DALAM masa seminggu ini 'penganalisis kedai kopi' sibuk memperkatakan mengenai perhimpunan BERSIH 3.0 yang berakhir dengan keganasan dan kekecohan. Ada yang memihak kepada kerajaan dan ada yang menyalahkan pihak berkuasa bagi mempertahankan tindakan mereka walaupun jelas bertentangan budaya masyarakat Malaysia. | |
Penulis pulang ke Kelantan Isnin lalu sempat singgah untuk bersarapan di sebuah warung kopi di Kuala Krai. Mata penulis asyik memerhatikan gelagat seorang warga tua yang begitu marah dengan kejadian yang melanda ibu negara Sabtu lalu. | |
Sambil menghirup kopi panas disediakan, dia beberapa kali menepuk meja sebagai tanda tidak puas hati terhadap rusuhan BERSIH. | |
Bagaimanapun seorang lelaki berbaju Melayu dan berkain pelikat serta ketayap yang pada hemat penulis adalah seorang penyokong pembangkang cuba mempertahankan tindakan perusuh. Seperti biasa pihak polis dan kerajaan di jadikan 'kambing hitam', walaupun secara jelas mereka yang memulakan kekecohan berkenaan. | |
Kata warga tua itu lagi, beliau cukup kecewa apabila Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat 'mempergunakan' rakyat apabila 'mewajibkan' mereka menghadiri perhimpunan berkenaan. | |
Ada segelintir orang kampung yang kurang berkemampuan sanggup lakukan apa saja semata-mata untuk memenuhi 'fatwa' pemimpin utama PAS itu. | |
Lebih daripada itu ada yang datang dari jauh turut membawa anak kecil mereka bagi menyertai perhimpunan itu, namun, pada hari kejadian Nik Aziz yang 'mewajibkan' semua rakyat turun ke dataran tidak pula datang menyertai perhimpunan itu dengan alasan masalah kesihatan. Tetapi Pengerusi DAP, Karpal Singh yang berkerusi roda sanggup menghadiri perhimpunan berkenaan. Bukan itu saja, ketika puluhan ribu berhimpun di Dataran Merdeka, muncul pemimpin pakatan seperti Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali membangkitkan semangat peserta demonstrasi sehingga mereka merempuh masuk ke Dataran Merdeka walaupun dihalang polis. | |
Malangnya, apabila peserta mula merempuh masuk dan pihak polis menembak meriam air dan gas pemedih mata, semua pemimpin utama pembangkang ini berusaha menyelamatkan diri mereka terlebih dulu, manakala peserta perhimpunan termasuk kanak-kanak terpaksa berdepan dengan asap dan kepedihan gas pemedih mata. Jelas, rakyat dipergunakan pembangkang untuk kepentingan mereka. | |
Jika benar pemimpin pembangkang ini ikhlas memperjuangkan keadilan demi rakyat dan bukannya kepentingan politik, mereka sepatutnya berada di barisan depan bagi merempuh masuk Dataran Merdeka walaupun terpaksa berdepan dengan gas pemedih mata dan meriam air serta tidak membiarkan rakyat semata-mata sebagai benteng. | |
Apabila polis dan perusuh 'bertempur' pelbagai 'drama' dapat kita saksikan termasuklah serangan terhadap anggota keselamatan. Tapi, keesokan harinya pemimpin pembangkang mula menuding jari terhadap pihak polis kononnya mereka penyebab kepada kekecohan berkenaan dan bukannya peserta. | |
Kita boleh gunakan akal yang waras untuk menilainya, seawal jam tujuh pagi peserta demonstrasi berkumpul di sekitar jalan berhampiran Dataran Merdeka sehinggalah Anwar datang sekitar jam 2.45 petang, tiada sebarang kekecohan dan tindakan diambil pihak polis terhadap peserta demonstrasi berkenaan. | |
Malah, penulis yang ketika itu turut berada di Dataran Merdeka dapat melihat dan mendengar dengan mata serta telinga sendiri bagaimana provokasi dilakukan peserta terhadap polis. Namun, anggota polis tetap bersabar dengan gelagat peserta walaupun dimaki dan dihina dengan perkataan kesat termasuk digelar 'anjing kerajaan' | |
Bukan itu saja, ketika peserta demonstrasi menyerbu masuk pihak polis terpaksa melarikan diri dan pada masa sama anggota pasukan simpanan persekutuan (FRU) masih belum bersedia untuk bertindak sehingga memaksa meriam air ditembak terlebih dulu. Tapi bila berlaku kekecohan polis yang dipersalahkan. | |
"Polis juga manusia biasa, ada hati dan perasaan. Bagaimana agaknya kalau ayah ataupun adik beradik kita seorang anggota polis tapi digelar anjing dan sebagainya, apakah perasaan kita? Adakah kita gembira ataupun marah, apatah lagi dengan gelagat sebahagian peserta demonstrasi berkenaan yang bertindak di luar norma kemanusiaan. | |
Begitu juga apabila kenderaan polis melanggar peserta demonstrasi, pihak polis dipersalahkan. Tetapi mereka tidak memberitahu ataupun menceritakan perkara sebenar siapa yang mula menyerang kenderaan polis terlebih dulu sehingga terbabas dan melanggar peserta. | |
Malah, ketika pihak polis cuba menyuraikan perhimpunan di sekitar jalan Tun H S Lee, pihak berkuasa bukan saja dibaling dengan botol mineral, tetapi lebih daripada itu mereka diancam dengan balingan batu dan botol kaca. | |
Namun, di sebalik perhimpunan itu apa yang pasti ramai tertanya ataupun keliru dengan pendirian PAS. Banyak perkara yang 'tidak halal' bagi PAS sebelum ini 'dihalalkan' untuk perhimpunan BERSIH. Perkara yang kita jelas nampak di depan mata adalah pergaulan lelaki dan perempuan dalam perhimpunan itu. | |
Mustahil kalau tidak berlaku 'sentuhan' ketika berada dalam puluhan ribu peserta terutamanya ketika cuba lari dari gas pemedih mata. | |
Kalau sesiapa ke Kelantan, anda boleh melihat sendiri bagaimana di pusat beli-belah kaunter bayaran untuk lelaki dan perempuan diasingkan. Begitu juga dengan sesuatu program, lelaki dan perempuan diasingkan, namun, untuk perhimpunan BERSIH lelaki dan muslimat PAS 'halal' bergaul begitu saja tanpa perlu diasingkan walaupun ada dikalangan peserta tidak menutup aurat. | |
Sebenarnya, agenda BERSIH 3.0 bukannya untuk menuntut pilihan raya yang adil dan bersih, sebaliknya lebih kepada usaha untuk 'menakutkan' kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan juga memburukkan imej negara di mata dunia sekaligus melumpuhkan ekonomi negara. | |
Bukan itu saja, pembangkang sedar mereka berdepan laluan sukar untuk merampas Putrajaya daripada BN pada pilihan raya umum akan datang, apatah lagi kegagalan Anwar menunjukkan jam tangan Omega miliknya yang dikaitkan dengan skandal video seks serta salah laku luar tabii pemimpin utama pembangkang itu. |
Comments