UMNO Kedah Terima Saja Mukhriz

SAYA berjaya menyelinap masuk ke Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada sesi taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2012 yang diadakan secara tertutup khusus untuk para perwakilan. Sesi berkenaan adalah bagi membincangkan masalah parti dan cabaran yang perlu dihadapi UMNO bagi meneruskan kelangsungan dalam memperjuangkan nasib rakyat.
   Ketika sesi taklimat berkenaan diadakan, beberapa pemimpin tertinggi UMNO yang juga Ahli Parlimen terpaksa meninggalkan dewan berkenaan dan bergegas ke Parlimen bagi membuat undian untuk meluluskan satu usul dibahaskan di Dewan Rakyat ketika itu. Saya masih ingat lagi kata-kata Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak ketika itu, “inilah akibatnya bila kita hilang sebahagian kuasa,” katanya.
   Pada sesi itu juga Najib mengeluarkan segala perkara yang terbuku di hatinya, beliau meluahkan rasa kecewa apabila ada segelintir pemimpin UMNO sanggup mengutamakan kepentingan peribadi berbanding kepentingan parti sehingga Barisan Nasional (BN) hilang majoriti dua pertiga Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12).
   Jelas Najib, unsur sabotaj, cantas-mencantas, peruntukan bahagian disimpan untuk bertanding pemilihan parti dan boikot calon bertanding menjadi ‘barah’ dalam UMNO. Pada masa itu, luahan dari hati beliau membuktikan bahawa Perdana Menteri cukup kecewa dengan segelintir pemimpin UMNO. Persoalannya, apakah pemimpin UMNO benar-benar insaf setelah dilanda ‘Tsunami politik’ 2008.
   Saya ingat lagi, selepas Tsunami politik 2008, pada satu sesi taklimat bersama Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim mengingatkan pemimpin BN, tidak perlu permaidani merah dibentangkan ketika turun padang, sebaliknya mendampingi rakyat dengan penuh rasa rendah diri dan keinsafan.
   Pada masa itu, nampak ada perubahan drastik dilakukan pemimpin BN, rata-rata pemimpin BN pada masa itu cukup mematuhi masa, mesra rakyat dan cukup merendah diri. Tetapi hari ini ‘penyakit’ lama mula datang kembali.
   Apa yang diperkatakan Presiden UMNO harapnya menjadi teladan kepada semua ahli dan orang UMNO untuk berjuang bagi mengembalikan semula kegemilangan UMNO. Cuma, apa yang dibimbangkan adalah pemimpin UMNO di negeri di bawah pentadbiran pembangkang ‘selesa’ dengan situasi kini. Terutamanya Ketua Bahagian, bimbang kalau-kalau ada tabiat ‘kalah tak apa janji peruntukkan masuk’.
   Seperti yang berlaku di Kelantan, PAS menang di Kelantan bukan disebabkan UMNO lemah, tetapi, pemimpin UMNO negeri itu tidak bersatu. Malah, ada pemimpin UMNO Kelantan rela berada di bawah pembangkang kerana mereka lebih ‘mewah’ menerima peruntukkan daripada pimpinan pusat.
   Situasi itu kini dikatakan mula berlaku di Kedah selepas BN tumbang kepada pembangkang pada PRU-12 lalu. Ada segelintir pemimpin UMNO negeri itu dikatakan mula selesa dengan situasi kini dan mereka mula merasakan bahawa adalah lebih baik pembangkang menguasai Kedah kerana banyak limpahan ‘nikmat’ mereka peroleh.
   Ketika nama Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir, disebut bakal dilantik sebagai Menteri Besar Kedah sekiranya BN berjaya merampas kembali negeri itu, suara sumbang mula kedengaran dan membantah keputusan itu andai kata anak kepada mantan Perdana Menteri itu dipilih.
   Ada yang beranggapan masih terlalu awal untuk Mukhriz menerajui Kedah kerana masih ramai lagi pemimpin senior yang sedang menanti untuk menduduki kerusi itu. Tapi, tidak salah jika Mukhriz diberi peluang itu seandainya rakyat boleh menerimanya. Pengaruh bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad barangkali boleh membantu BN memenangi kembali Kedah.
   Sejarah membuktikan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dipilih menjadi Menteri Besar Pahang ketika usia muda. Najib berjaya membuktikan usia bukan penghalang dan ‘aura’ bapanya sedikit sebanyak membantu beliau meraih sokongan serta kepercayaan rakyat.
   Barangkali sekiranya Mukhriz diangkat sebagai bakal Menteri Besar Kedah, rakyat akan memberi sokongan penuh memandangkan gaya kepemimpinan beliau adalah mirip kepada Dr Mahathir dan beliau juga mungkin tidak akan lama menjadi Menteri Besar kerana keupayaannya serta kebolehannya amat diperlu pucuk pimpinan pusat.
   Utamakan kepentingan parti berbanding kepentingan peribadi, jangan hanya ketika perhimpunan UMNO saja kita bersemangat melaungkan perjuangan untuk kemenangan parti, namun, bila pilihan raya semakin hampir agenda peribadi diberi keutamaan. UMNO dan BN Kedah harus memikirkan bagaimana caranya untuk memenangi kembali negeri itu dan dengan lapang menerima siapa saja yang bakal dipilih sebagai Menteri Besar.
   Saya ingat lagi apa yang berlaku di Kelantan pada 2008 apabila nama Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin diangkat sebagai bakal Menteri Besar Kelantan andai kata BN menang, kumpulan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Kelantan ketika, Datuk Seri Annuar Musa mencantas dan menyekat laluan Awang Adek.
   Ingatlah, maruah, kuasa dan kedudukan Islam serta orang Melayu berada dalam tangan UMNO. Sekiranya UMNO ingin mengembalikan maruah dan kepercayaan rakyat, berjuanglah atas nama kepentingan parti dan rakyat dan bukannya kepentingan peribadi.
   Kepada mereka yang bermimpi untuk menduduki satu jawatan tinggi, tepuk dada tanyalah hati. Apakah ‘aku’ mampu untuk memimpin, berkelayakan dan diterima rakyat. Seandainya tidak mempunyai ciri-ciri berkenaan bagi laluan kepada mereka yang berkeupayaan. Akur pada keputusan pucuk pimpinan parti yang sememangnya lebih arif dan mengenali sejauh mana keupayaan pemimpin di bawahnya.

ends

Comments