Mahathir Dengki Anwar?

KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang meneliti hasratnya untuk menyaman bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan menganggap negarawan ulung itu mempunyai hasad dengki denganya.

Beliau berkata, perkara itu sudah dibincangkan dengan barisan pegumannya termasuk Karpal Singh dan R Sivarasa sebelum disusuli dengan tindakan selanjutnya.

"Saya tidak layan lama dah Mahathir, tapi dia terus ulang, dengan umur lanjut begitu saya fikir hasad dengki dia patut dikurangkan. Jadi kerana diulang begitu dan diikuti oleh anaknya yang kaya raya hasil saham UMNO dan bumi, saya tidak ada pilihan, jadi saya akan ambil langkah ini," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen semalam.

Sebelum ini, Dr Mahathir mengulas mengenai laporan WikiLeaks yang mendedahkan kenyataan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew, turut tahu mengenai aksi pertuduhan dihadapinya kini.

Agensi perisikan Singapura mengesahkan kegiatan Ketua Pembangkang itu berdasarkan bukti daripada risikan teknikal yang dilakukan agensi berkenaan.

Sementara itu, mengulas mengenai pertuduhan liwat yang dihadapinya kini, beliau menyokong tindakan bapa Mohd Saiful Bukhari iaitu Azlan Lazim memohon campur tangan Yang Dipertuan Agung bagi mempercepatkan perbicaraan kes berkenaan.

Selain itu, beliau juga mahu Yang Dipetuan Agong campur tangan berhubung kedudukan Mahkamah Syariah di Wilayah Persekutuan yang didakwanya menghalang perbicaraan kes liwatnya dihakimi di mahkamah berkenaan.

"Kedudukan Mahkamah Syariah jangan dikhianati oleh Menteri agama, (Datuk Seri) Jamil Khir Baharom. Mengapa pendakwaan ditahan, saya ada maklumat kertas pendakwaan sudah disiapkan untuk pendakwaan.

"(Datuk Seri) Jamil Khir, Menteri agama UMNO mengkhianati tugas dan amanah ini dan mencemarkan nama baik mahkamah syariah dan kedudukan Yang Dipertuan Agung sebagai Ketua Agama Wilayah Persekutuan," katanya.

Comments