Dr Lo'Lo Meninggal, Tiada Pilihan Raya Kecil

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Titiwangsa daripada PAS, Dr Lo’Lo Mohd Ghazali, 53, yang menerima rawatan komplikasi penyakit barah meninggal dunia di Hospital Selayang di sini, malam tadi.
Allahyarham yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS menghidap penyakit berkenaan sejak beberapa tahun lalu dan berada dalam keadaan kritikal petang semalam sebelum meninggal dunia pada jam 10.15 malam.
Ketua Dewan Muslimat PAS, Siti Zailah Mohd Yusoff yang mengesahkan kematian itu berkata, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Al-Akram, Dato Keramat di sini dan dijangka dikebumikan hari ini.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, Allahyarham yang bertanding atas tiket PAS di Parlimen Titiwangsa menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Aziz Jamaludin Mohd Tahir dengan majoriti 1,972 undi.
Beliau yang pernah berkhidmat sebagai pegawai perubatan sebelum menceburi bidang politik, t turut menjadi calon PAS bagi Parlimen Bukit Gantang, Perak pada 2004, bagaimanapun kalah kepada calon BN, Tan Lian Hoe.
Mengikut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kematiannya juga tidak memerlukan pilihan raya kecil diadakan kerana penggal Parlimen ke-12 sudah mencapai tempoh mandat tiga tahun.

Comments