HAMPIR tiga dekad sudut pidato ataupun ‘Speakers Corner’ yang menjadi medan untuk mahasiswa bersuara diharamkan kerajaan sejak tahun 1971, namun dibuka semula tahun ini untuk memberi kebebasan mahasiswa bersuara.
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi institut pengajian tinggi awam (IPTA) yang pertama mengaktifkan kembali sudut berkenaan, selepas mendapat ‘lampu hijau’ daripada kerajaan.
Nafas baru kepada sudut pidato ini adalah salah satu usaha ke arah memperkasakan kokurikulum institusi pengajian tinggi di negara ini dalam usaha melahirkan modal insan kelas pertama.
Selain memberi nafas baru kepada sudut pidato, usaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) meningkatkan mutu mahasiswa dapat dilihat melalui beberapa perubahan seperti penubuhan Parlimen Mahasiswa dan usaha ke arah penggunaan sistem pengiraan merit 30 peratus kokurikulum dan 70 peratus akademik.
Keterbukaan kerajaan untuk mengaktifkan kembali sudut pidato ini perlu dilihat secara positif oleh mahasiswa dan menjadikannya medan terbaik untuk melatih kemahiran berkomunikasi.
Timbalan Naib Canselor Akademik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohamed Mustapa Ishak, berkata mahasiswa harus menggunakan sudut pidato sebagai medan untuk mengasah kematangan intelektual dan proses percambahan minda.
“Saya berpendapat sudut pidato ini adalah platform terbaik yang cukup bagus untuk mahasiswa, usaha ini mampu menggalakkan mahasiswa untuk tampil dengan berani dan berkeyakinan bercakap di hadapan umum. Ia juga pentas untuk mereka menyatakan pendapat secara terbuka dan bertanggungjawab.
“Mahasiswa perlu melihat ini (sudut pidato) sebagai peluang terbaik untuk mereka meluahkan pandangan dan berhujah secara matang bukannya emosi. Tetapi jangan hanya dalam sudut pidato saja mereka pandai bercakap berapi-api, tetapi begitu juga di dalam kelas.
“Gunalah sudut pidato seimbang dengan akademik mereka, banyak isu antarabangsa yang boleh mereka perkatakan sesuai dengan zaman ini dan membuktikan kematangan intelektual mereka,” katanya.
Sudut pidato menjadi medan pentas wacana intelek dalam usaha melahirkan generasi pemimpin yang berkaliber dan mahasiswa pula jangan hanya jadi ‘hero’ di ruang itu saja, namun mula ‘menikus’ di dalam kelas, sepatutnya kehebatan berpidato perlu diselaraskan dengan kecemerlangan akademik.
Sementara itu Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Azali Mohamed, berkata walaupun mahasiswa diberi ‘kebebasan’, namun satu garis panduan perlu diperkenalkan supaya ia menjadi lebih teratur.
Beliau berkata, garis panduan berkenaan bukan bererti untuk menyekat kebebasan bersuara mahasiswa seperti yang dibenarkan kerajaan, tetapi ia lebih kepada usaha mendidik mereka supaya dapat mengurus dengan bijaksana.
“Garis panduan perlu diwujudkan dan ia hanyalah garis panduan yang paling minimum saja, ini bertujuan untuk mewujudkan ketertiban mereka ketika menggunakan sudut berkenaan. Selain memastikan ia berjalan dengan terurus.
“Bagi menggalakkan mahasiswa menggunakan sudut pidato, kita juga turut menganjurkan liga debat antara kolej. Ini supaya untuk memastikan mereka lebih berani dan dapat berhujah dengan baik.
“Kewujudan kembali sudut pidato membuka ruang kepada mahasiswa untuk meningkatkan penguasaannya dalam berkomunikasi, namun apa yang penting mereka perlu lebih bertanggung jawab semasa menggunakan sudut itu,” katanya.
Bagi bekas Timbalan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Ahmad Zahin Ilman Othman, berkata keterbukaan kerajaan yang mengaktifkan kembali sudut pidato perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh mahasiswa.
Ahmad Zahin berpendapat, universiti pengeluar pemimpin masa depan negara sememangnya memerlukan mahasiswa yang memiliki intelektual tinggi dan sudut berkenaan bukan saja mampu meningkatkan daya pemikiran mahasiswa, malah mampu melatih kematangan mereka.
“MPP adalah saluran mahasiswa untuk menyuarakan masalah, jadi dengan adanya medan ini ia akan membantu MPP dan juga pihak pentadbiran mendengar masalah mereka yang kadang kala terlepas pandang.
“Sudut pidato juga adalah pemangkin kepada pembangunan insaniah pelajar dalam pengucapan awam. Ini mampu mendidik mahasiswa daripada menggunakan saluran salah dalam menyuarakan pandangan mereka.
“Sebagai mahasiswa yang prihatin mereka perlu mengambil tahu mengenai perkembangan negara dan membahasnya secara ilmiah, mahasiswa ekonomi misalnya boleh menyuarakan pandangan mereka mengenai ekonomi negara,” katanya.
Namun apa yang lebih penting bagi Ahmad Zahin, kebebasan bersuara itu tidak disalah gunakan mahasiswa untuk membicarakan mengenai perkara yang tidak berfaedah ataupun menyerang peribadi mana-mana pihak.
Lebih dari itu, mahasiswa juga diseru supaya tidak menjadi ‘alat’ kepada mana-mana parti politik di luar kampus dan menggunakan sudut pidato bagi menyampaikan propaganda yang merugikan.
Apa yang pasti kewujudan kembali sudut pidato menjadi simbol kepada kemenangan mahasiswa yang sebelum ini memperjuangkan kebebasan mereka untuk bersuara. Namun lebih penting keterbukaan yang ditunjukkan kerajaan perlu dimanfaatkan sebaik mungkin bagi meningkatkan kualiti diri masing-masing.
Jangan jadikan sudut pidato sebagai alat propaganda ataupun medan ‘politik sempit’ pihak tertentu, sebaliknya jadikannya sebagai satu landasan untuk memperjuangkan nasib mahasiswa serta menggalakkan percambahan minda dengan membincangkan isu bersifat ilmiah.
Comments