Kuala Lumpur: Pengundi di Lembah Pantai menyelar tindakan calon PKR, Nurul Izzah Anwar yang melabelkan mereka sebagai pengundi hantu dan menyifatkan perkara itu sebagai cubaan untuk menafikan hak mereka sebagai rakyat negara ini.
Oleh itu lebih daripada 200 pengundi di kawasan itu yang disenaraikan sebagai pengundi hantu oleh Nurul Izzah yang juga penyandang kerusi Parlimen Lembah Pantai, tampil menuntut keadilan serta membantah tindakan pemimpin PKR terbabit.
Ketua UMNO Cawangan Kampung Kerinchi, Mohd Yahya Yusop, 62, berkata tindakan memfailkan semakan kehakiman bagi membatalkan nama pengundi berkenaan dalam senarai pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah satu perbuatan tidak bertanggungjawab serta ‘buta sejarah’.
“Untuk pengetahuan Nurul Izzah, kami adalah penduduk Lembah Pantai sejak sekian lama, kami sudah lama menetap di sini, bekerja di sini dan anak-anak kami pun lahir di sini juga. Kami juga sudah sekian lama mengundi di sini sebelum Nurul Izzah dilahirkan lagi.
“Semasa kami mula-mula daftar mengundi alamat digunakan adalah di kampung setinggan, namun seiring dengan pembangunan, kami dipindahkan ke kawasan perumahan, namun alamat sama tetap digunakan bagi pendaftaran mengundi.
“Bagi saya tindakan Nurul Izzah ini umpama buta sejarah, beliau sepatutnya sedar dengan pembangunan yang berlaku di Lembah Pantai dan bukannya membuat tuduhan tanpa asas,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR memfailkan semakan kehakiman bagi membatalkan pendaftaran senarai pemilih membabitkan 4,637 pengundi Lembah Pantai, Mac lalu, yang didakwanya sebagai pengundi hantu kerana alamat kediaman tidak lengkap serta tidak wujud.
Mohd Yahya berkata, Nurul Izzah perlu sedar beberapa kampung setinggan di kawasan itu kini sudah bertukar wajah, misalnya, Kampung Pasar Kiri kini sudah menjadi tapak gerai penjaja dan Kampung Lembah Pantai sekarang menjadi menara TM.
Bagi Nurzailan Kadir, 57, yang sudah sekian lama menetap dan mengundi di kawasan itu, cukup terkilan serta marah dengan tindakan calon PKR itu melabelkan mereka sebagai pengundi hantu tanpa menyiasat kesahihannya terlebih dulu.
“Saya cukup marah dengan kenyataan beliau yang mendakwa kami ini semua pengundi hantu, kenapa pula sewaktu menang pada pilihan raya umum 2008 tidak dibangkitkan langsung tentang pengundi hantu ini,” katanya.
ends.
Comments