Umno Perlu Letak Calon Pilihan Rakyat


KUALA LUMPUR: Umno mampu memenangi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun), Manik Urai, sekiranya meletakkan calon berwibawa pilihan akar umbi dan bukannya pilihan pihak atasan.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain, berpendapat kekalahan kebanyakan calon Barisan Nasional (BN) sebelum ini disebabkan calon tidak diterima pengundi.

“Umno berpeluang untuk memenangi pilihan raya kecil itu jika kena percaturannya. Kembalinya Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno juga dilihat mampu mengubah senario politik Umno di negeri itu.

“Dun Manik Urai jika dilihat bukanlah kubu kuat Pas, Umno pun pernah memenangi kawasan itu. Jika Umno menang ia akan menyuntik satu semangat untuk melonjakkan kembali Umno. Bagi saya Pas lebih tertekan untuk mempertahankan kemenangan mereka di situ,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.

Dr Ahmad Atory berkata, transformasi yang dilakukan Umno dengan barisan kepemimpinan yang mantap tanpa perpecahan, mampu memberi keyakinan kepada pengundi di Manik Urai untuk menyokong kembali parti itu.

Pilihan raya kecil Dun Manik Urai diadakan ekoran kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan itu, Ismail Yaacob, 60, akibat sakit jantung, Jumaat lalu. Sementara itu, Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr A Nidzamuddin Sulaiman, berkata Umno perlu bekerja keras bagi untuk memastikan kemenangan mereka di kerusi itu pada pilihan raya kecil nanti.

“Kelantan cara berpolitik masyarakatnya lebih kepada politik kepartian. Pas seperti mana yang kita tahu mengeksploitasikan isu agama yang sememangnya cukup sinonim dengan masyarakat negeri itu.

“Umno bukan saja perlu meletakkan calon yang disukai rakyat kawasan itu, tetapi juga perlu mempertaruhkan calon mempunyai latar belakang agama bagi berdepan cabaran Pas,” katanya.

Comments