Talian Hayat Najib

Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari depan menjadi kayu ukur kepada keupayaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebagai bakal Perdana Menteri Malaysia.
Jika sebelum ini kekalahan di Parlimen Permatang Pauh, dilihat sebagai kawasan kubu kuat pembangkang, bagaimana sekiranya Barisan Nasional (BN) turut tewas di tempat sendiri, apakah alasan Najib kali ini?
Justeru pilihan raya kecil kali ini menjadi “talian hayat” kepada keupayaan dan kemampuan Najib mempimpin.
Oleh itu calon BN yang bakal bertanding di kerusi itu adalah penentu kepada keupayaan BN. Apakah Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, mampu menggalas tugas berat tersebut?
Talian hayat Najib bergantung kepada Wan Farid, jika beliau mampu memenangi pilihan raya itu nanti, ia adalah satu bonus yang cukup bermakna kepada TPM.
Persoalannya, apakah Wan Farid diterima oleh rakyat kawasan itu, adakah rakyat boleh menerimanya sebagai pengganti kepada Allahyarham Datuk Razali yang meninggal dunia baru-baru ini.
Antara Razali dan Wan Farid, kedua-dua tokoh ini mempunyai keperibadian yang cukup berbeza. Razali adalahpemimpin disenangi rakyat berbanding Wan Farid tidak mempunyai “sentuhan” diperingkat bawahan ataupun akar umbi.
Malah,latar belakangnya yang juga adik kepada bekas Exco Kerajaan Negeri Terengganu cukup dibenci rakyat, dilihat sebagai faktor halangan kepada beliau untuk memenangi pilihan raya kali ini.
Sekiranya, Wan Farid mahu memenangi pilihan raya ini, beliau perlu segera berubah. Beliau perlu berkain pelikat, berbaju melayu, serta turun padang “mendekati” rakyat. Ketepikan soal darah bangsawan sekiranya sayangkan Umno dan mahu menang.
Sementara itu, bagi Pas mereka mempunyai waktu yang cukup bagi memilih calon untuk berdepan Wan Farid. Pas boleh membuat perkiraan dari sekarang akan keupayaan Wan Farid.
Melihat kepada situasi sekrang,Pas mempunyai peluang yang cukup cerah bagi memenangi pilihan raya ini, sekiranya percaturan mereka tepat dan kena pada kemahuan rakyat.
Namun,harus diingat Pas juga sedang bergolak dan berpecah (berpuak). Pas sekarang berada dalam dilema dalam menetukan calon yang bakal berdepan Wan Farid.
Golongan Ulamak dalam Pas mahu calon aliran mereka dipertaruhkan pada pilihan raya ini, namun bagi golongan professional mereka mempunyai pilihan tersendiri.
Tidak pernah berlaku dalam sejarah pentadbiran Pas, selepas bermesyuarat lebih lima jam, tetapi gagal menetukan calon untuk bertanding Pilihan Raya kecil Kuala Terengganu.

Comments