JADILAH PEJUANG UMNO TULEN

“Saya dilahirkan dari air mani UMNO, ibu bapa saya adalah pejuang UMNO. Sebab itulah saya masih lagi setia bersama UMNO hingga ke hari ini walaupun tidak memegang apa-apa jawatan penting dalam kerajaan ataupun syarikat berkait kerajaan (GLC).
  “Saya sudah jadi Ahli Parlimen sejak 1982, lebih kurang 30 tahun. Saya sudah pegang beberapa jawatan sehingga kini (tiada apa jawatan). Kalau ikutkan dengan pengalaman saya, sepatutnya jadi pengerusi sesebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
  “Namun saya tidak dilantik apa-apa jawatan melainkan jawatan tidak bergaji iaitu Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR). Tapi saya tidak kecewa dan saya anggap benda ini sebagai kepercayaan, kata Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad.
  Bagi bekas Setiausaha Agung UMNO itu, sebagai pemimpin politik tulen tidak boleh ada istilah kecewa dalam perjuangan. Kesetiaan kepada parti amat penting bagi memastikan parti yang memayungi perjuangan sebelum ini tidak tumbang ‘ditikam’ pemimpin berpaling tadah.
  Dengan wajah tenang, pemimpin veteran UMNO itu meluahkan rasa kecewanya terhadap bekas pemimpin UMNO yang sanggup berpaling tadah setelah gagal mendapat jawatan istimewa. Sedangkan parti itulah yang menjadikannya sebagai seorang pemimpin berjaya dan dilimpahi kekayaan.
  “Kita tidak boleh kecewa, sebab itulah saya tidak faham (pemimpin UMNO berpaling tadah). Macam mana mereka boleh kecewa, politik memang begitu sekali berjaya ada sesekali masanya tidak berjaya,” katanya dalam satu temubual bersama BH.
  Jelasnya, jatuh bangun dalam dunia politik adalah perkara biasa dan perlu dihadapi setiap ahli politik bila tiba masanya dan pemimpin UMNO yang berpaling tadah apabila gagal mendapatkan sesuatu diingini, adalah bukan pemimpin UMNO sejati.
  Sebelum ini, bekas Menteri Kabinet, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang bertindak meninggalkan UMNO dan kini berjuang di pentas pembangkang bersama PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) walaupun mendapat nikmat kemewahan bersama UMNO.
  Alasan Abdul Kadir ialah perjuangan UMNO tidak lagi seperti dulu dan pemimpin parti itu kini tidak boleh ditegur, namun, hakikatnya, veteran UMNO seperti Tengku Razaleigh Hamzah masih lagi mengkritik UMNO bila dilihat ada kelemahan dan masih lagi setia bersama parti itu.
  Itu adalah bukti bahawa UMNO boleh menerima pandangan ahlinya, jika benar UMNO ada kelemahan seperti mana didakwa Kadir, beliau sepatutnya memperbaiki parti itu seperti mana dia menyayangi perjuangannya dan bukannya menjatuhkan parti banyak berjasa itu.
  Bercakap soal kelemahan memang mudah dan begitu juga untuk merosakkan parti keramat itu juga cukup senang. Namun, Kadir sepatutnya sedar, UMNO ditubuhkan melalui keringat dan air mata rakyat yang ketika itu berjuang bagi menuntut kemerdekaan.
  Ditanya mengenai tindakan Kadir itu: “Kadir adalah kawan baik saya, saya pun tidak faham dengan tindakannya,” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana menghormati bekas pemimpin UMNO berkenaan yang juga kawan baiknya.
  Mengulas mengenai perjuangan pakatan pembangkang dan Parti Melayu Semangat 46 (S46) yang dipimpin Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh atau pun lebih di kenali sebagai Ku Li suatu ketika dulu.
  Baginya perjuangan pakatan pembangkang adalah untuk menumbangkan kerajaan yang dipimpin Barisan Nasional (BN), sedangkan S46 pada masa itu adalah tempat untuk segelintir pemimpin UMNO tidak dibenarkan menyertai UMNO baru untuk meneruskan karier politik.
  “S46 ditubuhkan daripada semangat orang UMNO yang tidak dibenar menyertai UMNO baru, angka 46 diambil sempena (tahun) penubuhan UMNO dan bukannya untuk lawan (UMNO). Pakatan penubuhannya khusus untuk jatuh kerajaan, perjuangan sangat berbeza.   
  “Pakatan semata-mata untuk jatuhkan BN, ,mereka tidak kisah walaupun kerajaan jatuh ke tangan DAP itu yang kita terkejut apabila PAS boleh duduk sama dengan DAP,” katanya.

Comments