| Amman, Jordan: Bekas pemimpin kumpulan al-Arqam yang kini berselindung di sebalik nama syarikat Global Ikhwan Sdn Bhd cuba menarik penuntut Malaysia di negara ini menyertai mereka dan mengaktifkan semula ajaran Aurad Muhammadiah. | |
| Pada awalnya mereka bertapak di Syria, namun selepas konflik melanda negara itu, kumpulan berkenaan berpindah ke Irbid, Jordan dengan membuka perniagaan dan menyebarkan fahaman itu. | |
| Gerakan itu mempunyai kedai makan di Irbid dan menawarkan harga murah kepada penuntut bagi menarik minat mereka dan mengedar risalah memperkenalkan ajaran al-Arqam. | |
| Tawar pelbagai kemudahan | |
| Untuk menarik penyertaan pelajar, gerakan itu menawarkan pelbagai kemudahan termasuk membawa penuntut bercuti secara percuma. | |
| Bagi mengelak dikesan cuba menyebarkan ajaran sesat, kumpulan berkenaan menjalin hubungan baik dengan pihak berkuasa Jordan. | |
| Difahamkan, pada dinding kedai makan milik gerakan itu tertera gambar, kata-kata serta ajaran Asaari Muhammad atau Abuya. Program perintis Kelab Taat Isteri (KTI) yang ditubuhkan balu Asaari, iaitu Hatijah Am juga dilancarkan di Jordan. | |
| Kumpulan al-Arqam, pertubuhan ajaran sesat yang diharamkan kerajaan pada 1994 dikesan aktif dengan pendekatan dan taktik baru, termasuk menggunakan 36 sekolah persendirian dan rumah anak yatim bagi mengumpul dana serta ahli. | |
| Rabu lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan 20 orang termasuk pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Badrulamin Bahron di Rawang kerana disyaki cuba menghidupkan semula al-Arqam. | |
| Perhimpunan itu juga bertujuan mengingati hari kelahiran Asaari. Perhimpunan dikatakan dihadiri lebih 3,000 orang yang dipercayai pengikut kumpulan itu. | |
| Sasar penuntut Malaysia | |
| Sementara itu, Atase Pendidikan Kedutaan Malaysia di Jordan, Saifuddin Hussin mengesahkan kewujudan gerakan yang cuba menghidupkan ajaran al-Arqam di sini dengan menjadikan penuntut Malaysia sebagai sasaran. | |
| Pihaknya sudah menghantar laporan penuh kepada pihak berkuasa di Malaysia selain memantau pembabitan penuntut supaya tidak terjebak ajaran sesat itu. | |
| "Mereka pandai, ada hari tertentu mereka menjual makanan kepada pelajar dengan harga murah selain membawa mereka melancong percuma. | |
| "Saya difahamkan kedai makan berkenaan turut dilengkapi kolam renang yang menggambarkan kemewahan kumpulan itu," katanya. |

Comments