Apa Lagi Fatwa Nik Aziz Lepas Ni?


Lebih banyak 'fatwa' dijangka dikeluarkan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini bagi meraih sokongan pengundi Islam dan Melayu dalam usaha merampas Putrajaya daripada Barisan Nasional (BN).
  
 Terbaru, Nik Aziz mengeluarkan fatwa bahawa sembahyang dan apa saja dilakukan orang UMNO tidak mendapat pahala. Bukan sekali UMNO dilabelkan sebegini rupa, malah UMNO pernah dituduh kafir, menolak Islam dan sebagainya oleh pemimpin PAS.
  
 Bukan itu saja, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika majlis pelancaran manifesto pembangkang di Shah Alam beberapa bulan lalu melabel kerajaan BN dan UMNO umpama Firaun kerana melihat usaha kerajaan membantu rakyat dengan memperkenal Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan beberapa program lain disamakan dengan kerja Firaun.
  
 UMNO adalah parti yang majoritinya orang Melayu dan beragama Islam, tetapi bagi mata kasar PAS, parti itu tidak Islam seperti mana mereka dan tidak layak untuk UMNO bekerjasama dengan PAS. Tetapi yang menjadi persoalannya, apakah DAP itu sebuah parti Islam, apakah DAP menerima perjuangan Islam seperti mana dikehendaki PAS.
  
 Pengerusi DAP, Karpal Singh pernah memberi amaran kepada PAS supaya melangkah mayatnya terlebih dulu sekiranya parti itu ingin melaksanakan negara Islam. Begitu juga dengan penentangan secara terangan DAP terhadap pelaksanaan hukum hudud oleh PAS sehingga ia tidak dimasukkan langsung dalam manifesto pakatan pembangkang.
  
 Gadai perjuangan Islam
  
 Bukan itu saja, PAS juga sanggup menggadaikan perjuangan Islamnya kepada negara berkebajikan, semuanya kerana ingin menjaga hati rakan sekutunya itu, begitu juga pendirian PAS dilihat tidak konsisten dalam isu kalimah Allah.
  
 Apakah DAP lebih Islam berbanding UMNO? Apakah PAS boleh menerima DAP kerana memperjuangkan perkara sama iaitu untuk menumbangkan BN dan sanggup berkompromi, umpama DAP lebih mulia jika dibandingkan UMNO walaupun secara terangan parti itu menolak perjuangan Islam PAS.
  
 Perkara itu turut dibangkitkan bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa yang mencabar DAP supaya menyatakan pendirian mereka apakah boleh menerima dasar perjuangan Islam PAS sekiranya ingin menggunakan logo parti itu pada PRU-13.
  
 Bukan sekali Nasharudin menyuarakan rasa tidak puas hatinya terhadap kerjasama PAS dengan DAP, walaupun dikatakan bersandarkan kepada tahaluf siasi, namun beberapa kali adab tahaluf siasi dilanggar DAP hingga menyentuh sensitiviti agama Islam.
  
 Dalam soal pemilihan calon PRU-13, beberapa kali mesyuarat terpaksa diadakan bagi mencari kata sepakat untuk pengagihan kerusi. Malah, PAS juga tidak diendahkan oleh rakannya dalam membuat keputusan. Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali misalnya mengumumkan parti itu akan bertanding di Parlimen Setiawangsa dan Labuan tanpa mendapat persetujuan PAS Wilayah Persekutuan.
  
 Kepincangan dalam pakatan
  
 Kepincangan ini dapat dihidu pemerhati politik, begitu juga dengan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali yang menyifatkan beberapa mesyuarat diadakan pemimpin pakatan itu menimbulkan suasana tegang bila membicarakan soal pengagihan kerusi.
  
 Satu lagi isu besar yang menghantui pakatan pembangkang ialah soal siapa bakal Perdana Menteri jika mereka menang PRU-13. Sehingga sekarang tiada kata sepakat antara mereka. PKR dan DAP mencanangkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bakal Perdana Menteri, namun nada berbeza disuarakan PAS.
  
 Dalam pertemuan dengan perantau ataupun anak Terengganu di Lembah Klang, Sabtu lalu, Abdul Hadi dalam ucapannya menjelaskan kegagalan pakatan menamakan calon Perdana Menteri jika mereka berkuasa kerana bimbang ia tidak mendapat persetujuan Yang di-Pertuan Agong.
  
 Jika itu alasannya, adakah bermakna PAS tidak yakin dengan Anwar yang mempunyai pelbagai masalah moral akan diterima sebagai Perdana Menteri jika pakatan mentadbir? Ataupun Abdul Hadi sendiri mahu menjadi Perdana Menteri.
  
 Apakah kita mampu meletakkan harapan kepada pakatan yang sehingga kini masih gagal membentuk kerjasama kukuh. Beranikah kita meletakkan harapan kepada pakatan yang masih lagi 'huru-hara' dalam mencapai kata sepakat membabitkan pelbagai isu negara?
  
 Bayangkan, apa akan jadi jika pakatan mentadbir Putrajaya? Oleh itu, rakyat Malaysia perlu menggunakan kuasanya sebaik mungkin, sandarkan harapan kepada parti dan pemimpin yang boleh menunaikan dan menepati janjinya dan bukannya kepada parti yang hanya menawarkan janji manis secara bermusim.
  
 PAS gagal di Kelantan, Kedah
  
 Kegagalan PAS untuk membangunkan Kelantan atau memacu Kedah harus menjadi asas kepada pengundi untuk menolak parti itu pada pilihan raya kali ini. Lima tahun adalah masa yang lama, lima tahun boleh meruntuhkan negara jika kita silap memilih kerajaan.
  
 Hayati dan nilai sebaik mungkin aku janji BN, masa depan Malaysia yang lebih baik terletak di tangan kita. Jangan sesekali kita terpesona dengan janji populis, indah pada khayalan, sedap didengar, namun gagal dilaksanakan. Apa yang berlaku di Selangor seharusnya menjadi iktibar buat kita semua.

Comments