Hulu Selangor: Cina Tidak Memihak BN

Oleh Haspaizi Mohd Zain

PILIHAN raya kecil Parlimen Hulu Selangor sudah berakhir dan calon Barisan Nasional (BN), P Kamalanathan sudah diangkat sebagai wakil rakyat baru bagi pengundi Hulu Selangor. Beliau yang dianggap sebagai calon 'underdog' menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim dengan majoriti undi 1,725 undi.
Kemenangan itu membolehkan kerusi Parlimen berkenaan kembali ke pangkuan BN selepas ia jatuh ke tangan PKR pada pilihan raya umum 2008 melalui calonnya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad menewaskan Timbalan Presiden MIC, Datuk G Palanivel dengan majoriti tipis 198 undi. Parlimen berkenaan mempunyai tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kesemuanya di menangi BN.
Keupayaan P Kamalanathan yang juga anak tempatan menawan hati pengundi BN, cukup bermakna bagi membuktikan gagasan 1Malaysia dan kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diterima rakyat pelbagai kaum di negara ini. Bagaimanpun BN perlu sedar bahawa pengundi Cina di Hulu Selangor masih belum yakin dengan keupayaan parti itu. Ini terbukti ketika undi masyarakat India dilihat mula meningkat pada pilihan raya kecil kali ini, namun BN masih gagal meraih undi daripada masyarakat Cina.
Malah peti undi yang majoritinya Cina BN kalah teruk dengan margin cukup besar. Misalnya daripada lebih 300 undi Cina BN hanya memperoleh sekitar 60 undi. Walaupun pelbagai cara dilakukan BN bagi meraih kembali sokongan masyarakat Cina, termasuk kehadiran Perdana Menteri dan memberi segala kemahuan mereka, namun undi mereka masih belum memihak kepada BN. Justeru kawasan bandar yang majoritinya kaum Cina menjadi kubu kuat PKR pada pilihan raya kecil itu.
Parlimen Hulu Selangor mempunyai 64,500 pengundi berdaftar yang mana 34,020 pengundi ataupun 52.7 peratus adalah pengundi Melayu, 16,964 atau 26.3 peratus adalah pengundi Cina dan 12,453 ataupun 19.3 peratus adalah pengundi India. Manakala jumlah pengundi yang menunaikan tanggung jawab pada pilihan raya kecil itu adalah 48,935 ataupun 75.87 peratus dan undi rosak pula 731 undi.
Daripada 16,964 undi masyarakat Cina, hanya 25 peratus saja memihak kepada BN, selebihnya menjadi milik mutlak PKR. Sokongan 25 peratus itu hanya diperolehi selepas kehadiran Perdana Menteri ke kawasan majoriti masyarakat Cina berbanding pada awalnya di kawasan pengundi Cina sokongan terhadap BN sekitar 10 hingga 15 peratus saja.
Beberapa faktor dilihat menjadi 'pembunuh' kepada undi Cina, kematian pembantu politik kepada Exco kerajaan negeri Selangor, Teoh Beng Hock dimanipulasikan sebaik mungkin pembangkang bagi meraih undi simpati daripada masyarakat Cina. Pembangkang mendendangkan isu kematian Teoh di pentas politiknya dengan menggambarkan seolah-olah kerajaan sebagai pembunuh.
Pembangkang berjaya menggunakan isu berkenaan untuk menanam kebencian masyarakat Cina terhadap kerajaan yang ada pada hari ini dan menggambarkan kerajaan BN adalah zalim. Mungkin bagi sesetengah orang ia tidak masuk akal jika isu Teoh dipolitikan, namun bagi masyarakat Cina terutamanya di Hulu Selangor ia dilihat sebagai sesuatu yang utama terutamanya dalam menuntut keadilan mengikut kehendak mereka.
Perkara ini diakui sendiri oleh pengundi Cina di situ, kematian anak lelaki sukar untuk dilupakan ataupun dimaafkan apatah lagi dalam keadaan mediang Teoh pada masa itu sudah bertunang dan menunggu masa untuk mendirikan rumah tangga. Kehadiran pemimpin Cina dikalangan pembangkang berjaya menguasai minda pengundi Cina dengan isu Teoh Beng Hock.
Tindakan calon BN P Kamalanathan yang mecium tangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai tanda hormat juga turut di politikan pembangkang. Pada saat akhir kempen gambar P Kamalanathan bersalam dengan Timbalan Perdana Menteri mula terpampang di sekitar jalan utama Hulu Selangor dengan slogan 'politik ketuanan Melayu'.
Gambar berkenaan menunjukkan seolah-olah pemimpin bukan Melayu tunduk dan dikuasai oleh pemimpin Melayu.
Walaupun tidak sebegitu besar, namun ia turut menyumbang kepada kemorosotan sokongan kaum Cina kepada BN. Apatah lagi sebelum ini pembangkang menjaja cerita Umno dan BN adalah sebuah parti politik yang mengamalkan perkauman.
Selain itu, faktor kedudukan DAP tidak boleh dinafikan antara penyumbang kepada sokongan masyarakat Cina terhadap pembangkang. DAP kini yang menjadi majoriti dalam pembangkang dilihat sebagai peluang terbaik kepada masyarakat Cina untuk menguasai negara, kerana mereka yakin jika pakatan pembangkang membentuk kerajaan DAP akan berkuasa.
Apatah lagi ditambah dengan janji pembangkang yang akan memberi hak sama rata kepada masyarakat bukan Bumiputera sememangnya diharapkan masyarakat Cina. Keupayaan kerajaan pakatan pembangkang di Selangor memenuhi segala kehendak masyakarat Cina yang sebelum ini tidak diperolehi semasa BN membuatkan mereka teguh menyokong pembangkang.
Keyakinan masyarakat Cina terhadap BN terutamanya MCA masih belum pulih, malah kehadiran beberapa pemimpin MCA di kawasan berkenaan gagal mendapat sokongan daripada pengundi Cina dan perkara ini tidak boleh dinafikan. BN akan terus berhadapan laluan sukar sekiranya gagal mengimbangi sokongan pelbagai kaum di negara ini.
Justeru, bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang BN perlu satu transformasi yang mampu mengembalikan keyakinan pengundi Cina dan apa yang pasti dalam hal ini parti komponen BN mewakili kaum Cina iaitu MCA dan Gerakan perlu menggerakan jentera dari sekarang dan berusaha memenangi kembali hati pengundi Cina.
Sekiranya BN berjaya memulihkan kembali sokongan pengundi Cina dan pengundi muda yang dilihat semakin condong kepada pembangkang, BN mampu mengembalikan kegemilangannya. Namun, kepemimpinan Najib berjaya memikat hati masyarakat pelbagai kaum di negara ini dan slogan 'rakyat didahulukan'menjadi senjata ampuh BN. Apa yang penting BN perlu tunaikan segala janji pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor dan terus bekerja untuk rakyat.
(Hak Cipta Terpelihara)

Comments

Anonymous said…
gilo lah..handal demo tulis nih..
Semut Politik said…
Kim..biasa je..tak dok la hebat sangat