DAP Patut Sedar Diri

 


Kuala Lumpur: Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham sepatutnya ‘sedar diri’ bahawa beliau berada di Malaysia yang juga sebuah negara Islam sebelum mengeluarkan kenyataan menyentuh sensitiviti umat Islam.
  Bukan itu saja, kenyataan wakil rakyat itu juga membuktikan bahawa DAP secara konsisten sejak dari dulu lagi anti kepada Islam dan juga masyarakat Melayu.
  Bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr Mohammad Fairus Khairuddin, turut mengkritik pendirian Koo Ham yang dianggapnya sebagai biadap apabila mempertahankan kenyataannya itu dan enggan memohon maaf.
  “Sifat anti Islam dan Melayu DAP tidak pernah berubah, sekiranya ada kontroversi berhubung isu membabitkan Islam mereka akan mengambil kesempatan untuk menyatakan wajar mereka (DAP) yang sebenarnya iaitu anti Islam.
  “Ini episod malang, DAP bersikap sinis dan tidak peka sensitiviti umat Islam, apa bentuk ulasannya yang menyentuh soal umat Islam tidak wajar di sentuh kerana negara ini adalah sebuah negara Islam.
  “Pemimpin DAP harus sedar bahawa mereka berada di sebuah negara Islam, tindakan sebegitu adalah perbuatan biadap dan wajib untuk kita menolak (tidak menyokong) mereka,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
  Akhbar semalam melaporkan pelbagai pihak termasuk pemimpin agama membantah kenyataan Koo Ham dan menggesanya supaya mengemukakan permohonan maaf kerana mengeluarkan kenyataan menyentuh sensitiviti umat Islam.
  Rentetan itu, Koo Ham yang juga Ahli Parlimen Beruas mengemukakan permohonan maaf berhubung kenyataannya itu semalam selepas didesak pelbagai pihak.
  Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengkritik keengganan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegur tindakan pemimpin DAP Perak itu yang mempersoal bantahan umat Islam terhadap filem kontroversi ‘Innocence of Muslim’.
  Kegagalan Ketua Menteri Pulau Pinang itu berbuat demikian memberi gambaran jelas bahawa kenyataan berkenaan adalah sentimen dan pendirian DAP.
  Bagi Setiausaha Agung PERKASA, Syed Hassan Syed Ali mengingatkan pemimpin politik supaya tidak menjadikan kebebasan bersuara sebagai alat untuk menghina mana-mana agama di negara ini.

Comments