Ramai lagi yang miskin



Dipetik daripada Berita Harian
KOTA BHARU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan kini sedang berusaha mengesan kedudukan lebih 11,000 penduduk di seluruh negeri ini yang dilaporkan memerlukan pelbagai bantuan dalam kehidupan.

Pengarah JKM Kelantan, Md Noor Chik, berkata kumpulan terbabit sedang dikesan menerusi Projek Cari yang dijalankan 58 petugas JKM menerusi pendekatan turun padang sejak Julai lalu, bagi menyiasat dan mengenal pasti mereka yang layak diberi bantuan.

Beliau berkata, kedudukan lebih 11,000 penduduk negeri ini yang memerlukan bantuan itu diperoleh daripada Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri; Jabatan Perangkaan dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA).

"Berdasarkan senarai itu, kakitangan JKM kini sedang berusaha mengenal pasti dan menjalankan siasatan bagi menentukan jenis bantuan yang layak diberikan kepada mereka serta memastikan nama mereka tidak bertindih.
"Malah, dalam soal penilaian untuk membolehkan individu yang layak mendapat bantuan daripada JKM, kakitangan kita diingatkan supaya sentiasa bersikap adil serta tidak memilih kasih supaya hanya mereka benar-benar layak menerima bantuan.

"Walaupun ada segelintir golongan ini tidak layak menerima skim bantuan daripada JKM, namun kita akan melaporkan kepada ICU bagi membolehkan mereka mendapat bantuan daripada agensi lain," katanya. Md Noor berkata, setakat ini, JKM sudah menemui 40 peratus daripada senarai terbabit tetapi ada diantara mereka sebenarnya sudah menerima bantuan JKM.

Beliau berkata, jumlah itu turut merangkumi 1,541 OKU tegar, 3,303 miskin tegar dan 170 Orang Asli yang sedang dikesan untuk disiasat bagi menerima skim bantuan yang disediakan JKM.

Mereka juga merangkumi ibu tunggal dan warga emas Katanya, warga emas yang tidak mempunyai waris akan disalurkan bantuan RM300 sebulan, OKU yang bekerja layak menikmati elaun RM200 dan ibu tunggal pula diberi bantuan sehingga mencecah RM450 sebulan, manakala golongan miskin yang tidak layak menerima bantuan itu akan diberi bantuan lain mengikut keperluan mereka.

"Selain itu JKM juga turut memperkenalkan skim bantuan kepada penjaga pesakit terlantar dan OKU yang memerlukan penjagaan dan pengawasan sepanjang masa. Bertujuan untuk membantu dan meringankan beban yang ditanggung keluarga mereka.

"Mereka yang layak menerima skim bantuan ini adalah yang mana pendapatan isi rumah mereka tidak melebihi RM3,000. Penjaga yang layak menerima bantuan ini akan menerima sebanyak RM300 sebulan," katanya.

Katanya, skim bantuan yang mula dilancarkan sejak bulan Julai lalu, kini, sudah menerima permohonan daripada hampir 200 penjaga golongan terbabit dari seluruh negeri.
habis.

Comments