Skip to main content

Hanya Orang Gila Saja Kata Konflik Lahad Datu Sandiwara


Pengganas sembunyi mayat rakan dalam lubang elak dikesan

Lahad Datu: Sekurang-kurangnya 13 pengganas dibunuh pasukan keselamatan dalam Ops Daulat di Kampung Tanduo di sini, sejak Jumaat lalu.
Daripada jumlah itu, 12 pengganas terbunuh pada Jumaat, manakala seorang lagi mati dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan pada jam 6.45 pagi semalam.


Setakat jam 6.15 petang semalam, 10 mayat ditemui dan usaha diteruskan untuk mencari baki mayat pengganas.

Sembilan mayat itu dijumpai dalam sebuah kubur, dipercayai digali pengganas untuk mengebumikan rakan mereka. Mayat juga lengkap berpakaian dengan kebanyakannya memakai kemeja T dan seluar jeans.

Kubur bertutup kepingan papan dan diletakkan pelepah sawit supaya sukar dikesan itu ditemui pasukan keselamatan ketika operasi menggeledah di kawasan sekitar empat kilometer persegi di kampung berkenaan susulan serangan udara pagi kelmarin.

Operasi berhati-hati
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar pada sidang media bersama Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Jeneral Zulkifeli Mohd Zin, percaya mayat tiga lagi pengganas sama ada dikebumi rakan atau dibawa ke tempat lain.

Zulkifeli berkata, operasi mencari dan menggeledah dilakukan berhati-hati dan perlahan kerana percaya masih ada musuh terselamat daripada serangan bom kelmarin.

Dalam operasi semalam, pasukan keselamatan juga menemui sejumlah senjata api dipercayai milik pengganas.

Ditembak bertalu-talu

Sementara itu, Ismail berkata, sepasukan anggota Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjalankan siasatan terhadap mayat dalam kubur, ditembak bertalu-talu oleh kumpulan pengganas.

“Namun, tembakan tidak mengena sasaran. Anggota pasukan keselamatan kita bertindak cepat membalas tembakan, menyebabkan pengganas melarikan diri,” katanya.

Ismail juga menjelaskan kawasan operasi mencari dan menggeledah diperluas ke Kampung Tanjung Batu, kira-kira tujuh kilometer (km) dari Kampung Tanduo, selepas menerima laporan sekumpulan pengganas melarikan diri ke perkampungan itu sebelum serangan udara.

Katanya, ia bermula jam 3 petang dan pada jam 4.15 petang berlaku pertempuran antara pasukan keselamatan dengan pengganas di tiga lokasi berlainan di kampung itu.

“Kami percaya ada musuh dibunuh dalam pertempuran itu, tetapi bilangannya tidak diketahui kerana mayat belum dapat dikesan,” katanya.

Isnin lalu, penduduk Kampung Tanjung Batu mendakwa kampung mereka diambil alih kira-kira 50 pengganas, menyebabkan mereka lari meninggalkan rumah.

Sementara itu, Zulkifeli berkata, pengganas menggunakan pelbagai jenis senjata api automatik yang ditemui pasukan keselamatan di Kampung Tanduo, semalam.

Comments