Anwar Tetap Iktiraf Israel

KUALA LUMPUR: Islam tetap tidak mengiktiraf kewujudan Israel sebagai sebuah negara walaupun rejim Zionis itu menghentikan kezalimannya terhadap umat Islam di Palestin termasuk mengembalikan semula Baitulmaqdis.
Kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedia memberi perlindungan keselamatan terhadap Israel sekiranya mematuhi beberapa syarat ditetapkan bukan saja bertentangan dengan Islam, malah turut mengguris hati umat Islam di Palestin.
Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya, berkata tindakan Ketua Pembangkang yang sedia untuk memberi perlindungan kepada Israel itu adalah umpama cubaan untuk ‘menghalalkan’ kewujudan negara Yahudi terbina hasil daripada rampasan hak umat Islam Palestin.
“Isu Palestin ini ia bukan saja membabitkan saudara kita di sana, malah Islam sendiri tindak pernah mengiktiraf mana-mana pihak yang merampas hak orang lain, dalam konteks ini Israel terbina daripada pertumpahan darah umat Islam di bumi Palestin dan hak mereka diambil Yahudi.
“Apakah dia (Anwar) bermaksud Yahudi rampas tanah Palestin boleh dihalalkan begitu saja? Apakah wajar kita mengiktiraf pihak yang merampas hak orang lain. Sedangkan kita menghulur bantuan kepada Palestin dan boikot produk Yahudi, saya kira ada masalah pada orang ini (menyokong Israel).
“Walaupun mereka mematuhi beberapa syarat seperti menghentikan kekejaman terhadap umat Islam dan mengembalikan semula Baitulmaqdis, apakah mereka sanggup mengembalikan semula tanah Israel kepada rakyat Palestin,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau berkata, walau apa saja alasan dikemukakan namun kewujudan Israel tetap tidak boleh diiktiraf dan rakyat perlu menilai sebaik mungkin tindakan pemimpin yang mengiktiraf kewujudan Israel.
Bagi Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda UMNO (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya, berkata umat Islam harus sedar Allah tidak pernah membezakan zionis dan Yahudi kerana kedua-duanya sama iaitu tidak mengiktiraf kewujudan agama lain di muka bumi ini.
Bukan itu saja, Israel juga tidak mempunyai hak ke atas bumi Palestin dan mereka tidak layak untuk menerima sebarang pengiktirafan apatah lagi kewujudan negara rejim zionis itu adalah hasil pencerobohan terhadap negara Islam.
“Kita tidak perlu memberi perlindungan keselamatan kepada Israel, cukuplah sekadar perjanjian damai bahawa mereka tidak lagi menyerang Palestin dan mengembalikan haknya, kenyataan Anwar ini adalah berlebihan dan beliau seolah-oleh mengiktiraf Israel.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan pendirian Anwar itu membuktikan beliau mahu membersihkan `dosa’ menyinggung perasaan orang Yahudi apabila menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meniru gagasan 1Malaysia atas nasihat APCO yang dituduh sebagai agen Yahudi.
Ahli Parlimen Batu Pahat berkata, sudah dijangkakan Anwar tidak akan menyaman WSJ kerana laporan akhbar itu adalah benar, sekali gus membuktikan Ketua Pembangkang itu sememangnya mengiktiraf kewujudan Israel.
“Anwar lebih mengutamakan sokongan Amerika dan Yahudi untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan menjadi Perdana Menteri.
“Dia sanggup menyakiti hati rakyat Malaysia yang menolak kewujudan negara Israel. Soalnya apakah PAS sanggup bersekongkol dengan Anwar dan PKR?
“Saya yakin PAS tidak berani meninggalkan pakatan pembangkang kerana takut kalah tanpa sokongan PKR dan DAP. PAS turut berlakon kerana mereka lebih takut pada Anwar,” katanya.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan, berkata Nik Aziz tidak ada kredibiliti untuk menerima penjelasan Anwar secara peribadi kerana beliau adalah rakan kongsi politik Ketua Pembangkang itu dan terbukti Nik Aziz sentiasa menyebelahi Anwar termasuk dalam kes liwat dan video seks.
“Penjelasan kepada Nik Aziz adalah satu lakonan politik. Anwar hanya anggap Nik Aziz yang penting dan ahli Majlis Syura PAS tidak penting, justeru kita desak Anwar memberi penjelasan kepada Majlis Syura,” katanya.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim pula mendesak Anwar berhenti daripada terus menipu rakyat termasuk Nik Aziz, sebaliknya berpendirian dengan mengaku menyokong Israel.
“Apabila Anwar membuat keputusan tidak menyaman WSJ, bermakna beliau secara tidak langsung mengaku bersalah, sebab itu dia tidak boleh memutar belit apa yang dilaporkan oleh akhbar itu, apatah lagi untuk menyaman.
“Jika Nik Aziz faham penjelasan Anwar bermakna Anwar berbohong pada Nik Aziz,” katanya.

Comments

kaka.k said…
This comment has been removed by the author.
kaka.k said…
memang seekor semut api yg berwibawa..semua kenyataan pro kerajaan.setakat ni belum kelihatan mana2 kenyataan yg melihat dr aspek kedua2 pihak..hmmm..ada gaya jd calon nmpknya