Aksi Anwar Jejas Negara

Oleh Norfatimah Ahmad dan Haspaizi Mohd Zain
bhnews@bharian.com.my2010/12/14

Khairy Jamaluddin, Zulkifli Noordin dan Zahrain Mohammed Hashim.Khairy sifatkan pendedahan WikiLeaks amat serius

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, berkata pendedahan WikiLeaks berhubung aksi liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim amat serius kerana salah laku Ketua Pembangkang itu dibincangkan pada peringkat antarabangsa yang sekali gus boleh menjejaskan imej negara.

Justeru, katanya, jika dakwaan itu benar, Anwar tidak sesuai dipilih menjadi pemimpin rakyat Malaysia kerana maklumat itu ada pada risikan asing yang boleh diguna pakai untuk mendapat keistimewaan dan melemahkan negara.

“Maklumat peribadi pemimpin pembangkang ada pada mereka. Ia bukan soal moral tapi kedudukannya sebagai pemimpin pembangkang dan rakyat tidak boleh terima pemimpin yang maklumat kesilapannya berada dalam tangan kerajaan asing,” katanya.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir, pula berkata ia adalah pendedahan menarik yang tidak diketahui ramai sebelum ini dan kini dibincangkan pada peringkat antarabangsa.

Katanya, jika terbukti perkara itu satu kebenaran, ia memberi kesan signifikan, terutama mengenai persepsi rakyat terhadap Anwar, selain mengharapkan penjelasan.

Laporan WikiLeaks sebelum ini mendakwa perkhidmatan perisikan Singapura dan menteri mentor republik itu, Lee Kuan Yew percaya Anwar 'sebenarnya ada melakukan aksi yang beliau kini sedang dituduh’.

Ahli Parlimen Kulim Bandar-Baharu, Zulkifli Noordin, berkata pendedahan WikiLeaks berhubung aksi liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim membongkar ‘pembohongan besar’ Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, selain membuktikan kepimpinannya tidak disokong Singapura dan Australia.

Beliau berkata, pembohongan besar Ketua Pembangkang itu terbukti apabila beliau menyatakan ejen risikan Singapura dan Australia mendedahkan ada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan lompat parti untuk bersamanya ketika rancangan 16 September 2008.

Selain itu, beliau mendakwa kedatangan Ahli Parlimen Australia baru-baru ini yang dicanang Anwar sebagai tanda sokongan negara itu kepadanya sebenarnya adalah untuk memantau kegiatan tidak bermoralnya.

“Selama ini dia (Anwar) menyatakan Singapura, Australia dan Indonesia menyokongnya. Sebagai contoh 16 September, beliau berkata risikan Singapura dan Australia beritahu ada Ahli Parlimen BN hendak lompat parti.“Jelas sekarang daripada pendedahan WikiLeaks, ia tidak berlaku. Apa yang dibangkitkan beliau bohong dan sebenarnya risikan berkenaan memantau dia (Anwar),” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, semalam.

Bagi Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohammed Hashim, pendedahan itu bersandarkan kepada bukti kukuh yang sememangnya diketahui penyokong Anwar, tetapi disembunyikan kerana kepentingan politik.

“Tapi yang lebih penting rakyat Malaysia kena faham perkara ini berlaku. Saya mahu tanya PAS khususnya, apakah mereka hendak tolak lagi benda jelas ini, benda ini ternyata berlaku. Saya tunggu masa bagaimana PAS hendak tangani masalah ini. Jika PAS boleh terima, bermakna PAS boleh terima seseorang yang buat kerja macam ini,” katanya.

“Pendedahan ini harus membuka mata PAS dan DAP untuk menilai kembali kepemimpinan Penasihat PKR,” katanya.

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong, berkata Penasihat DAP, Lim Kit Siang perlu berdiri sebagai seorang pemimpin politik yang jujur dengan menyatakan pendiriannya mengenai perkara itu memandangkan Anwar sudah tidak layak untuk menjadi Ketua Pembangkang.

Comments