Kerajaan Rakyat

KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak menyifatkan pengumuman 11 hadiah mesra rakyat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kelmarin membuktikan Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah kerajaan rakyat.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali, berkata pengumuman itu membuktikan Perdana Menteri sudah pun melangkah ke hadapan dalam usaha menangani masalah rakyat.

“Ini adalah satu tindakan ataupun langkah yang betul seperti mana slogan beliau (Perdana Menteri) sebelum ini rakyat didahulukan. Pengumuman ini sememangnya diharapkan rakyat bagi mengurangkan beban mereka.

“Saya yakin ia akan dapat mengurangkan beban yang ditanggung rakyat, kita sedar rakyat Malaysia terdiri daripada mereka yang pandai membalas budi dan berterima kasih dan saya yakin mereka akan menghargai jasa kerajaan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen (Bebas) Pasir Mas, berkata kerajaan tidak perlu bimbang terhadap risiko pengumuman itu, kerana ia pasti akan mendapat sambutan baik daripada rakyat negara ini.

Perdana Menteri membuat pengumuman 11 perkara hadiah untuk rakyat, khususnya bagi mengurangkan beban dan kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negara dikongsi bersama, sempena sambutan 100 pentadbirannya.

Bagi Profesor Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain, berkata pengumuman itu membuktikan Najib memenuhi tuntutan rakyat sebelum ini.

“Jika diteliti daripada pengumuman Perdana Menteri, 11 hadiah yang diumumkan itu adalah kehendak rakyat sebelum pilihan raya umum lalu dan beliau menunaikan tuntutan itu dengan harapan dapat mensejahterakan rakyat.

“Najib mengambil peluang mengumumkannya selepas merasai kehendak rakyat dan ini membuktikan beliau tidak seperti yang digambarkan pihak tertentu sebelum ini. Malah kejayaan ini bakal memberi tekanan kepada pembangkang dan agensi pelaksana perlu melaksanakannya dengan sempurna,” katanya.

Ahmad Atory berkata, graf pentadbiran Najib sebagai Perdana Menteri keenam sedang meningkat naik dan beliau yakin BN dan Umno bakal meraih kembali sokongan padu daripada rakyat.

Pensyarah Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohamed Mustapa Ishak, berkata pengumuman terbabit membuktikan Perdana Menteri mengotakan sebahagian daripada janjinya kepada rakyat.

Katanya, adalah agak singkat untuk menilai pentadbiran Najib dalam tempoh 100 hari, bagaimanapun, pengumuman itu adalah satu perubahan besar dan ia menunjukkan gambaran sebenar pentadbirannya selaku pemimpin nombor satu negara.

“Saya yakin perubahan persepsi rakyat terhadapnya dan juga kerajaan yang dipimpinnya akan berlaku, kerajaan dipimpin Najib hari ini adalah kerajaan rakyat, merasai denyut nadi rakyat,” katanya.

Comments