Putrajaya Kekalahan Pertama PAS

 
Kuala Lumpur: Calon PAS Putrajaya, Datuk Husam Musa mengakui berdepan laluan sukar untuk menarik sokongan kakitangan kerajaan bagi menumbangkan Barisan Nasional (BN) di kawasan itu.
  Naib Presiden PAS itu berkata, bertanding di Putrajaya umpama ‘menempah maut’ apatah lagi menentang calon berpengaruh dalam BN yang juga Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor.
  Beliau berkata, Putrajaya adalah pusat transformasi negara yang memiliki segala keperluan asas mencukupi, oleh itu PAS perlu menggunakan pendekatan berbeza jika berkempen di kawasan itu nanti.
  “Putrajaya adalah kerusi sukar untuk dimenangi, Ahli Parlimen di situ adalah seorang tokoh cukup hebat, beliau adalah seorang pakar strategi. Apatah lagi kawasan itu pengundinya tidak ramai dan majoritinya kakitangan kerajaan.
  “Kawasan itu mempunyai segala kelengkapan asas mencukupi, tiada masalah jalan rosak dan sebagainya. Walaupun cabaran berat namun saya cuba ikhtiar supaya ia menjadi pusat pentadbiran yang diwarnai dengan kehendak rakyat.
  “Saya terpaksa turun dan angkat tabik hormat terlebih dulu kepada Tengku Adnan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
  Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) lalu, Tengku Adnan memenangi kerusi itu dengan menewaskan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohammad Nor Mohamad.
  Semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan enam calon Parlimen yang akan bertanding pada pilihan raya umum kali ini termasuk Husam, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan dua lagi Naib Presiden parti itu iaitu, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub.
  Hadi yang disahkan kekal bertanding di Parlimen Marang turut mengumumkan tiga lagi calon kawasan Parlimen iaitu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (Kuala Terengganu), bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari (Larut) dan penyanyi, Wan Aishah Wan Ariffin atau lebih dikenali sebagai Aishah bertanding di Jempol.
  Sementara itu, Husam menasihatkan penyokong PAS supaya tidak memasang bendera parti itu di kawasan protokol termasuk jalan raya dan sebagai menghormati status Putrajaya sebagai pusat pentadbiran negara.
  Katanya, walaupun 90 peratus maklum balas yang beliau terima memintanya supaya tidak bertanding di situ, namun arahan parti tetap dipatuhi dan yakin akan diterima pengundi Putrajaya.

Comments