Merangka Kurikulum Pamandu Bas Ekspres Dua Tingkat

Di pertik dari Berita Harian
Oleh: Haspaizi Mohd Zain
TIRAI 2009 dilabuhkan dengan tragedi ngeri membabitkan kemalangan maut yang mengorbankan 10 nyawa apabila sebuah bas ekspres dua tingkat terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer 280.3 Lebuh Raya Utara-Selatan pada 26 Disember lalu.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.20 pagi itu, pemandu bas terbabit dikatakan memandu bas secara melulu dan terlelap, sebelum terbabas dan merempuh penghadang jalan sehingga menyebabkan 10 penumpangnya maut.
Angka terbabit bukan suatu yang kecil dan kemalangan membabitkan bas di negara ini bagaikan fenomena biasa. Sepanjang 2009, empat pemandu bas didakwa melakukan kesalahan memandu secara melulu sehingga mengakibatkan kemalangan dan mengorbankan nyawa.
Sepanjang tahun lalu juga, 19 kematian dicatat berikutan kemalangan jalan raya yang berpunca daripada kecuaian pemandu bas dan dua daripadanya membabitkan bas ekspres dua tingkat. Selepas berlaku kemalangan maut mengorbankan 10 nyawa, banyak pihak mula mempertikaikan penggunaan bas ekspres dua tingkat di negara ini dan ada yang mendakwa ia tidak sesuai dengan bentuk muka bumi serta jalan raya di Malaysia.
Namun, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan menyifatkan spesifikasi pembinaan bas dua tingkat memenuhi segala kriteria ditetapkan JPJ melalui Akta Pengangkutan Jalan dan ia sesuai serta selamat digunakan di negara ini.
Soal dua tingkat ataupun tidak sebenarnya tidak berbangkit, namun apa yang penting pembinaan bas berkenaan mematuhi spesifikasi ditetapkan dari segi kerangka, graviti dan berat bas berkenaan.
“Bas dibina berdasarkan kepada Akta Pengangkutan Jalan, bukan saja bas, malah semua kenderaan yang berada di jalan raya di negara ini dibina dengan mematuhi piawaian ditetapkan melalui akta berkenaan.
“Cuma dari segi penggunaannya pula perlulah relevan. Sebagai contoh ada yang menjadikan Perodua Kancil sebagai kenderaan kedua dan ada juga gunakan untuk perjalanan jauh seperti balik kampung. Itu tidak mengapa, kerana penat ataupun tidak itu terpulang kepada kemampuan pemandunya.
“Seperti juga bas dua tingkat, apakah penggunaannya di jalan yang beralun dan sempit sesuai, jadi ini yang perlu difikirkan dan dihadkan laluan bagi penggunaan bas dua tingkat,” katanya.
Seperti yang dikatakan Solah, bas dua tingkat yang dibina memenuhi spesifikasi ditetapkan, namun paling penting kemahiran pemandu untuk menguasai bas itu amat perlu kerana pengendaliannya amat berbeza berbanding pemanduan bas biasa.
Pemandu bas dua tingkat perlu menguasai beberapa kemahiran tertentu terlebih dulu sebelum mengendali bas berkenaan dan ia juga sepatutnya diberikan kepada pemandu ‘senior’, bukannya pemandu bas yang baru mendapat lesen.
Namun, apa yang dipersoalkan Presiden Persatuan Institut Memandu Malaysia (Pima), Mat Aris Bakar perlu dipandang serius kerajaan, bahawa negara tidak mempunyai kurikulum khusus bagi pemandu bas ekspres dua tingkat dan kurikulum institut memandu yang diguna pakai kini juga memerlukan kepada pembaharuan.
Kurikulum institut memandu yang diguna pakai kini agak ketinggalan berbanding negara maju lain seperti Singapura. Malah negara jiran itu memastikan bakal pemandu melalui ujian teori dan praktikal selama 199 jam sebelum mendapat lesen memandu, berbanding Malaysia hanya 17 jam.
Jika dilihat dari segi peruntukan masa untuk mendapat lesen memandu, jika dibandingkan kita masih terlalu longgar dan seolah-olah tidak serius untuk mendidik pemandu di negara ini menjadi pemandu profesional berhemah.
Malah, kurikulum yang diguna pakai kini juga tidak pernah diperbaharui selepas hampir 12 tahun menggunakannya, walaupun ia sepatutnya dirombak setiap tiga ataupun lima tahun sekali.
“Kita banyak ketinggalan sebenarnya, sebagai contoh di Singapura mereka memperuntukkan 199 jam bagi pemandu untuk menjalani latihan teori dan praktikal sebelum mendapatkan lesen, berbanding di negara ini hanya 17 jam, sembilan jam teori dan lapan jam praktikal.
“Di Singapura, 199 jam itu termasuk teori, praktikal dan ujian sebab itu pemandunya profesional. Barulah jika sampai satu masa mereka perlu tidur, mereka tidur dulu dan tidak akan memandu bas, walaupun dipaksa dan inilah kita perlu didik,” katanya.
Sudah tiba masanya untuk kerajaan mewujudkan satu kurikulum khas bagi pemandu bas dua tingkat, sekiranya penggunaannya ingin diperluaskan. Pemandu bas profesional diperlukan bagi mengendalikan bas ekspres dua tingkat, kerana ia memerlukan kemahiran.
Seperti juruterbang, mereka tidak terus mengendalikan kapal terbang yang besar, sebaliknya menerusi peringkat demi peringkat dan perlu menguasai dari sekecil-kecil kapal terbang terlebih dulu dengan latihan rapi.
Sama juga dengan pemandu bas, kerjaya itu tidak boleh dipandang rendah peranannya juga sama dengan seorang juruterbang. Mereka turut mengendali kenderaan besar dan membawa nyawa manusia.
“Tiada gunanya kita menuding jari mencari salah siapa, sebaliknya semua pihak perlu duduk semeja dan membincangkannya bagi mencari mekanisme baru untuk meningkatkan lagi profesionalisme pemandu,” katanya
Kerajaan juga perlu menyediakan kepakaran dan memiliki kelengkapan khusus bagi menjalankan kajian terhadap penggunaan bas ekspres dua tingkat untuk memastikan laluan yang sesuai diguna untuk perkhidmatan bas terbabit.
Selain itu, aspek keselamatan jalan raya juga perlu diambil kira, apakah pembahagi jalan dan penghadang jalan diguna pakai kini memenuhi aspek keselamatan, kerana negara maju sudah lama mempraktikkan teknologi baru dan mampu mengurangkan kemalangan maut.
Seperti kata Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros), Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah, kita tidak memiliki peralatan khusus bagi menjalankan kajian terhadap penggunaan bas dua tingkat di negara ini, sama ada ia sesuai digunakan di jalan raya dan juga bentuk muka bumi negara.
Malah cadangan supaya satu institusi latihan diwujudkan bagi meningkatkan lagi profesionalisme pemandu bas di negara ini juga dilihat perlu, jika kerajaan berhasrat untuk melahirkan pemandu profesional dan ingin mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.
Beberapa agensi terbabit dalam perkara ini perlu duduk semeja mencari satu mekanisme baru bagi mengatasi masalah ini daripada lebih parah, usah menuding jari sesama sendiri kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak dan hanya merugikan orang ramai.

Comments