Husam Dedahkan Kelemahan PAS Kelantan

husamberpeluhxxTimbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Datuk Husam Musa meminta 'penyingkiran' beliau sebagai Exco kerajaan negeri tidak dikaitkan dengan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
ADUN Salor itu menegaskan, Sultan Kelantan merupakan seorang raja yang saksama dan adil.
Beliau turut melahirkan rasa kecewa kerana "tidak diberitahu, tidak dimaklumkan dan tidak ada mesyuarat dipanggil di peringkat Perhubungan Pas negeri untuk memutuskan pertukaran Menteri Besar dan pembentukan kerajaan baharu."
"Ketelusan dan sokongan secara bermesyuarat atas perkembangan penting ini membantu Pas terus utuh di bumi Kelantan," katanya.
Beliau turut mengedarkan satu kenyataan kepada petugas media yang hadir iaitu The Star, Sinar Harian dan dua akhbar berbahasa Cina.
Tanpa mempertikaikan barisan Exco kerajaan negeri yang dilantik, Naib Presiden Pas itu memohon tidak berlaku amalan kronisme di semua peringkat.
Beliau turut memohon amalan pemberian kawasan getah klon dan multispesies dihentikan, sementara pemberian kawasan perlombongan seeloknya dilakukan secara tender terbuka.
"Kedudukan amalan perladangan dan perlombongan Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan Yakin dikaji semula.
"Perjalanan Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) perlu dikaji semula. Perjalanan Ladang Rakyat khususnya mengenai pertindihan dengan terokaan rakyat juga perlu dikaji semula," katanya.
Beliau turut meminta susunan yang telah diatur bagi pembinaan Lebuh Raya Rakyat Kota Bharu-Kuala Krai dan pembinaan bandar baharu sukan Bukit Merbau tidak dirombak atau dihentikan, manakala tuntutan royalti tidak dikendurkan.

Comments