Tak Perlulah Berdebat

KUALA LUMPUR: Penganalisis politik, Profesor Madya Dr Mohammad Agus Yusof, berpendapat dialog antara Pemuda Umno dan Pemuda Pas tidak perlu diadakan kerana ia tidak membawa keuntungan kepada senario politik negara.

Beliau berkata, perdebatan yang meletakkan satu tajuk khusus adalah tidak wajar terutamanya dalam suasana politik agak tegang ketika ini dan ia membawa banyak keburukan berbanding kebaikan.

“Saya melihat dalam suasana politik kini ia tidak memberi keuntungan kepada politik semasa, jika mahu berdebat ataupun berdialog ia perlu kepada skop yang lebih luas dan secara menyeluruh bukannya kepada tajuk khusus.

“Sekiranya kita mahu mencari titik permulaan, kita kena merangkumi aspek yang lebih menyeluruh, lebih luas dan perdebatan ini perlu diadakan secara tertutup,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Kelmarin, Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasruddin Hassan, secara terbuka menjemput Pemuda Umno mengadakan perbincangan ilmiah atau dialog berhubung isu semasa bagi menyelesaikan krisis antara kedua-dua parti itu.

Bagaimanapun, Setiausaha Dewan Pemuda Pas, Kamaruzaman Mohamad, dalam satu kenyataan semalam, menafikan laporan beberapa media mengenai kerjasama antara Pemuda Pas dengan Pergerakan Pemuda Umno.

Bagi Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain, berkata perdebatan itu boleh diadakan sekiranya membabitkan ulama dan ahli akademik .

“Sekiranya ingin mengadakan perdebatan ataupun dialog, dua parti politik ini perlu duduk diatas paksi akademik bukannya politik semata-mata, barulah kita dapat menentukan kebenaran dan mencari jalan penyelesaian.

“Tetapi sekiranya membabitkan ahli politik saja saya fikir lebih baik tidak payah, kerana masing-masing ingin menegakkan benang yang basah dan tidak akan ada jalan penyelesaian. Pembabitan ahli akademik dan ulama amat perlu,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Ahmad Atory berkata, cadangan Dewan Pemuda Pas yang mahu perdebatan itu disiarkan secara langsung melalui siaran televisyen adalah tidak wajar, memandangkan rakyat negara ini belum mencapai tahap politik negara maju seperti Amerika.

Comments