Apa Sudah Jadi???



KOTA BHARU: Barisan Nasional (BN) Kelantan menyifatkan tindakan Kerajaan Pas Kelantan mengurangkan bayaran Skim Takaful Kifalah kepada waris pencarumnya, daripada RM2,500 kepada RM1,500 bagi setiap kematian warga emas di negeri ini, sebagai satu lagi penipuan terhadap rakyat.
Ketua Pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Md Alwi Che Ahmad, mendakwa tindakan terbaru itu membuktikan bahawa skim terbabit yang dilancarkan menerusi Bajet 2007, hanyalah alat Kerajaan Pas untuk meraih undi daripada rakyat menjelang pilihan raya umum Mac 2008.
"Saya hairan kenapa pembayaran itu perlu dikurangkan, alasannya untuk berjimat cermat dalam keadaan ekonomi dunia tidak menentu. Saya pertikaikan perkara ini kerana pampasannya dibayar oleh syarikat takaful selepas caruman dibayar menerusi peruntukan kerajaan negeri.
"Sepatutnya dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, kerajaan negeri mencari jalan untuk membantu rakyat, bukannya mengurangkan pemberian yang sudah dijanjikan kepada rakyat nikmati, apatah lagi ia hanya diberikan ketika berlaku kematian sahaja," katanya di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan mesyuarat Exco Kerajaan Pas Kelantan yang dipengerusikan Menteri Besar, datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang membuat keputusan mengurangkan bayaran faedah skim itu sebanyak RM1,000 yang berkuatkuasa serta merta. Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa, ketika mengumumkan keputusan itu memberi tindakan itu perlu sebagai langkah berjimat cermat.
Skim Takaful Kifalah yang nama sebenarnya, Skim Perlindungan Sosial Tengku Anis, diperkenalkan kepada rakyat Kelantan menerusi Bajet Kelantan 2007 yang dibentangkan pada 14 November 2006.
Menerusi skim yang dinaungi Raja Perempuan Kelantan itu, kerajaan negeri membayar caruman insurans takaful kepada rakyat negeri ini yang berusia 61 tahun ke atas yang ketika itu mengikut bancian berjumlah 97,970 orang, meliputi semua bangsa dan agama, lelaki dan wanita.
Sejak pelaksanaannya, kerajaan negeri menetapkan setiap keluarga warga emas yang dicarumkan itu, apabila pencarum meninggal dunia, waris atau keluarganya hanya menerima 50 peratus daripada ganjaran yang dibayar Takaful, manakala baki 50 peratus lagi dimasukkan ke dalam Dana Pusingan.
Wang ganjaran bersekali dengan 25 peratus daripada keuntungan mudharabah dalam dana pusingan itu akan digunakan untuk perkara kebajikan selanjutnya. Ketika diluluskan menerusi Bajet 2007, skim itu mendapat peruntukan RM3.2 juta. Md Alwi berkata, apa yang berlaku itu adalah hakikat yang sememangnya perlu diterima dan diakui rakyat Kelantan ini yang mereka sekali lagi ditipu Kerajaan Pas.
"Malangnya, rakyat masih sukar menerima perkara itu kerana dalang yang mendalangi perbuatan itu berselindung di sebalik Menteri Besar. Rakyat Kelantan bukan hanya ditipu kali ini, tetapi sebenarnya sudah hampir 20 tahun ditipu.
"Saya fikir exco silap kira, sebab itu lah beliau kini terpaksa mengurangkan wang yang sepatutnya dibayar kepada rakyat. Mungkin waktu dekat pilihan raya dulu, beliau guna sifir lain, selepas dapat undi beliau membuat tafsiran dengan sifir baru," katanya. Katanya, pengumuman yang dibuat itu jelas bertentangan dengan konsep negara berkebajikan yang dicanang oleh Pas sebelum ini.

Comments