KUALA LUMPUR: Dua Kekanda Sultan Kelantan, Datuk Tengku Rozan Sultan Yahya Petra dan Datuk Tengku Salwani Sultan Yahya Petra, mahu kemelut yang melanda keluarga diraja itu diselesaikan sendiri oleh Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra yang mempunyai kuasa mengikut peruntukan undang-undang.
Tengku Rozan berkata, beliau juga terkilan dan berasa aib dengan tindakan Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid yang menganjurkan ‘Majlis Mesra Bersama Anak Yatim’ baru-baru ini dengan memaksa Sultan Kelantan berkaraoke dalam keadaan kesihatan baginda tidak mengizinkan.
“Sepatutnya majlis itu diadakan dalam bentuk keagamaan seperti bacaan ayat suci al-Quran. Saya juga berharap agar kita dapat memberi kepercayaan kepada Pemangku Raja Kelantan melaksanakan apa yang terbaik untuk keluarga diraja Kelantan.
“Rakyat sudah kenal dengan perangai Raja Perempuan Kelantan, Tengku Temenggong (Tengku Muhammad Fakhry) dan kerabat-kerabat lain. Kembalilah kepada kehendak agama Islam dan fasal-fasal dalam Perlembagaan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Katanya, Raja Perempuan Kelantan dan kekanda sulungnya, Tengku Merjan Sultan Yahya Petra menghalangnya serta adiknya Tengku Salwani daripada melawat Sultan Kelantan ketika baginda mendapat rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.
Beliau juga turut mempersoalkan tindakan Raja Perempuan Kelantan menghalang doktor panel yang juga pakar di negara ini daripada merawat baginda Sultan dan menyifatkan ada sesuatu cuba disembunyikan.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berharap kemelut istana Kelantan dapat diselesaikan menerusi semangat kekeluargaan antara ahli keluarga diraja negeri berkenaan tanpa membabitkan tindakan mahkamah.
Sementara itu, Tengku Salwani, berkata Raja Perempuan mengawal orang keluar masuk menziarahi baginda Sultan, malah ada anggota polis, doktor dan kakitangan hospital dimaki hamun serta dimarahi pihak tertentu yang juga kuncu-kuncu Raja Perempuan.
“Kerajaan sudah membelanjakan jutaan ringgit untuk rawatan di Singapura (24 Mei 2009 - 3 Mac 2010). Perbelanjaan ini, saya fikir dibuat dengan tidak mengikut prosedur kerana tanpa pengesahan dan syor pakar dalam negara sebelum dibawa ke luar negara.
“Jangan anggap rakyat jelata tidak mengetahui jika ada penyelewengan yang kita lakukan. Kembalikan hak rakyat jika ada yang kita tersilap uruskan, ingatlah pesan baginda Sultan bahawa pihak kita mestilah sentiasa mengikut peraturan dan undang-undang,” katanya.
Katanya, kemelut melanda keluarga diraja Kelantan itu mampu diselesaikan sekiranya mengikut nasihat Perdana Menteri dan pemimpin negara yang mahu ia diselesaikan secara kekeluargaan.
END.
END.
Comments