Saya Islam Progresif

KUALA LUMPUR: Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abdidin menyifatkan dirinya sebagai ‘Muslim Progresif’ bukannya Wahabi seperti yang didakwa bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Nakhaie Ahmad.
Beliau menolak dakwaan bekas Yang Dipertua Yadim itu yang mendakwa pandangan dan pengajarannya mempunyai elemen fahaman Wahabi dan mencabar Nakhaie mengemukakan bukti terhadap tuduhan itu.
“Saya bukannya Wahabi tetapi Muslim Progresif dan saya tidak tahu apa itu Wahabi, saya minta beliau (Nakhaie) memberi tahu saya di mana yang Wahabinya saya.
“Saya hendak tanya, sekiranya seseorang itu Wahabi, adakah itu membolehkan Jais dan polis membuat serbuan begitu rupa. Kenapa tidak tangkap orang yang tak sembahyang, itupun agama tak suruh berbuat demikian,
“Tulisan saya dibaca oleh orang ramai di negara ini semua peringkat umur termasuk ahli politik. Orang Umno baca tulisan saya, begitu juga orang Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Malah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pun baca tulisan saya,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Kelmarin, Mohd Asri di tahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana mengajar agama tanpa tauliah. Bagaimanapun beliau dibebaskan dengan bon jaminan kerana pihak pendakwaan Jais gagal mengemukakan pertuduhan terhadapnya.
Kontroversi tercetus apabila beliau menolak tawaran untuk menerajui Yadim, ekoran memorandum Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) kepada Yang di-Pertuan Agung membantah perlantikannya.
PGSM mendakwa Mohd Asri tidak mengiktiraf iktikad Ahli Sunnah Wal Jamaah, mencerca solat hajat dan menolak hadis yang diriwayatkan Imam Bukhari selain turut mencerca ulama besar seperti Imam Nawawi dan Imam Ghazali.
“Saya tidak dapat bayangkan orang-orang yang melakukan ini adalah orang-orang agama dan duduk di institusi negara dan saya melihat sendiri sikap-sikap seperti ini di depan mata,” katanya.
Sementara itu, Mohd Asri mempersoalkan Nakhaie yang ingin membeli aset bernilai jutaan ringgit ketika menerajui Yadim yang dianggapnya tidak perlu dan menghalang akaun Yadim daripada diaudit.
“Kenapa Yadim mesti ada aset yang tidak perlu terutamanya di Indonesia, malah saya dengar beliau (Nakhaie) mahu membeli aset bernilai jutaan ringgit sebelum beliau meninggalkan Yadim.
“Saya tak pernah tuduh siapa dan saya juga tidak kata mengenai perkara ini, saya cuma dengar cerita saja. Jadi adalah elok juruaudit memeriksanya dan ini tidak bermakna beliau membuat salah.
Mengulas mengenai jawatan Yang Dipertua Yadim, Mohd Asri berkata individu yang ingin menduduki kerusi berkenaan tidak perlu gusar dengannya kerana beliau tidak mahu bersaing dengan sesiapa dan sudah menolak jawatan itu.

Comments