Saya Tidak Tuduh Beliau

Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Zamihan Mat Zain Al Ghari menafikan beliau pernah menuduh bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin memalsukan ijazah syariah seperti dilaporkan sebuah akhbar tempatan kelmarin.
Zamihan berkata, beliau hanya mendakwa Mohd Asri tidak mempelajari Syariah dan pengajian Islam, sambil menyifatkan apa yang disiarkan akhbar tempatan itu terdapat sedikit kesalahan serta menimbulkan salah faham.
“Saya tidak pernah kata beliau memalsukan ijazahnya dan beliau perlu faham dengan istilah palsu. Saya kata dia belajar bahasa Arab di fakulti kesusasteraan dan tidak belajar syariah serta pengajian Islam. Tajuk utama akhbar itu mengenai kenyataan saya adalah salah.
“Pandangan dan fatwanya tidak selari dengan fatwa di negara ini. Ini kerana beliau tidak menguasai disiplin pelajaran syariah dan pengajian Islam. Macam mana hendak bercakap soal hukum sedangkan beliau tidak menguasainya.
“Saya sedia berdepan dengan saman yang akan dikemukakan beliau. Kalau baca betul-betul kenyataan disiarkan akhbar itu saya fikir beliau akan faham apa saya maksudkan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Kelmarin, Mohd Asri mahu menyaman Zamihan yang didakwa memfitnahnya dengan menuduh beliau memalsukan ijazah syariah seperti dilaporkan sebuah akhbar tempatan.
Selain Zamihan, bekas Mufti Perlis itu juga mahu menyaman PGSM berikutan fitnah yang dilemparkan persatuan itu dengan menuduh beliau tidak mengiktiraf iktikad Ahli Sunnah Wal Jamaah, mencerca solat hajat dan menolak hadis yang diriwayatkan Imam Bukhari.
Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Mohamad Isa Abdul Ralip, berkata pihaknya sedang menunggu surat saman daripada Mohd Asri sebelum mengambil sebarang tindakan.
“Buat masa ini saya tidak mahu memberikan komen lanjut sebelum menerima surat daripada pihaknya (Mohd Asri),” katanya.
Ditanya apakah PGSM pernah menghubungi Mohd Asri untuk bersemuka bagi menjelaskan tuduhan yang dilemparkan, Mohamad Isa berkata pelawaan itu pernah dibuat dalam satu sidang media baru-baru.
“Sebelum ini kita menyatakan hasrat untuk bersemuka dengan beliau secara tertutup. Malah beliau memberi masa kepada kita tujuh hari ini untuk menarik balik tuduhan itu, tapi hari ini (semalam) baru berapa hari.
“Kita tidak mempunyai masalah untuk berdepan dengan beliau dan nyatakan saja, PGSM sedia berdepan bila-bila masa saja,” katanya.

Comments