PETALING JAYA: Exco Kerajaan Selangor, Datuk Dr Hassan Ali kecewa dengan tindakan PAS Selangor berhubung pendedahan kononnya beliau digugurkan sebagai calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). | |
Beliau berkata, perkara itu tidak sepatutnya didedahkan oleh pemimpin PAS Selangor memandangkan pucuk pimpinan parti belum membuat sebarang keputusan berhubung kedudukannya dan perbuatan itu dilihat sebagai mendahului pimpinan pusat. | |
Katanya, beliau tidak kisah jika digugurkan daripada mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia pada PRU-13 nanti dan tetap meneruskan perjuangan untuk mengagungkan Islam, memartabatkan bangsa Melayu dan mendaulatkan institusi Raja. | |
"Saya musykil dengan kenyataan yang dikeluarkan mengenai pencalonan ini lantaran ia disebarkan melalui media bertepatan dengan suasana dan keadaan di mana seorang pemimpin PAS menerima pengiktirafan daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor. | |
"Masa saya hendak terima anugerah daripada Tuanku tiba-tiba keluar dalam surat khabar Dr Hassan tidak dapat pencalonan mencukupi. Apa yang anda akan rasa, malah perkara itu tidak diberitahu saya, saya merasakan macam ada sedikit gangguan di peringkat negeri untuk mengganggu kemaraan Dr Hassan. Ini spekulasi saya dan harap ia tidak berlaku. | |
"Hal pencalonan perlu diputuskan PAS pusat setelah melalui proses penilaian oleh Majlis Syura Ulama. Tidak sesuai sekiranya mana-mana individu mendahului pimpinan tertinggi parti dalam hal ini. Saya harap pimpinan tertinggi parti dapat memantau," katanya pada sidang media, di kediamannya di sini semalam. | |
Beliau berkata, sememangnya pencalonan cawangan diambil kira oleh PAS, tetapi ada kalanya ia tidak menjadi penentu utama sekiranya ada pertimbangan lain dan buktinya beliau sendiri ketika bertanding pada pilihan raya umum lalu bukan atas dasar pencalonan cawangan. | |
Ketika ditanya mengenai perpaduan antara PAS dan UMNO, Hassan menjelaskan beliau sanggup bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mendaulatkan Islam dan adalah menjadi kewajipan baginya menyatukan umat Islam merentasi sempadan budaya, warna kulit dan ideologi. | |
Malah, katanya, beliau sedia jika dipilih oleh kerajaan pusat atau Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menganggotai satu jawatankuasa berhubung perpaduan di kalangan masyarakat di negara ini. | |
"Saya tidak perlu pengiktirafan mana-mana pihak termasuk Presiden PAS. Saya tidak perlu DAP sukakan saya atau PKR sukakan saya. Saya cuma ingin keredaan Allah terhadap usaha kecil yang saya lakukan," katanya. | |
Di tanya sama ada beliau akan bertanding atas tiket bebas jika tidak dicalonkan, Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam itu berkata ia sukar dijawab kerana masa dan keadaan saja yang menentukannya. |
Comments