Skip to main content

Perdana Menteri Masih Berkuasa

Parlimen automatik bubar 30 April

Oleh Haspaizi Mohd Zain dan Nor Fariza Ramlan Cetak
Kuala Lumpur: Parlimen bubar secara automatik pada 30 April dan bukan 28 April seperti diuar-uarkan sebelum ini bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dilangsungkan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan, tarikh cukup tempoh satu penggal atau lima tahun PRU, dikira berdasarkan tarikh sidang pertama Dewan Rakyat selepas pilihan raya berlangsung, bukan tarikh pilihan raya umum diadakan dan pengiraan berkenaan sudah disahkan penasihat undang-undang suruhanjaya berkenaan.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (gambar), berkata Negeri Sembilan akan menjadi negeri pertama yang Dewan Undangan Negeri (DUN) terbubar secara automatik iaitu 27 Mac ini jika Parlimen tidak dibubarkan sebelum itu.


Ramai termasuk pemimpin politik tidak sedar perkara ini hingga buat andaian Parlimen sepatutnya terbubar sendiri 9 Mac lalu. Sidang pertama Dewan Rakyat selepas PRU-12 ialah 28 April 2008, tetapi disebabkan 28 April 2013 jatuh pada Ahad, ia dibawa kepada 29 April dan Parlimen bubar secara automatik 30 April, katanya.

PM masih berkuasa

Aziz berkata, sehingga 30 April itu, Perdana Menteri masih berhak bersuara dan segala keputusan kerajaan adalah sah, malah apabila Parlimen dibubarkan, kerajaan sedia ada bertindak selaku kerajaan sementara dan Perdana Menteri boleh membuat keputusan atau menasihati Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria menolak dakwaan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim jumlah pengundi di daerah mengundi (DM) Bestari Jaya, Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok melebihi penduduk.
Tindakan beliau menyebarkan perkara itu melalui akhbar partinya dilihat tidak ikhlas dan cuba mengelirukan orang ramai, sedangkan SPR memberi ruang kepada mana-mana pihak yang mencurigai daftar pemilih untuk membantah ketika Rang Daftar Pemilih Tambahan suku tahun dipamerkan, katanya dalam satu kenyataan.

Kamaruddin, berkata, DM Bestari Jaya Utara lebih luas dan tidak terhad dalam kawasan pekan Bestari Jaya, sebaliknya bermula dari sempadan Ladang St Andrew dan berakhir di sempadan Kampung Sungai Darah dengan dipisahkan jalan utama Batang Berjuntai-Kuala Selangor.

DM Bestari Jaya Utara mengandungi 18 lokaliti iaitu taman perumahan, kampung tradisi, kuarters kerajaan dan penempatan utama. Kenyataan Menteri Besar Selangor itu dipercayai hanya merujuk Bestari Jaya Utara yang didakwa mempunyai hanya 1,788 penduduk dan ia adalah tidak benar.

Berdasarkan daftar pemilih sehingga Disember 2012, pemilih di DM Bestari Jaya ialah 3,558 orang, peningkatan 1,317 orang berbanding 2006 disebabkan pertambahan sembilan lokaliti baru iaitu taman perumahan, katanya.

Beliau berkata, hasil semakan bagi 2006 ketika Pilihan Raya Kecil DUN Ijok 2007, pemilih di sana 2,241 orang, tetapi perkara itu tidak pernah dibangkitkan atau dibantah ketika Khalid bertanding seterusnya menang kerusi itu.

Comments