Rasuah: Pas Belum Bebas

KUALA LUMPUR: Pas sedia memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang ingin memanggil Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Mohamed Daud Iraqi, berhubung dakwaan gejala rasuah dalam parti itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas, Datuk Mustafa Ali, berkata Pas bersedia menerima campur tangan SPRM mengenai perkara itu, walaupun Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sebelum ini mengumumkan parti itu bebas rasuah tidak seperti didakwa.
“SPRM bebas untuk campur tangan dalam hal ini dan kita sedia untuk disiasat, Pas tidak takut dan kita tidak menyembunyikan sesuatu. Kerana kita tahu seperti mana yang dimaklumkan sebelum ini Pas bebas politik wang dan kita tidak bimbang dengan siasatan SPRM.
“Malah kita tidak terkejut pun dengan pengumuman terbabit (SPRM) untuk memanggil Ketua Dewan Ulama, Mohamed. Tetapi ada perkara yang kita (Pas) suruh SPRM siasat sebelum ini tetapi mereka (SPRM) tidak menyiasat pun,” katanya.
Sebelum ini, Mohamed Daud dipanggil oleh Jawatankuasa Harian Pas Pusat supaya memberi penjelasan terhadap kenyataan beliau yang mendakwa wujudnya unsur politik wang dalam parti itu menjelang muktamar tahunan parti itu bulan depan, beliau bagaimanapun bebas daripada sebarang tindakan disiplin parti.
Sementara itu Mustafa yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, meminta Umno supaya tidak meletakkan calon bagi pilihan raya kawasan itu untuk mengelak daripada berlakunya pembaziran wang seperti mana yang didakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak bagi Dun Penanti sebelum ini.
“Pas mencadangkan supaya Umno tidak menyertai pilihan raya kecil kawasan Manik Urai ini bagi mengelak daripada berlakunya pembaziran. Ini kerana jika Umno meletakkan calon dan menang pilihan raya itu ia tidak akan membawa apa-apa perubahan terhadap Kerajaan Pas Kelantan.
“Lebih baik Umno tidak bertanding pilihan raya kecil itu, kerana Pas yakin masih mampu mengekalkan kerusi itu dan Pas semestinya akan meletakkan calon bagi mempertahankan kerusi terbabit. Namun masih terlalu awal untuk mengumumkan siapa calon Pas,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manik Urai, Ismail meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II di sini kira-kira jam 5.55 pagi semalam kerana sakit jantung. Beliau dimasukkan ke hospital berkenaan untuk menerima rawatan sejak bulan lalu.
Mustafa berkata, bagaimanapun pilihan raya kecil terbabit tidak akan menghalang perjalanan Muktamar Tahunan Pas yang dijadualkan akan berlangsung awal bulan depan. Beliau yakin Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan pilihan raya kecil terbabit selepas muktamar berlangsung.
Kenyataan ini jelas menggambarkan bahawa Pas belum bebas lagi daripada "politik wang".

Comments