Kuala Lumpur: "Awal dulu saya terima semuanya sebagai teguran tapi bila berterusan, saya rasa mungkin Mursyidul Am PAS (Datuk Nik Aziz Nik Mat) ada isu peribadi dengan saya yang puncanya tidak saya temui sampai hari ini." | |
Bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa, mengakui ada beberapa kenyataan Menteri Besar Kelantan itu yang menghiris perasaannya secara peribadi, termasuk sindiran berhubung statusnya sebagai pemimpin dan ahli PAS serta pelaksana beberapa tugas diamanahkan parti. | |
"Saya hormati beliau (Nik Aziz) sebagai pimpinan tertinggi parti tetapi beliau terus-menerus `menyerang' saya. | |
"Malah, istilah yang digunakan pun... kalau orang biasa mungkin dah rebah tapi saya boleh bertahan. | |
"Saya pernah digelar sampah, diacah masuk UMNO, dilabelkan macam-macam dan semua itu mengguris hati," katanya ditemui selepas sesi interaksi secara langsung dengan Unit BHOnline di sini, semalam. | |
Nasharudin berkata, mesyuarat Majlis Syura Ulama PAS pada 24 April 2008 memutuskan perbincangan diadakan dengan mana-mana parti politik bagi memelihara kepentingan umat Islam dan orang Melayu dengan amanah diberi kepada Presiden, Setiausaha Agung serta beliau selaku Timbalan Presiden. | |
Dituduh mahu sertai UMNO | |
"Dalam hal ini, parti terbesar dan secara logiknya untuk diajak berbincang adalah UMNO. Ketika itu, saya mengadakan perbincangan berkaitan perpaduan dengan Perdana Menteri dan Timbalannya selaku pimpinan UMNO atas keputusan Majlis Syura Ulama. | |
"Bagaimanapun, baru sampai suku jalan, timbul tanggapan ia seolah-olah untuk kepentingan peribadi saya dan pertemuan kononnya dilakukan secara rahsia walaupun ia adalah keputusan mesyuarat Majlis Syura Ulama yang kebetulan tidak dihadiri Tok Guru Nik Aziz ketika ia dibuat. | |
"Saya laksanakan arahan parti tetapi saya juga dipersalahkan dengan tuduhan kononnya nak masuk UMNO. Semua itu membuatkan saya kecil hati dan berasa dizalimi. Saya menyuarakan semua ini sebagai ahli biasa kepada pucuk pimpinan parti," katanya. |
Comments