DAP, PKR Tidak Senang Dengan Dr Hassan Ali


KUALA LUMPUR: Ada usaha pihak tertentu dalam PAS bersekongkol dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menyingkirkan Exco Kerajaan Selangor, Datuk Dr Hassan Ali sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kerana beliau dikatakan terlalu memperjuangkan Islam dan kepentingan Melayu.
Antara isu diperjuangkan Hassan yang kurang disenangi rakan sekutu PAS ialah penguatkuasaan larangan penjualan arak di Shah Alam dan mempertahankan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memeriksa Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Petaling Jaya, Ogos lalu.
Sumber dalaman parti itu mendakwa, pelbagai isu ditimbulkan kini termasuk soal pencalonan Hassan bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia, sengaja diwujudkan bagi menghalangnya bertanding pada PRU-13.
"Banyak isu-isu yang diperjuangkan (Datuk) Hassan seperti isu arak dan terbaru isu mengkristiankan orang Islam kurang disenangi DAP dan PKR. Beliau dilihat lebih banyak memperjuangkan isu-isu Islam dan kepentingan Melayu di negeri Selangor.
"Apa yang dikhuatiri ada pemimpin PAS yang menjadi tali barut kepada DAP dan PKR untuk menyingkirkan terus Hassan daripada bertanding.
"Mereka bimbang perjuangannya akan menjejaskan sokongan rakyat terutama bukan Islam terhadap parti," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Semalam akhbar melaporkan, Hassan yang juga Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Istiadat Melayu dan Kemudahan Awam Selangor menjelaskan beliau rela tidak dipertandingkan jika perjuangannya untuk Islam, Melayu dan institusi Raja kurang disenangi.
Hassan juga meluahkan kekecewaan dengan tindakan PAS Selangor berhubung pendedahan kononnya beliau digugurkan sebagai calon PRU-13, sedangkan beliau tidak dimaklumkan berhubung perkara itu.
Namun, bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu tidak menganggap isu yang melandanya sebagai penghalang kemaraannya dan akan terus memperjuangkan keagungan Islam, kepentingan Melayu dan institusi Raja sekalipun disingkirkan.
Sementara itu sumber berkata, isu pencalonan di peringkat cawangan sengaja ditimbulkan dan diperbesarkan pihak tertentu dalam PAS yang sememangnya ingin memastikan Hassan tidak dicalon parti itu untuk mempertahankan kerusi dimenanginya.
"Mengapa perlu menimbulkan isu pencalonan di peringkat cawangan, pada hal sebelum ini berapa ramai calon PAS yang bertanding pada pilihan raya umum lalu tidak mendapat pencalonan cawangan, sebaliknya diarahkan oleh pimpinan pusat untuk bertanding di kawasan tertentu," katanya.

Comments