Kemelut Pembangkang: Usaha Alihkan Tumpuan Rakyat

SEBAIK Pas selesai membuat keputusan terhadap dua pemimpinnya iaitu Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Mohd Hassan Ali dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad kerana melanggar disiplin parti, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP pula tampak semakin bergolak apabila pemimpin mereka semakin sibuk mengkritik kepemimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Bagaikan tidak menghormati resolusi persepakatan yang dimeterai pada Konvensyen Pakatan Pembangkang akhir tahun lalu, pemimpin PKR tidak mengendahkan arahan pucuk pimpinan apabila terus mengkritik sesama sendiri. Walaupun, PKR semakin bergolak dengan perbalahan sesama sendiri, ia tidak menarik minat Umno atau Barisan Nasional (BN) untuk menghentam mereka.
Umno dan BN sebaliknya terus berusaha menumpukan kepada langkah memenangi hati rakyat. Berbanding pembangkang, selepas pelbagai janji ditabur pada kempen pilihan raya umum lalu, kini mereka semakin sibuk berpolitik sehinggakan lupa akan amanah diberikan rakyat.
Bermula dengan tindakan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Nordin, membuat laporan polis terhadap Khalid yang didakwa memperlekehkan enakmen agama Islam, kemelut pembangkang kian ketara apabila Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim dengan terbuka mengkritik Guan Eng, diikuti rakannya yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng.
Namun bekas Naib Ketua Pemuda Keadilan, Muhammad Zahid Md Arip, menyifatkan konflik yang berlaku dalam PKR dan DAP adalah sandiwara murahan dicipta pembangkang bagi mengalihkan tumpuan rakyat terhadap perbicaraan kes liwat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, tuduhan pemimpin parti itu bahawa Guan Eng adalah diktator, cauvinis dan berfikiran komunis adalah perkara lama, kerana sememangnya mereka sudah tahu serta arif dengan pendirian DAP. Malah katanya, sudah terlewat bagi pemimpin PKR untuk menjadi wira Melayu, selepas nasib peniaga Melayu di Pulau Pinang terhimpit dan ditindas kerajaan negeri.
“Kalau Zahrain cakap Guan Eng sebagai komunis, ini sebenarnya perkara lama. Sebaiknya kita usah terpengaruh dengan kemelut yang berlaku dalam pakatan pembangkang, kerana itu semua adalah sandiwara ciptaan mereka sendiri yang akhirnya Anwar akan kata semua masalah itu dapat diselesaikan,” katanya.
Sementara itu Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata tindakan Anwar mengheret Ahli Parlimennya yang ‘celupar’ ke Lembaga Disiplin adalah untuk mempertahankan rakan kongsinya dalam pakatan daripada menyiasat punca tidak puas hati anak buahnya. Manakah yang lebih penting, iaitu mempertahankan rakan kongsi atau menyiasat sejauh manakah kebenaran isu yang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan wakil rakyat terbabit.
“Anwar sudah tentu tidak sanggup dan tidak berani memperjudikan masa depan pakatan pembangkang. Ini akan menghancurkan kredibilitinya sebagai pemim-pin pembangkang. Dia akan dilihat sebagai terlalu lemah untuk merealisasikan kewujudan pakatan pembangkang.
“Apatah lagi mereka baru saja selesai mengadakan konvensyen pakatan pembangkang dengan pelbagai resolusi dan janji yang indah-indah. Paling ketara, Anwar pasti tidak mahu memperjudikan impiannya untuk menjadi Perdana Menteri,” katanya.
Kegagalan merealisasikan kewujudan Pakatan Rakyat bermakna Anwar semakin jauh daripada mimpi besarnya itu. Oleh itu baginya, mengambil tindakan disiplin adalah jalan selamat berbanding tindakan menyiasat isu rasa tidak puas hati yang dibangkitkan.
Tetapi hakikatnya kredibiliti Anwar dan PKR yang mahu menjadi parti yang demokratik dan mempertahankan kepentingan rakyat sudah semakin dipersoalkan.
Bagi Pensyarah Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar, pakatan pembangkang tidak mampu menjadi parti alternatif kepada BN serta gagal menunaikan apa yang dijanjikannya. Katanya, belum sampai satu penggal pembangkang memenangi beberapa negeri pada pilihan raya umum lalu, pelbagai kemelut mula timbul dan sememangnya menghakis kepercayaan rakyat.
“Saya fikir dalam pakatan pembangkang kini mempunyai krisis kepercayaan dalam parti dan antara parti. Dalam keadaan pakatan pembangkang menjadi alternatif kepada BN, namun nampaknya mereka tidak berjaya.
“Apa yang pasti pengundi akan membuat penilaian terhadap apa yang berlaku kini, mereka akan menilai sikap parti pembangkang dan ini akan memberi kesan kepada pembangkang,” katanya.
Malah katanya, kemelut yang dihadapi ketua pembangkang kini juga akan memberi kesan kepada pembangkang dan sekiranya Anwar didapati bersalah, maka pembangkang juga bakal tumbang.
Apa pun, kini adalah masa terbaik untuk rakyat menilai akan kemampuan sebenar pakatan pembangkang. Pada masa sama, ia juga mungkin menyediakan ruang untuk Pas menilai semula kedudukannya dalam pakatan itu yang tentu akan punah dari segi moral jika mahkamah mendapati Anwar bersalah.

Comments

manlukeman said…
tahniah..sudah ada gambar..ni baru macam berani..
Semut Politik said…
hehehe..biasala sudah tiba untuk melakukan transformasi hehe