Belasungkawa 'Abuya'

‘ABUYA’ itulah gelaran diberikan terhadap ‘pendakwah’ Allahyarham Ashaari Muhammad pengasas kumpulan Al-Arqam ataupun Jamaah Aurad Muhammadiah yang meninggal dunia semalam.

Kumpulan Al-Arqam pada asalnya ditubuhkan dengan hanya memiliki 10 ahli saja pada 1968, berjaya menyebarkan pengaruhnya apabila mempunyai kira-kira 6,000 pengikut menjelang 1987.

Bagaimanapun Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri menganggarkan 6,000 pengikut fanatik dan 15,000 simpatisan kumpulan itu pada 1994.

Antara kepercayaan kumpulan itu ialah Syeikh Muhammad As-Suhaimi yang meninggal dunia pada 1925 dinyatakan tidak mati, sebaliknya hidup dan kembali untuk memimpin umat Islam serta yakin Syeikh Muhammad setaraf Ashab al-Kahfi dan Nabi Khidir.

Melihat kewujudan kumpulan itu menjadi ancaman kepada akidah umat Islam di negara ini, kerajaan mengharamkan penerbitan dan pengedaran buku Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam pada 1986.

Selepas itu, Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa pada 5 Ogos 1994 bagi mengharamkan pertubuhan itu kerana ajarannya bertentangan dengan akidah dan syariah Islam serta boleh mengakibatkan syirik.

Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan itu membawa kepada penahanan Ashaari dan beberapa pemimpin kanannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), selain dikenakan tahanan rumah di Rawang dan Labuan sebelum dibebaskan pada 25 Oktober 2004.

Walaupun sudah lebih 15 tahun Al-Arqam diharamkan, namun ajarannya cuba dihidupkan kembali oleh pengikutnya yang mengamalkan Aurad Muhammadiah dan bergerak melalui pelbagai badan dan syarikat bagi mengelirukan pihak berkuasa.

Rufaqa Corporation Sdn Bhd, sebuah syarikat yang dipelopori Ashaari diharamkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) apabila pengaruh kumpulan itu mula dikesan selain penahanan beberapa bekas pengikut kumpulan itu cuba untuk menggerakkannya kembali.

Penubuhan Kelab Poligami Ikhwan (KPI) juga mencetuskan pandangan negatif daripada masyarakat yang khuatir dengan penubuhan kelab berkenaan yang dipelopori bekas pemimpin Al-Arqam.

Rentetan peristiwa itu mendapati pengikut setia kumpulan berkenaan masih ada dan terus aktif secara sembunyi melalui pelbagai badan yang sah mengikut undang-undang bagi mengelirukan pihak berkuasa.

Comments