Pemecatan Saya Tak Ikut Prosedur: Nasharudin

Kuala Lumpur: Bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa mendakwa penggugurannya daripada Ahli Majlis Syura Ulama parti itu tidak mengikut prosedur yang ditetapkan.
   Beliau mendakwa pemecatan itu bukan saja tidak dimaklumkan melalui prosedur biasa, malah mengakui tidak pernah menerima sebarang surat tunjuk sebab berhubung perkara berkenaan.
   Ahli Parlimen Bachok itu berkata, walaupun digugurkan daripada jawatan itu, namun perjuangan untuk mendaulatkan Islam tidak akan terpadam dan beliau akan bergerak dengan mana-mana pihak yang memperjuangkan Islam di negara ini.
   “Saya tidak terima sebarang surat sehingga kini, saya tidak tipu. Saya hendak tengok hitam putih mungkin disebut alasannya (pemecatan), tapi kalau ikut prosedur ia (cara pemecatan) tidak berapa kena.
   “Kalau ikut prosedur ia kena ada surat tunjuk sebab misalnya dan diikuti beberapa prosedur lain, tetapi sehingga kini saya tidak dimaklumkan apa-apa, saya hanya mengetahuinya melalui media,” katanya ketika ditemui selepas sesi taklimat penubuhan ‘Sekretariat Mendaulatkan Islam Sebagai Agama Persekutuan’ di sini, semalam.
   Majlis Syura Ulama PAS yang bermesyuarat 13 Januari lalu menggugurkan Nasharudin daripada jawatan selaku ahli majlis itu dengan alasan beliau gagal memberikan komitmen sewajarnya termasuk tidak menghadiri banyak mesyuarat.
   Ditanya sama ada akan bertindak meninggalkan parti itu, Nasharudin berkata beliau hanya digugurkan daripada jawatan Ahli Majlis Syura namun menyifatkan wujud usaha untuk memecatnya daripada PAS.
   Katanya, beliau tidak menolak kemungkinan lawatannya ke Gaza bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjadi punca utama kepada PAS untuk menyingkirkannya daripada memegang sebarang jawatan dalam parti.
   “Ada kemungkinan, kerana penyataan terbuka (PAS) selepas saya pulang dari Gaza, sedangkan sebelum ini saya pernah pergi banyak tempat dan saya pernah mewakili Speaker (Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia) berucap pada persidangan di luar negara.
   “Malah, saya pernah menyertai banyak rombongan bersama kerajaan sebelum ini, tetapi kemungkinan isu Gaza ini dijadikan penyebab (untuk dipecat),” katanya.
   Sementara itu mengulas mengenai kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat bahawa beliau tidak akan dicalonkan kembali bagi mempertahankan kerusi Parlimen Bachok.
   Katanya, menjadi calon pilihan raya bukan agenda besarnya menyertai PAS, bagaimanapun beliau bersyukur dan lega kerana akan terlepas satu tanggungjawab dipikulnya apabila tidak lagi dicalonkan bertanding.

Comments