66 Tahun UMNO bukti terus relevan

SAMBUTAN Ulang Tahun UMNO Ke-66 di Stadium Nasional Bukit Jalil di ibu negara selama tiga hari lalu bukan saja mencipta sejarah tersendiri, malah ia tamparan hebat kepada penganjur BERSIH 3.0, Datuk S Ambiga dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ia bukti UMNO mampu mengumpulkan lebih 100,000 penyokongnya di stadium dalam suasana aman dan harmoni.
  
 Ia bukan saja menutup mulut pembangkang yang selama ini cuba memburukkan imej kerajaan dan negara, malah mematikan momentum BERSIH yang bertujuan menggugat kestabilan negara. UMNO juga membuktikan perhimpunan di stadium lebih berjaya berbanding perhimpunan jalanan.
  
 Namun, kejayaan perhimpunan UMNO mengatasi himpunan 'kotor' BERSIH bukan perkara utama yang perlu diperdebatkan, sebaliknya kehadiran lebih 100,000 orang membuktikan sokongan kepada UMNO yang terjejas pada 2008, sudah pulih dan UMNO berada dalam 'mood' bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.
  
 Ada yang beranggapan kini masa terbaik untuk Datuk Seri Najib Razak memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong mengadakan PRU-13. Apatah lagi, ketika ini jentera parti dikatakan bersemangat dan bersiap sedia menunggu genderang perang dipalu. Sokongan orang Melayu kepada parti juga bertambah utuh.
  
 Namun, persoalannya, apakah Barisan Nasional (BN) cukup bersedia? Bagaimana persiapan MCA, MIC dan GERAKAN menghadapi PRU-13 yang dianggap sebagai ibu bagi segala pilihan raya. Perdana Menteri barangkali sedar UMNO cukup bersedia, tetapi BN mungkin masih memerlukan sedikit masa untuk menyelesaikan beberapa perkara, terutama sokongan rakyat.
  
 Kesediaan UMNO untuk berubah menjadi parti inklusif serta beberapa pembaharuan oleh Presiden parti bukan saja berjaya mengembalikan keyakinan rakyat, malah golongan muda sebelum ini yang dikatakan `lari' daripada UMNO, sudah kembali kepada parti keramat itu. Sokongan orang muda itu diterjemahkan pada perhimpunan itu.
  
 Bagi Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr Mohd Puad Zarkashi, sokongan orang muda sudah diterjemahkan dan kini menjadi tanggungjawab UMNO untuk memastikan sokongan mereka terus utuh serta mewarisi tampuk kepemimpinan parti supaya kekal relevan untuk generasi akan datang.
  
 "Itulah bukti yang tidak dapat kita nafikan. UMNO dan BN adalah parti menepati janji dan berbeza dengan pembangkang. Mereka hanya pandai bercakap. UMNO patuh kepada Perlembagaan Negara, sebab itulah perhimpunan kita mendapat sokongan padu rakyat, sekali gus membuktikan UMNO kekal relevan," katanya.
  
 UMNO berjaya mendapat kembali sokongan rakyat dan kini terpulang kepada pucuk pimpinan untuk memastikan sokongan kekal serta menjadi pemangkin kepada kemenangan parti. Sekarang masa terbaik untuk pemimpin UMNO merapatkan saf perjuangan dan menamatkan kemelut serta perselisihan di kalangan pemimpin.
  
 Tidak ada gunanya jika ratusan ribu berkumpul, tetapi persengketaan dikalangan pemimpin umpama api dalam sekam. Kita akui, untuk menghapuskan semua budaya negatif tidak mudah. Tetapi, pemimpin dan orang UMNO di setiap peringkat perlu berganding bahu meminimumkan sebaik mungkin masalah dalaman. Jangan sampai ada yang mematikan lampu rumah seawal jam 9 malam atau berada di luar kawasan ketika pilihan raya jika tidak terpilih sebagai calon.
  
 Bagi Penganalisis Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain, UMNO kini perlu berusaha meningkatkan sokongan pengundi muda. Parti itu tidak boleh hanya bergantung semata-mata kepada sokongan pengundi FELDA, sebaliknya menjadi parti relevan untuk semua lapisan masyarakat.
  
 Prof Dr Samsudin Abdul Rahim yang juga Pengarah Pusat Pemerkasaan Remaja UKM pula berpendapat UMNO tidak boleh lari daripada asas penubuhannya untuk memartabatkan kedudukan orang Melayu dan agama Islam.
  
 "UMNO adalah kekuatan kepada Melayu dan Islam, namun turut memperjuangkan kepentingan masyarakat lain. UMNO tidak boleh melihat kepada kekuatannya yang mempunyai lebih tiga juta ahli berdaftar saja. Sebaliknya, perlu melihat serta membina sokongan orang Melayu yang tidak menjadi ahli bagi memastikan kemenangan," katanya.
  
 Justeru, UMNO perlu mendengar dan mengambil kira harapan rakyat kerana parti itu diharap dapat menjadi pejuang kepada orang Melayu dan Islam dalam pelbagai aspek termasuk ekonomi.
  
 Rakyat juga mahu melihat UMNO menjadi parti inklusif, mudah didampingi dan mendengar masalah rakyat. Pemimpin UMNO jangan hanya insaf ketika dilanda tsunami politik, sebaliknya perlu lebih berhemah dalam memenangi hati rakyat.
  
 Secara keseluruhan, dapatlah dirumuskan bahawa perhimpunan UMNO amat berjaya membuatkan pembangkang tidur tidak lena. Momentum dicetuskan oleh UMNO berjaya menakutkan lawannya. Walaupun kejayaan UMNO cuba dinafikan pembangkang, hakikatnya mereka sedar dengan kebangkitan UMNO.
  
 Buktinya, PAS terpaksa mengikut jejak langkah UMNO menangguhkan Muktamar PAS dan menggantikannya dengan perhimpunan raksasa yang akan diadakan di Kedah. Jelas, kejayaan UMNO membangkitkan `gelombang merah' berjaya meranapkan aura kuning, sekali gus dicemburui PAS.

Comments