Jadikan Al-islah dan Al-Haq Sebagai Asas

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno mahu al-islah (kebaikan) dan al-haq (kebenaran) dijadikan asas kepada Wacana Ilmiah Pemuda Pas dengan Pemuda Umno demi kepentingan masyarakat Melayu dan agama Islam.

Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Reezal Merican Naina Merican, berkata wacana itu perlu menjadi medan untuk mencari titik persamaan demi kepentingan rakyat, bukannya medan untuk menonjolkan kehebatan mana-mana pihak.

Katanya, al-islah dan al-haq sering diperkatakan pemimpin Pas sebagai asas perjuangan parti itu, jika perbincangan itu bertujuan untuk mencari kebaikan ia perlu diadakan atas landasan itu.

“Pemuda Umno sentiasa istiqamah dengan perjuangannya dan sedia bermuzakarah dengan Pemuda Pas atas landasan al-islah dan al-haq. Bukan untuk mencari kemenangan moral politik sebagai asas utama.

“Oleh itu Pemuda Pas perlu menghuraikan segala kekusutan dan menzahirkan keikhlasan mereka untuk berbincang dengan Pemuda Umno yang sanggup menerima wacana itu walaupun tajuk diberikan ada unsur provokasi terhadap Umno, ” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Wacana Ilmiah itu dicadangkan Ketua Pemuda Pas, Nasruddin Hassan, secara terbuka menjemput Pemuda Umno mengadakan perbincangan ilmiah atau dialog berhubung isu semasa bagi menyelesaikan krisis antara kedua-dua parti itu dan ia disambut baik Pemuda Umno.

Perkara itu mendapat reaksi positif Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang menyifatkan cadangan itu sebagai satu dakwah dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, turut merestui perbincangan membabitkan dua sayap parti itu.

Mengulas mengenai kenyataan Naib Ketua Pemuda Pas, Ahmad Subky Yusof, yang menyifatkan wacana itu sebagai satu taktik untuk menarik perhatian Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, berdebat selepas tiga kali menolak pelawaan Ketua Pemuda Pas adalah tidak berasas.

“Soal Khairy menolak untuk berdebat dengan Nasruddin bagi saya tidak timbul, kerana sebelum ini semua tahu beliau (Khairy) sanggup berdebat dengan bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa, di gelanggang lawan lagi, bagi saya ini tidak timbul.

“Niat kita untuk melihat persamaan demi kepentingan orang Melayu dan umat Islam, bukannya mahu mencari titik perbezaan. Jika Nik Abdul Aziz kata wacana ini adalah satu dakwah ia mestilah dilaksanakan secara berhikmah, ” katanya.

Comments