdul Hadi Awang) menyeru rakyat menerima kekalahan. Ia adalah takdir
Allah,” katanya.
Nik Abduh turut menyentuh prestasi pembangkang di Sabah dan Sarawak yang
kekalahan pembangkang di kedua-dua negeri itu membayangkan kelemahan
jentera Anwar.Kekalahan pakatan pembangkang di Sabah dan Sarawak jelas
beliau,telah melenyapkan harapan pembangkang untuk memenangi Putrajaya
seterusnya membentuk kerajaan meskipun berjaya menambah kerusi Parlimen
dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Semenanjung.Dalam nada sinis,Nik
Abduh turut menyifatkan janji-janji Anwar sekadar janji manis sehingga
mengakibatkan ramai penyokong pakatan pembangkang menjadi mangsa
‘kencing manis akibat janji manis bergula’ Penasihat Parti Keadilan
Rakyat (PKR) itu.“"Saya tidak faham politik janji manis dan harapan
meranap gunung.Sepanjang saya berguru dengan TGNA (Tuan Guru Nik
Aziz),TGHH (Tuan Guru Haji Hadi) dan guru politik dalam Pas,saya tidak
pula diajar begitu selain berkata benar dan tegas.Ya,DSAI (Datuk Seri
Anwar Ibrahim) bukan Pas dan beliau tidak perlu mengguna pakai kaedah
Pas.Tetapi,saya jadi keliru melihat sebahagian mangsa adalah ahli dan
pendukung Pas,” katanya.
Beliau sehubungan itu menempelak ahli dan pendukung Pas yang sukar
memahami maksud ‘menerima takdir Allah’ yang dianjurkan Abdul Hadi
sehingga menganggap kekalahan pilihan raya lalu sebagai menyerah kepada
kezaliman BN yang didakwa mempergunakan Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR).“Saya sukar memahami sesetengah ahli Pas tidak memahami maksud
beriman kepada takdir Ilahi.Sama ada saya menyalahkan DSAI atau
menyalahkan ahli dan pendukung Pas sendiri yang terlalu kemaruk janji
manis DSAI,saya tangguhkan buat sementara kerana mungkin juga
kedua-duanya bersalah,” katanya.Nik Abduh turut mengakui Pas masih gagal
memikat undi orang Melayu di seluruh negara termasuk kegagalan parti
itu membantu sekutunya PKR mengekalkan tiga kerusi Parlimen di Kelantan
yang mereka menangi pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.Menurut
beliau,Dewan Pemuda Pas sekitar tahun 2010 telah merumuskan bahawa Pas
mestilah menumpukan usaha memikat hati orang Melayu yang didakwa masih
liat untuk berubah.Dalam rumusan tersebut katanya,Dewan Pemuda Pas juga
mengingatkan semua jentera parti agar menjaga hati orang Melayu agar Pas
dilihat mampu menggantikan UMNO.Pas perlu bertegas dengan isu orang
Melayu sebagaimana UMNO dilihat begitu. Bezanya Pas hanya perlu
menampilkan penyelesaian cara Islam yang adil dan bersifat memakmurkan
hubungan antara kaum tanpa rasis UMNO.Justeru ia akan menambah undi
Melayu selain mengekalkan undi bukan Melayu kepada Pas,” katanya lagi
merujuk kepada rumusan sayap Pas itu.
Nik Abduh turut menegaskan bagaimana Dewan Pemuda Pas telah berusaha
menjuarai isu-isu Melayu dan Islam serta yakin memperolehi hasil yang
agak positif – Utusan
Comments