LEBIH empat tahun lalu, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim mengumumkan dia memilih DAP berbanding parti politik lain kerana alasan mudah, iaitu DAP mengatasi yang lain dalam mengamalkan demokrasi, keadilan dan persamaan. | |
Beliau juga mengakui tertarik dengan konsep perjuangan DAP lebih 20 tahun sebelum secara rasmi menyertai DAP pada Ogos 2008. Bagaimanapun, malam kelmarin, beliau mengumumkan keluar daripada parti yang didominasi kaum Cina itu, selepas tiada pilihan kecuali berundur secara terhormat berikutan tiada persefahaman dengan kepemimpinan parti itu. | |
Tunku Abdul Aziz adalah satu-satunya anak Melayu menduduki jawatan tertinggi dalam DAP iaitu, Naib Presiden parti itu dan dilantik senator sejak 2009. Bagaimanapun, khidmat senatornya tidak disambung oleh DAP dipercayai akibat bantahan terbukanya terhadap perhimpunan BERSIH 3.0. | |
Episod yang dilalui Tunku Abdul Aziz sewajarnya direnungi dan diperhalusi sebaik mungkin sebelum membuat keputusan memberi tanggungjawab mentadbir negara kepada DAP. Episod malang buat pemimpin kanan Melayu dalam DAP itu menterjemahkan rupa serta menjawab persoalan siapa DAP sebenarnya? | |
Kita sering dengar pemimpin pakatan pembangkang melaungkan slogan demokrasi dan kebebasan, termasuk DAP juga mendakwa kononnya ia pejuang kepada nasib masyarakat Melayu. Tetapi hari ini, jelas apa yang dilaungkan mereka hanya retorik dan omong kosong. Hakikat sebenarnya tiada ruang untuk pemimpin parti sepertinya bersuara dalam DAP. Hanya 'bos' saja boleh bercakap. | |
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian melihat pengunduran Tunku Aziz cukup signifikan dan memberi kesan terutama kepada pengundi atas pagar. Yang pasti, tindakan bekas Naib Presiden DAP itu sedikit sebanyak akan mempengaruhi keputusan pengundi pada pilihan raya umum akan datang. | |
"Kesannya cukup besar pada DAP, sebelum ini DAP bercakap mengenai elemen demokrasi, namun, kini terbukti parti itu tidak boleh untuk menerima kritikan yang datang dari dalam parti itu sendiri. Kita boleh menilai sejauh mana kesediaan mereka untuk menerima idea ataupun pandangan berhubung kepentingan nasional. | |
"Pengundi atas pagar akan menjadikan isu ini sebagai panduan kepada mereka sebelum membuat sebarang keputusan. Tentunya mereka akan mengambil kira tindakan DAP yang menghalang Tunku Abdul Aziz menyuarakan pandangannya berhubung pelbagai kepincangan yang dilihatnya dalam pakatan pembangkang, termasuk demonstrasi haram dan pengundi akan beranggapan parti ini tidak demokratik. | |
"Majoriti rakyat Malaysia mahukan keamanan dan kedamaian, begitu juga dengan apa yang disuarakan Tunku Abdul Aziz. Penentangannya terhadap perhimpunan BERSIH 3.0 bertujuan untuk memastikan keamanan yang dinikmati kini terus terpelihara dan DAP pula sanggup melakukan apa saja demi kepentingan politik mereka, termasuk menyebabkan keamanan negara terjejas. | |
Kemelut dan pendedahan Tunku Abdul Aziz mengenai DAP sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN). Sejarah membuktikan BN sepanjang pentadbirannya tidak pernah mewujudkan suasana tidak aman dan sentiasa patuh kepada perlembagaan negara. Kejayaan sambutan ulang tahun UMNO ke-66 yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil tanpa sebarang rusuhan dan pertelingkahan adalah bukti BN pendukung keamanan. | |
Justeru, sudah pasti pengundi atas pagar yang sebelum ini bersimpati kepada DAP akan kembali kepada BN kerana yakin kemampuan BN untuk mempertahankan keharmonian yang wujud sejak sekian lama. Apatah lagi keterbukaan BN untuk mendengar serta memperbaiki segala kelemahan mereka selaras dengan kehendak dan keperluan rakyat melalui konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. | |
Sudah sampai masa orang Melayu juga berfikir semasak-masaknya sebelum menyandarkan harapan kepada pakatan pembangkang, termasuk DAP mentadbir negara. Jangan terperangkap dengan mainan politik DAP yang mendakwa bahawa mereka adalah parti untuk semua kaum hanya kerana beberapa orang Melayu 'dibeli' dan dijadikan 'wayang' kononnya ada ruang untuk orang Melayu dalam parti chauvinis Cina itu. | |
Persoalan timbul apabila DAP yang sebelum ini menyatakan ada ruang untuk orang Melayu dalam parti, sedangkan pada masa yang sama menyekat suara pemimpin Melayu, seperti Tunku Abdul Aziz yang kurang senang dengan kesan yang akan ditanggung negara dan rakyat daripada perhimpunan BERSIH 3.0 itu. Malah, parti ini jugalah yang menuntut hak sama rata bagi setiap rakyat, sedangkan sampai ke hari ini DAP begitu lantang menentang penubuhan negara Islam. | |
Bagi bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr Mohammad Fairus Khairuddin, pakatan pembangkang tidak layak untuk mentadbir negara ini kerana menolak prinsip keamanan dan mendukung keganasan. Pengorbanan Tunku Abdul Aziz wajar dijadikan iktibar kepada orang ramai dalam mengatur perjalanan politik mereka. | |
"Tunku Abdul Aziz menentang demonstrasi jalanan yang boleh membawa kepada kekecohan, malah Islam sendiri menentang demonstrasi jalanan. Bahkan, Majlis Fatwa Kebangsaan juga menegaskan perbuatan itu haram. Oleh itu, saya kira selaras dengan keputusan Majlis Fatwa, juga haram bagi kita menyokong DAP, PKR dan PAS," katanya. | |
Menyedari kekuatan DAP akan terhakis dengan pengunduran Tunku Abdul Aziz terutama untuk meraih sokongan pengundi Melayu, atas sebab itulah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mahu perbincangan diadakan terlebih dulu dengan Tunku Abdul Aziz sebelum dia mengambil keputusan keluar parti. | |
Hakikatnya, isu yang membelenggu Tunku Abdul Aziz dan cara DAP menanganinya tidak menyenangkan hati pemimpin parti itu, apatah lagi ketika parti itu mahu menarik perhatian pengundi Melayu. | |
"Mahu tidak mahu, DAP perlu menghadapi akibatnya dan parti lawan akan menuduh pemimpin DAP 'cakap tak serupa bikin'," kata seorang pemerhati politik. | |
Apapun yang berlaku, Tunku Abdul Aziz adalah seorang yang berprinsip dan tidak akan menukar pendiriannya dengan mudah. Malah, usaha akhir Guan Eng untuk memujuknya dengan cuba memaaf dan mahu melupakan episod luka itu dan berbaik semula pastinya bukan kerja mudah. Bukan saja Tunku Abdul Aziz, orang lain pun pastinya tidak akan terpedaya lagi. |
Comments