Hassan Ali Boleh Keluar PAS

KUALA LUMPUR: PAS tidak akan menyekat mana-mana pemimpinnya yang berhasrat untuk meninggalkan parti itu termasuk Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Istiadat Melayu dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr Hassan Ali sekiranya ingin berbuat demikian.
Bagi parti yang ditubuhkan pada tahun 1951 itu, mereka pernah kehilangan beberapa pemimpin besar bertindak meninggalkan PAS dan menyertai UMNO, tetapi masih mampu bertahan dalam memperjuangkan ideologi politiknya sehingga kini.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, berkata parti itu tidak akan memberontak sekiranya ada dikalangan pemimpin mereka ingin meninggalkan parti itu termasuk menyertai UMNO dan yakin sokongan rakyat terhadap mereka tidak berubah.
“PAS pernah melaluinya dulu, kita kehilangan bekas Presiden PAS, Datuk Mohd Asri Muda dan bekas Naib Presiden PAS, Datuk Nakhaie Ahmad yang membuat keputusan untuk meninggalkan parti ini dan PAS tidak memberontak.
“Terpulang kepada beliau (Hassan) kalau betul itu kenyataannya (untuk meninggalkan PAS). Bagi saya, ini negara demokrasi, setiap orang ada hak untuk memihak parti yang mereka pilih.
“Saya tidak merujuk kepada sesiapa pun dan saya tidak menggalakkan mana-mana pihak untuk meninggalkan parti ini, bukan saya hendak suruh sesiapa keluar, tapi kalau sudah hendak keluar kita tidak boleh menghalangnya” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Hassan yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Selangor dikatakan akan meninggalkan PAS dan menyertai UMNO setelah berdepan pelbagai krisis dalaman parti itu termasuk usaha untuk menyingkirkannya sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
Bagaimanapun Hassan menafikan khabar angin itu, namun menegaskan beliau sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang memperjuangkan Islam termasuk UMNO demi kepentingan perpaduan umat Islam di negara ini.
Rentetan kemelut yang melanda Hassan itu, bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa tampil membidas golongan tertentu dalam parti itu yang disifatkannya mendahului Presiden dalam hal membabitkan calon PRU-13.
Mengulas mengenai kenyataan Nasharuddin yang juga Ahli Parlimen Bachok itu, Mahfuz berkata hanya Presiden yang mempunyai berhak untuk menentukan calon PAS pada pilihan raya umum nanti setelah melalui perbincangan secara kolektif dengan Majlis Syura Ulama berdasarkan senarai pencalonan dikemukakan.
“Itu hak eksklusif Presiden untuk mengumumkan siapa calon PAS, secara rasmi belum lagi diumumkan PAS. (Berhubung pengumuman PAS Selangor mengenai Hassan yang digugurkan sebagai calon) itu kena tanya Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungib,” katanya.

Comments