Skip to main content

Lepas Hasan Ali, Kini Giliran Ustaz Nasha

Majlis Syura PAS gugur Nasharuddin

pix_gal0
Keputusan dapati Ahli Parlimen Bachok gagal beri komitmen

Kuala Lumpur: Bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa digugurkan sebagai Ahli Majlis Syura Ulama PAS berikutan tindak-tanduknya yang didakwa boleh merugikan parti itu.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata Majlis Syura Ulama PAS yang bermesyuarat minggu lalu membuat keputusan selepas mendapati Ahli Parlimen Bachok terbabit melanggar peraturan berjemaah.
Beliau berkata, keputusan menggugurkan Nasharuddin sebagai ahli Majlis Syura Ulama sudah dibuat pada mesyuarat yang diadakan di Kelantan, November lalu ketika berlangsungnya Muktamar Tahunan PAS.

“Beliau sepatutnya digugurkan ketika mesyuarat yang diadakan di Kelantan ketika Muktamar PAS November lalu. Namun, atas beberapa sebab, kita tidak dapat lakukannya sehingga mesyuarat baru-baru ini dan keputusan diambil dengan menggugurkannya sebagai ahli Majlis Syura.


Tetap ahli PAS

“Namun, beliau tetap ahli PAS dan tidak mempunyai apa-apa jawatan lagi pada peringkat pusat. Keputusan menggugurkan Nasharuddin dibuat kerana kegagalannya memberikan komitmen sepatutnya.

“Malah, beliau sudah banyak kali tidak menghadiri mesyuarat Majlis Syura Ulama, selain beberapa tindakannya yang dianggap bertentangan dengan peraturan berjemaah,” katanya.
Keputusan menggugurkan Nasharuddin diumumkan Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Nik Muhamad Zawawi Salleh dan disiarkan akhbar rasmi parti itu, semalam.

Ditanya sama ada Nasharuddin sudah dimaklumkan mengenai perkara itu, Tuan Ibrahim berkata beliau tidak pasti sama ada surat mengenai pemecatan terbabit dihantar ataupun tidak kepada pemimpin PAS berkenaan.

Katanya, Majlis Syura melihat tindakan Nasharuddin kebelakangan ini bukan saja boleh merugikan PAS, malah menimbulkan fitnah bagi jemaah di samping bercanggah dengan kaedah dan pendirian yang dibuat oleh parti.

Terbaru, Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Al-Quds Malaysia itu turut mengikuti rombongan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Palestin.

Comments