Nik Aziz Tak Demokratik

KUALA LUMPUR: Tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahu Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa, meletakkan jawatan yang disandangnya termasuk Ahli Parlimen Bachok kerana menyokong cadangan kerajaan perpaduan sebagai tidak demokratik.
Pensyarah Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar, berkata tindakan terbabit jelas bertentangan dengan prinsip parti itu yang sebelum ini melaungkan demokrasi.
“Ia jelas menggambarkan Nik Abdul Aziz sebagai seorang yang tidak demokratik walaupun sebelum ini melaung dan menuntut demokrasi. Dalam hal tertentu kita lihat pemimpin ini lebih bersifat autokratik.
“Tindakan itu juga membuktikan kepemimpinan Pas hari ini tidak boleh menerima pandangan ataupun pendapat orang lain, tidak boleh berlaku percanggahan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Kelmarin, Menteri Besar Kelantan terbabit meminta Nasharuddin meletakkan semua jawatan yang disandangnya kini dan menyertai Umno jika terus menyokong cadangan penubuhan kerajaan perpaduan.
Beliau yang marah dengan tindakan Timbalan Presiden Pas itu mendakwa idea kerajaan perpaduan boleh menimbulkan kecelaruan dalam parti itu dan menganggap perbuatan terbabit sebagai sampah.
Sementara itu Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain, berkata Nik Abdul Aziz menentang cadangan penubuhan kerajaan perpaduan kerana bimbang kedudukannya terjejas.
Katanya, sejarah kerajaan campuran antara Barisan Nasional dan Pas pada tahun 1973 hingga 1977, pada ketika Pas dipimpin Allahyarham Datuk Asri Che Muda, Nik Abdul Aziz gagal mendapat kedudukan istimewa dalam Pas ketika itu.

“Pada pendapat saya apa yang beliau (Nik Abdul Aziz) serik untuk bekerjasama dengan Umno dan BN ialah bimbang sejarah hitam yang dilaluinya akan berulang kembali, selain bimbang dengan kedudukannya kini.

“Sewaktu kerajaan campuran Pas tidak menderita yang menderita adalah beliau Nik Abdul Aziz, walaupun beliau menang setiap pilihan raya, namun dipinggirkan Presiden Pas ketika itu,” katanya.

Bagi Penganalisis Politik, Prof Madya Ahmad Nizamuddin Sulaiman, berkata bibit perpecahan di dalam Pas kian tampak dan ibarat retak menanti belah jika perkara ini terus berlanjutan.

“Ini adalah perbalahan yang berlaku dikalangan pemimpin tertinggi Pas kerana perbezaan pendapat, jika pertelingkahan terus berlaku Pas akan menghadapi perpecahan.

Comments

Anonymous said…
ai..ko masuk kn stori sendiri ke..hahahahhaaa