Skip to main content

Calon Bebas: Kuasa Ketiga Mewarnai Politik Malaysia

KUALA LUMPUR: Penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang selesai hari ini mencatat sejarah tersendiri dalam landskap pilihan raya negara ini berikutan kemunculan paling ramai calon Bebas.

Jika sebelum ini, kehadiran calon Bebas lebih banyak mewarnai pilihan raya di Sabah dan Sarawak, namun kali ini fenomena sama turut berlaku di negeri di Semenanjung.
Kehadiran calon Bebas kali ini juga menyebabkan banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) menyaksikan pertandingan tiga penjuru dan lebih.


Kerusi paling ramai menyaksikan calon bertanding ialah dua DUN Sabah iaitu Kalabakan dan Sulabayan, yang membabitkan pertandingan tujuh penjuru.

Sepuluh DUN pula menyaksikan pertandingan enam penjuru iaitu lima di Sabah, dua di Selangor serta masing-masing satu DUN di Pulau Pinang dan Kedah.

Pertandingan lima penjuru antara lain berlaku di Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak, manakala pertandingan tiga dan dua penjuru boleh dikatakan berlaku di setiap negeri.

Pertandingan banyak penjuru itu kebanyakannya berikutan kemunculan calon ramai Bebas yang antara lain berpunca daripada rasa tidak puas hati ahli sesuatu parti dengan pencalonan yang diputuskan oleh kepemimpinan parti atau kecewa selepas tidak dicalonkan.
Dalam PRU13 yang mempertandingkan 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi DUN, Sabah dan Sarawak kekal sebagai lubuk bagi calon Bebas.

Selain kemunculan ramai calon Bebas dan pertandingan banyak penjuru, `kejutan’ lain pada PRU kali ini ialah tindakan Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Kuala Kangsar.

Turut mencuri tumpuan ialah pencalonan penyanyi 80-an, Herman Tino sebagai calon Bebas untuk kerusi Parlimen Tanjung Karang, penyanyi Dayang Ku Intan yang bertanding atas tiket PKR di Parlimen Pengerang dan Aishah atau Wan Aishah Wan Ariffin atas tiket PAS di Parlimen Jempol.

Kerusi tumpuan lain termasuk Parlimen Pekan, tiada berlaku kejutan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ditentang satu lawan satu dengan oleh calon PKR, manakala Tan Sri Muhyiddin Yassin berdepan calon PAS di Pagoh.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berdepan pertandingan tiga penjuru di Parlimen Permatang Pauh dengan calon BN, Dr Mazlan Ismail dan wakil Bebas, Dr Abdullah Zawawi Samsudin.

Di Parlimen Keningau, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS-BN), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan ditentang oleh oleh adiknya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan daripada Parti Reformasi Sabah (STAR) serta Stephen Sandor (PKR).

Secara keseluruhannya, hari penamaan calon PRU13 berjalan lancar dan tiada kejadian diingini dilaporkan berlaku.

Comments