Cukup-Cukuplah Nik Aziz

Kuala Lumpur: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat dinasihatkan supaya berundur daripada dunia politik jika tidak mahu akidah Islam terus diganggu-gugat sehingga membawa kepada perpecahan ummah.
  Timbalan Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (JATI), Datuk Aidit Ghazali, berkata keputusan Menteri Besar Kelantan itu untuk bertanding pada pilihan raya umum kali ini umpama ‘menggali kubur’ sendiri apabila mengeluarkan pelbagai ‘fatwa songsang’ bagi meraih undi.
  Beliau berkata, tindakan Nik Aziz yang menghukum solat orang UMNO tidak mendapat pahala bukan saja bertentangan dengan akidah Islam, malah ia juga sudah mengambil hak mutlak Allah SWT.
  “Saya nasihatkan Nik Aziz usahlah menjadi alat politik, tindakannya menghukum pihak tertentu seperti itu seolah-olah mengambil hak Allah. Jika begitu, belum tentu ia mati sebagai Islam, hak untuk tentukan orang itu Islam, kafir ataupun tidak, dapat masuk syurga atau tidak adalah hak mutlak Allah.
  “Orang PAS, kalau betul sayangkan Nik Aziz nasihatkan beliau supaya bersara, jika betul keputusannya untuk bertanding ia umpama menggali kuburnya sendiri, jika kubur tanah itu tidak mengapa, sebaliknya kubur akidahnya sendiri,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.  
  Aidit yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Perkembangan Minda (INMIND) itu berkata, jika Nik Aziz berkecimpung dalam politik secara aktif dikhuatiri akan mengeluarkan pelbagai fatwa boleh merosakkan akidah umat Islam.
  Sementara itu bagi Presiden JATI, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, berkata Nik Aziz perlu muhasabah diri apakah beliau masih relevan serta berkemampuan untuk mentadbir urus negeri ketika keadaan kesihatan tidak mengizinkan.
  Hasan berkata, PAS sememangnya masih memerlukan pemimpin itu kerana beliau adalah tonggak ataupun individu yang mampu menyatukan seluruh ahli parti itu khususnya di negeri Kelantan.
  “Namun bagi saya Nik Aziz tidak konsisten, dulu beliau kata jika Tun Dr Mahathir Mohamad bersara beliau pun akan turut bersara, tetapi ia tidak berlaku. Begitu juga kenyataannya sering kali dinafikan ulama.
  “Saya kira beliau juga berdepan dengan masalah kesihatan, apakah masih ada keupayaan untuknya menguruskan pentadbiran negeri. Seperti menunaikan ibadat haji, kita perlu sihat tubuh badan dan ada kemampuan untuk menunaikannya,” katanya.   

Comments