Saya Hanya Tolak Hudud PAS: Mahathir

Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan ‘hukum hudud PAS’ tidak berpaksikan kepada prinsip keadilan Islam kerana lebih mengutamakan kepentingan politik duniawi.
  Disebabkan ketidakadilan itulah beliau menolak hukum hudud PAS, sebaliknya hanya menerima hukum hudud Allah seperti mana terkandung dalam kita suci al-Quran yang menekankan kepada aspek keadilan.
  Mahathir berkata, hukum hudud yang dibawa PAS jelas bertentangan dengan kehendak Islam kerana al-Quran sudah menyebut bahawa pelaksanaan sesuatu hukuman itu perlulah secara adil.
  “Dalam al-Quran disebut apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil. Ini kehendak agama Islam, apabila hukuman itu tidak adil ia tidak Islam, apabila hukuman itu disebabkan kepentingan politik duniawi itu juga bukan Islam.
  “sebab itu kita tolak hukum (hudud) mereka kita berpegang kepada hukum Allah. Hukumlah dengan adil, kata mereka (PAS) orang Islam saja kena hukum hudud orang bukan Islam tidak kena hukum hudud (mungkin) kerana takut (bukan Islam) tidak undi PAS.
  “Jika dua orang berpakat seorang Cina seorang Melayu beragama Islam, mereka pergi mencuri dan kena tangkap, maka dihukum oleh PAS yang Melayu potong tangan dan yang cina kena dua bulan penjara...adilkah? sudah tentu tidak adil, kalau nak kena hukum ia kena sama,” katanya ketika berucap pada Majlis Bersama Negarawan Ulung di sini, semalam.
  Majlis yang menghimpunkan lebih 3,000 peneroka FELDA itu turut dihadiri isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Samad.
  Beliau berkata, di dalam al-Quran terdapat 43 ayat suci yang memberi penekanan kepada aspek keadilan dalam sesuatu pelaksanaan termasuk hukum hudud.
  Katanya, jika ingin melaksanakan hukum hudud ia semestinya secara adil seperti mana tuntutan Islam dan tidak boleh hanya membabitkan pihak tertentu ataupun penganut agama Islam saja.   
  “Sebab itu kita dalam kerajaan pada masa saya dan sekarang ini masih lagi berpegang kepada prinsip keadilan dalam Islam. Sebelum kita lakukan apa-apa kita pastikan ia mengikut kehendak Islam,” katanya.

ends-

Comments